Nov 23, 2011

HIPOKRIT vs MUNAFIQ vs MUJAHADAH



Perkataan hipokrit dan munafiq sering digunakan dengan makna yang sama, sedangkan secara kaedah bahasanya kedua-duanya ada perbezaan. Kedua-dua istilah ini biasanya digunakan dengan tujuan negatif, biasanya digunakan untuk seorang yang jahat, tetapi berpura-pura baik.

Secara tepatnya, hipokrit adalah lebih umum maknanya daripada munafiq. Hipokrit bermaksud sikap seseorang yang secara zahirnya tidak sama dengan pendiriannya yang sebenar. Sedangkan munafiq pula bererti sikap seseorang yang secara zahirnya adalah baik atau berlandaskan Islam, pada hakikatnya pendiriannya bukanlah begitu.

Ini bererti, orang yang terpaksa bersikap jahat secara zahir, sedangkan ia baik, juga disebut sebagai hipokrit, kerana hipokrit tidak mengkhususkan sama ada pendirian yang sebenar orang itu adalah baik atau jahat, yang penting zahirnya tidak sama dengan pendirian sebenar. Contoh mereka yang zahirnya jahat tetapi sebenarnya baik ialah mereka yang terpaksa mengaku dengan lidah bahawa ia kafir kerana ingin menyelamatkan nyawa, sedangkan hatinya masih Islam dan tidak melafazkan kekufuran itu dengan sengaja atau redha.

Isu utama yang ingin saya bawakan pada kali ini ialah penyalahgunaan istilah munafiq atau hipokrit kepada orang yang ingin berubah daripada jahat kepada baik. Kita juga akan melihat kaitan isu ini dengan mujahadah.

Apa yang perlu kita jelas ialah apabila seseorang yang tidak baik ingin berubah kepada baik, itu bukannya ia menyalahi pendirian dirinya yang sebenar, bahkan ia sedang kembali kepada fitrahnya yang sebenar, kembali pada dirinya yang asal. Manusia ketika di alam roh telah mengakui Allah sebagai tuhan. Menjadikan Allah sebagai tuhan bererti menuruti segala perintah-Nya dengan taat dan patuh, atau dalam istilah yang ringkas ialah perlu menjadi baik.

Jadi, orang yang berubah kepada baik adalah sedang kembali pada dirinya yang sebenar, sedangkan orang yang melakukan kejahatan itulah yang sebenarnya menyalahi pendiriannya yang sebenar, iaitu perjanjian untuk menjadi baik ketika di alam roh dahulu.

Kemudian, kita lihat pula kaitan munafiq dan mujahadah. Munafiq bererti bertindak baik, tapi jahat sebenarnya. Contohnya ialah Abdullah bin Ubai dan pengikutnya yang berpura-pura mengamalkan Islam seperti solat, tapi secara hakikatnya mereka bencikan Islam dan sentiasa menyusahkan umat Islam seperti mendirikan Masjid Dirar untuk memecah belahkan umat Islam, menyebarkan fitnah kepada Nabi dan juga menghasut orang Islam supaya tidak pergi berperang.




Adapun orang yang pernah melakukan kejahatan dan ingin kembali ke pangkal jalan, mereka sebenarnya sudah berubah pendiriannya daripada jahat kepada baik. Apabila mereka mula melakukan kebaikan dan meninggalkan kejahatan, mereka tidak boleh dikatakan sebagai munafiq kerana apa yang mereka lakukan itu adalah baik dan selari dengan pendiriannya yang baru, iaitu ingin menjadi baik. Sedangkan munafiq bererti tindakannya baik, hatinya jahat.

Namun, adakalanya orang tersalah sangka dan tidak dapat membezakan antara munafiq dan mujahadah. Ada yang menyangka bahawa apabila seseorang itu terpaksa bersusah payah dalam melakukan perubahan, itu adalah suatu kemunafikan. Dengan sebab kesusahan itu, maka orang yang tidak memahami konsep munafiq mengatakan bahawa itu adalah paksaan terhadap diri sendiri dan mereka meminta orang itu supaya "be yourself". Realitinya, orang itu sudah berubah pendiriannya (theirself / dirinya yang baru) kepada baik, dan dia juga sedang berusaha untuk bersikap baik, ini bererti pendiriannya dan sikapnya adalah selari, ini tidak menepati definisi munafiq.

Orang tersebut sudah baik hatinya dan perbuatannya, apa yang ia hadapi sekarang ialah kesusahan. Kesusahan tidak bererti munafik. Kesusahan dalam berubah dan melakukan kebaikan disebut sebagai mujahadah. Pada asalnya tiada masalah untuk manusia berubah hati dan terus bersikap baik, namun, Allah kurniakan kita nafsu. Nafsu inilah yang membuatkan kita berat untuk bersikap baik meskipun hati kita telah bertekad untuk jadi baik.

Jika anda ingin berjaya dalam peperiksaan, kemudian anda belajar bersungguh-sunguh, memaksa diri dan bersusah payah, adakah itu disebut munafik? Tidak, bahkan itu adalah mujahadah bagi mereka yang malas belajar. Bagi yang sudah mendidik nafsunya, itu bukanlah sesuatu yang susah, kerana dirinya dan nafsunya sudah selari untuk mentaati Allah.

Kesimpulannya, jika hati kita berubah dan sudah bertekad untuk menjadi baik, kemudian kita bertindak dalam keadaan memaksa diri dan kesusahan, itu bukanlah kemunafikan, itu adalah mujahadah kerana nafsu kita yang keras sebelum ini sedang cuba dilembutkan...

0 komentar: