Pages

13 Sep 2012

Blogger Pakatan Gelar Perdana Menteri "Firaun"


Pakatan Rakyat Panggil Najib Firaun  Membaca tulisan terbaru dari blog pro pembangkang, suarapakatanrakyat.com bertajuk "Buat Apa Minta Maaf Maaf Pada Firaun Seperti Najib?", pastinya membuatkan hati kita membuak marah dengan tulisannya yang agak melampau dan berbaur fitnah.  Blog tersebut bukan sahaja telah mempertikaikan kesediaan ibu bapa kepada Mohamad Ammar Ab Rahman dan Ong Sing Yee untuk memohon maaf dengan Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Tun Razak di atas kesilapan yang dilakukan anak-anak mereka.  Malah tanpa berselindung turut memperlekehkan tindakan ibu bapa terbabit sebagai satu kelemahan yang ketara dan tidak patut dilakukan apatah lagi memohon maaf dengan DS Najib yang digelarnya sebagai firaun kedua selepas Tun Dr Mahathir.  Padahal apa sahaja agama mahupun bangsa atas dunia ini tidak ada satupun yang memandang remeh kesediaan seseorang insan memohon maaf atas keterlanjuran yang berlaku, sebaliknya menyanjung tinggi kesedaran yang datang dari hati yang tulus ikhlas.  Gelaran firaun yang dilemparkan terhadap DS Najib pula ternyata agak melampau dan terbukti memperlihatkan sikapnya yang kurang ajar serta tidak beradab.  Melihat pada gambar replika kepala firaun dengan logo UMNO seperti terpampang di blog tersebut pula bukan setakat menyebabkan amarah kita membuak-buak tetapi juga mengimbas kembali ingatan kita kepada gerakan reformasi yang terkenal dengan kempen melampaui batas dan kurang ajar satu ketika dulu.  Ternyata doktrin kebencian dan sikap kurang ajar yang disemai oleh pemimpin pembangkang semasa zaman gelap reformasi tahun 1990-an dulu nampaknya masih lagi kuat melekat dikalangan sebahagian besar penyokong totoknya.  Bertahun-tahun dulu di zaman kegelapan reformasi tersebut, panggilan mahafiraun, mahazalim dan sebagainya cukup popular meniti dari bibir ke bibir penyokong pembangkang yang bergabung tenaga di belakang Anwar Ibrahim.  Tidak cukup dengan gelaran-gelaran itu, diguna pula kreativiti mereka dengan memuat naik gambar superimposed Dr Mahathir yang sengaja diperlihatkan seperti firaun.  Apa yang berlaku dulu kini seperti cuba dilaksanakan kembali menunjukkan hakikat yang PR sudah ketandusan idea dalam mendepani cabaran PRU 13 yang semakin hampir disebalik tanda-tanda nyata kekuatan mereka sudah kian merudum.  Memfitnah DS Najib dengan gelaran firaun dan kononnya zalim mungkin berjaya menambah kebencian penyokong pembangkang terhadap kepimpinan DS Najib yang menerajui Kerajaan Barisan Nasional, namun realitinya majoriti rakyat tidak dapat menerima kempen politik yang melampaui batas seperti itu.  Jika dulu rakyat telah menghukum pakatan pembangkang dengan menghadiahkan kemenangan kepada BN gara-gara keceluparan dan sikap kurang ajar penyokong Anwar sewaktu di zaman Dr Mahathir sebagai PM, pastinya PRU 13 kelak penangan yang lebih teruk bakal melumpuhkan terus PR dari persada politik negara

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Sendiri Tulis Sendiri Tanggung Ya, Penulis Blog Tidak Bertanggungjawab Ke atas Implaksi Perundangan Yang Dikenakan Oleh Pihak Berkuasa Ke atas Mana-mana Ulasan Yang Menyalahi Perundangan Yang berkuatkuasa