Bujang Senang

Bujang Senang

Aug 14, 2012

Selangor selepas 2012



Bayangkan keadaan rakyat di Selangor pada dan selepas 2014 apabila negeri itu dilanda krisis air. Sesiapa juga, tidak kira bangsa dan peringkat umur akan menghadapi masalah bila saluran paip tidak mengalirkan air. Ramai setuju, biar tiada elektrik daripada tiada bekalan air. Jika sehari ketiadaan air, ia pasti menimbulkan ketidakselesaan, inikan pula jika berpanjangan. Ekonomi negeri akan tergendala. Kilang, hotel, pejabat, restoran dan sebagainya akan terjejas. Jika ada bantuan air yang dihantar dengan lori, ia mungkin sekadar cukup untuk memasak dan membasuh. Bagi yang tinggal di rumah pangsa tiada lif, ia adalah beban. Dalam keadaan ketiadaan air, bangun pagi belum pasti dapat mandi, malah menggosok gigi sekali pun belum tentu. Krisis air dijangka melanda Selangor, Wilayah Persekutuan dan Putrajaya pada 2014 atas pelbagai faktor termasuk kekurangan loji untuk merawat air. Sekarang ini pun sudah ada kawasan yang dicatu. Kerajaan PKR Selangor pula seolah-olah tidak percaya krisis air akan melanda negeri itu dengan memberi alasan paras air di tujuh empangan di negeri itu berada pada paras maksimum. Sebenarnya air empangan hanya boleh menampung keperluan untuk empat bulan dan hanya digunakan apabila air sungai berada di bawah paras dibenarkan untuk disalurkan ke loji rawatan air. Rakyat juga perlu faham, air mentah dan air yang dirawat adalah dua komoditi berbeza. Untuk air mentah, mereka boleh mendapatkannya di lombong, paya, sungai dan sebagainya tetapi untuk mendapatkan air yang dirawat memerlukan loji rawatan. Peningkatan penduduk dan pembangunan pesat kawasan menyebabkan keperluan merawat air kian bertambah. Kapasiti merawat air hari ini dan sepuluh tahun lalu sudah jauh berbeza. Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar memberi analogi bekalan air di Selangor ibarat padi dan beras. Jika banyak sekali pun bekalan padi tetapi jika tiada kilang mengisarnya, padi itu tidak boleh dijadikan bahan makanan. Begitu juga dengan air. Selagi belum dirawat, kegunaannya terbatas dan tidak sesuai dijadikan bahan masakan dan diminum.


Kepentingan rakyat usah diabaikan 


Janganlah disebabkan kerajaan negeri mengidam mengambil alih operasi Syarikat Bekalan Air Selangor (SYABAS), kepentingan rakyat diabaikan. Apabila kerajaan negeri menolak pelaksanaan Projek Loji Rawatan Air Langat 2, ia dilihat tindakan yang pelik. Agaknya kerajaan negeri atau pihak berkuasa tempatan (PBT) negeri pakatan pembangkang bimbang jika Kerajaan Pusat yang membina loji itu, rakyat Selangor beranggapan kerajaan negeri tidak boleh lagi mendakwa mereka menjaga kebajikan rakyat. Kerajaan negeri pasti menjangkakan ada caj yang akan dikenakan sedangkan rakyat dijanjikan mendapat bekalan air percuma. 



Sebenarnya, pemberian air percuma ini sengaja digembar-gemburkan kerana kumpulan yang menikmati kemudahan itu terlalu kecil khasnya mereka yang menggunakan air yang sedikit. Pengguna lain termasuk industri dan keluarga yang banyak menggunakan bekalan air, tetap membayar bil air jika Barisan Nasional (BN) mengambil alih kerajaan negeri, senario akan berubah.

Kerajaan Pusat mengambil berat isu air di Selangor kerana tidak mahu berlaku suasana ‘bila terantuk baru terngadah.’ Oleh itu. mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Isu-Isu Air Selangor pada 2 Ogos lalu, yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin memutuskan untuk meneruskan pembinaan Loji Rawatan Air Langat 2.

Keputusan itu dibuat selepas mengambil kira beberapa asas selepas kerajaan PKR Selangor sehingga kini tidak mengeluarkan kelulusan pembangunan bagi pelaksanaan projek berkenaan. Kerajaan PKR Selangor sebenarnya terperangkap dengan janji mereka kepada rakyat. Mereka lupa keperluan bekalan air terus meningkat dan memerlukan kos untuk membina empangan dan loji rawatan air yang baru bagi menampung permintaan yang meningkat. Inilah akibatnya bila terlalu ghairah untuk mendapat faedah politik sedangkan kesan jangka panjang tidak pernah diberi pertimbangan.

0 komentar: