Bujang Senang

Bujang Senang

12 Jun 2018

BN Sarawak Bentuk Pakatan Baru GPS

BN Sarawak hari ini secara rasmi terbubar selepas semua parti komponennya mengumumkan keluar dari gabungan terbabit dan membentuk pakatan baru dikenali sebagai "Gabungan Parti Sarawak" (GPS).

Semasa mengumumkan langkah itu Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Openg berkata keputusan tersebut dibuat sebulat suara oleh parti terbabit.

"Parti-parti komponen iaiitu PBB, SUPP, PRS, PDP mengadakan pertemuan dan membuat keputusan sebulat suara untuk meningalkan BN dan membentuk gaungan baru dengan parti tempatan, dikenali sebagai Parti Gabungan Sarawak," katanya.

Empat parti utama yang terlibat itu ialah Parti Pesaka Bumiputera Bersatu Sarawak (PBB), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Demokratik Progresi (PDP).

Abang Johari berkata keputusan tersebut diambil selepas semua parti membuat pertimbangan teliti serta mengambil kira keadaan semasa politik selepas berlangsungnya pililhan raya umum (PRU) ke-14 lalu.

"GPS akan bekerjasama dengan kerajaan pusat untuk kepentingan negara serta Sarawak berdasarkan kepada perlembagaan persekutuan dan persekutuan Malaysia.

"Kami percaya ini adalah masa paling sesuai untuk Sarawak memulakan platform baru politik bagi menghadapi cabaran sesuai dengan perubahan, aspirasi, keperluan dan tuntutan rakyat Sarawak," katanya semasa mengadakan sidang media itu di Kuching sebentar tadi.

Menurut Abang Johari, keputusan berkenaan berkuat kuasa serta-merta.

Sarawak mempunyai 29 kerusi parlimen. Pada PRU ke-14 lalu PBB memenangi 13 kerusi, diikuti PRS tiga kerusi dan satu SUPP. Di pihak Pakatan Harapan (HARAPAN) pula, DAP menguasai enam kerusi menakala PKR empat. Dua kerusi lagi dimenangi calon bebas.

Sarawak tidak mengadakan pilihan raya umum negeri kerana ia sudah diadakan pada 7 Mei tahun lalu. Untuk rekod Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak mempunyai 82 kerusi.

Kata Abang Johari dengan langkah menubuhkan GPS itu kerajaan negeri yakin mereka dapat memberikan lebih perhatian kepada isu-isu berkaitan kepentingan serta hak Sarawak berdasarkan Perjanjian Malaysia 1963.

Menurutnya penubuhan GPS itu tidak bermakna mereka akan menyertai HARAPAN sebaliknya kekal dengan pakatan sendiri dan pada masa sama menjalin kerjasama dengan Putrajaya.

"Kami adalah blok tersendiri," katanya.

0 komentar: