Bujang Senang

Bujang Senang

Nov 16, 2011

ADUN SEMOP PENGERUSI BNBBC BARU



KUCHING:ADUN Semop Abdullah Saidol dipilih sebagai pengerusi Kelab Penyokong Barisan Nasional (BNBBC) berkuat kuasa semalam, menggantikan Abdul Karim Rahman Hamzah yang kini menganggotai kabinet negeri sebagai menteri muda.

Abdul Karim yang merupakan Menteri Muda Pembangunan Belia berkata, pemilihan itu dipersetujui dalam satu mesyuarat BNBBC selepas Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) hari pertama semalam.
“Kami telah mengadakan mesyuarat BNBBC tadi dan mempersetujui YB Abdullah Saidol menjadi pengerusi baru,” katanya dalam kenyataan semalam.

Abdullah merupakan wakil rakyat yang baru dipilih menerusi Pilihan Raya Negeri Ke-10, 16 April lepas. Beliau merupakan peguam yang menggantikan Datuk Amar Mohd Asfia Awang Nassar di kerusi terbabit.
Manakala Asfia kekal sebagai Speaker DUN.

Abdul Karim yang juga Menteri Muda Perumahan berkata, tidak wujud persoalan Abdullah wakil rakyat baru atau sebaliknya.

“Saya juga menjadi pe-ngerusi BNBBC pada awal penggal pertama saya pada 2001.
“Saya percaya beliau berkemampuan memikul tugas dan tanggungjawab ini berlandaskan kerjaya dan peranan yang dipikul oleh beliau dengan baik sebelum menjadi wakil rakyat,” katanya.

Sementara itu, Abdullah berkata, beliau amat menghargai pemilihannya ke jawatan tersebut.

“Tanggungjawab ini merupakan peluang yang wajar dimanfaatkan sepenuhnya dalam berjuang demi rakyat,” katanya.

0 komentar: