Pages

13 Ogo 2015

ARUL KANDA YAKIN 1MDB MAMPU LANGSAI HUTANG DALAM 6 BULAN


KUALA LUMPUR:  Biarpun ekonomi negara kini berdepan dengan pelbagai cabaran termasuk penyusutan nilai ringgit, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif 1Malaysia Development Berhad (1MDB) Arul Kanda Kandasamy tetap yakin syarikat pelaburan negara itu mampu melangsaikan hutangnya dalam tempoh enam bulan.

Keyakinan itu adalah berdasarkan aset-aset miliknya yang boleh dilupuskan, antara lain, RM16 bilion hingga RM20 bilion milik syarikat subsidari 1MBD, Edra Global Energy Bhd; RM16 bilion dalam International Petroleum Investment Company (IPIC), dan RM11 bilion hingga RM12 bilion dalam projek hab ekonomi Bandar Malaysia di ibu negara.

"Saya yakin tempoh masa yang diberikan Perdana Menteri untuk 1MDB melangsaikan hutang bersesuaian dengan keadaan masa syarikat dan pasaran semasa," jelas beliau dalam satu program temu bual 'Soal Jawab' di TV3 lewat Rabu.

1MDB, katanya, mempunyai aset yang kukuh dan syarikat itu juga mempunyai pelabur-pelabur tempatan dan luar negara yang berminat dengan jangka masa panjang pelaburan dalam 1MDB.

"Kira-kira 40 syarikat terkemuka daripada China, Australia dan Timur Tengah telah menunjuk minat dalam pembangunan Bandar Malaysia," kata Arul Kanda.

Jelasnya lagi, pelan rasionalisasi hutang 1MDB tidak akan terjejas disebabkan oleh penurunan nilai ringgit kerana syarikat itu memiliki aset dalam dolar Amerika Syarikat (AS) yang akan membolehkan ia membayar hutang luarnya dalam nilai dolar AS.

"Kita mempunyai syarikat janakuasa terbesar di negara asing seperti di Bangladesh dan Mesir. Kami juga mempunyai aset janakuasa di Abu Dhabi dan Pakistan dengan semua aset itu dalam dolar Amerika. Jadi kita ada kelebihan iaitu aliran tunai dalam dolar Amerika yang mempunyai nilai sama jika dilupuskan," katanya.

Ditanya adakah sentimen semasa akan menjejaskan keyakinan pelabur, Arul Kanda menjelaskan masalah tohmahan dan isu politik sememangnya merisaukan pelabur namun keadaan ekonomi juga penting dalam melaksanakan pelan-pelan rasionalisasi bagi mengurangkan beban hutang 1MDB.

"Aset 1MDB pada asasnya adalah kukuh dan kekukuhan itu menyakinkan pelabur. Kalau lihat ahli perniagaan dan pelabur, mereka fokus terhadap asas dan aset. Contohnya, Edra aliran tunainya lebih RM5 bilion setahun melalui penjanaan kuasa dan penjualan tenaga. Itu adalah aliran tunai yang dilihat jangka panjang sebagai mempunyai nilai," tambahnya.

Justeru cabaran utama 1MDB ketika ini adalah untuk menstabilkan kewangan syarikat dengan menyelesaikan hutangnya dan pada masa sama berharap dapat menjana pendapatan dan operasi serta keuntungan pada masa akan datang.

Sebelum ini, Datuk Seri Najib Razak berkata beban hutang syarikat 1MDB mampu dikurangkan dalam tempoh lima bulan akan datang secara berperingkat.

Menurut Perdana Menteri, isu hutang 1MDB telah disensasikan di media dan media sosial sehinggakan ia menjadi isu panas biarpun tiada kerugian yang dicatat syarikat pelaburan negara itu. - Astro Awani.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Sendiri Tulis Sendiri Tanggung Ya, Penulis Blog Tidak Bertanggungjawab Ke atas Implaksi Perundangan Yang Dikenakan Oleh Pihak Berkuasa Ke atas Mana-mana Ulasan Yang Menyalahi Perundangan Yang berkuatkuasa