DATUK Patinggi Tan Sri Adenan Satem selaku Ketua Menteri Sarawak berjaya melengkapi kabinet dengan pelantikan pasukan Adenan apabila 18 orang ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) mengangkat sumpah sebagai menteri muda di hadapan Yang Di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud di Dewan Undangan Negeri Sarawak. Terdapat beberapa fakta menarik berkenaan ahli kabinet baharu tersebut.
Gabungan muka lama dan muka baru
Terdapat 6 muka baru dilantik sebagai Menteri Muda, 12 muka lama dikekalkan dan dua digugurkan. Sudah tentu, Adenan mempunyai pregoratif dalam pelantikan ini kerana ini membayangkan barisan kabinet untuk 5 tahun sepanjang tempoh sah mandate rakyat. Gabungan muka lama dan baru dilakukan untuk memantapkan barisan kabinet. Gabungan pengalaman baru dan pengalaman diyakini akan berupaya memberikan kesan yang lebih ampuh untuk membangunkan negeri Sarawak.
Pelbagai Etnik
Adenan bertindak dengan meletakkan semua wakil etnik di Sarawak menganggotai kabinet baharu yang meliputi etnik Iban, Melayu/Melanau, Bidayuh, Cina dan orang Ulu. YB Liwan Dagang misalnya mewakili etnik Kayan manakala Datuk Gerawat juga merupakan etnik orang Ulu. Dengan kata lain, sungguhpun etnik orang Ulu merupakan etnik minoriti kecil berbanding dengan etnik Iban dan Melayu, tetapi mereka tidak disisihkan dalam penyertaan dalam kabinet. Inilah dinamakan sebagai politik inklusif yang memenuhi cita rasa rakyat Sarawak.
Politik Zon
Bagi melakukan imbangan ahli kabinet agar tidak semata-mata berpusatkan di Petra Jaya semata-mata maka formula agihan kuasa dilakukan. Didapati setiap zon mempunyai menteri-menteri muda mereka sendiri.
Misalnya YB Abdul Rahman Ismail yang menang tanpa bertanding di Bukit Kota dilantik menjadi Menteri Muda. Begitu YB Dr Annuar Rapaee merupakan salah seorang wakil rakyat di kawasan zon tengah manakala terdapat wakil rakyat dilantik sebagai menteri muda di kawasan Zon Selatan. Inilah dikatakan agihan politik mengikut zon sama ada disedari secara langsung atau tidak langsung.
Penyertaan Wanita
Pelantikan Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali telah menambahkan lagi penyertaan wanita dalam pembentukan kabinet baru ini. Pendekatan mesra rakyat, tidak sombong dan latar pendidikan undang-undang cemerlang seterusnya kunci kepada beliau untuk terus naik dalam kerjaya politik.
Fokus luar bandar
Sebahagian besar ahli kabinet dibentuk Adenan merupakan wakil rakyat dari kawasan luar bandar. Hal ini sesuai dengan fokus pembangunan luar bandar yang kini dilaksanakan dengan lebih giat lagi. Wakil rakyat di luar bandar lebih faham akan masalah sebenar dan mencari jalan untuk merancakkan pembangunan luar bandar berdasarkan acuan mereka sendiri.
Adenan sendiri lebih faham akan hal ini kerana beliaulah satu-satu wakil rakyat yang menjadi wakil rakyat di beberapa kawasan luar bandar sebelum menjadi Ketua Menteri Sarawak.
Berpendidikan
Rata-rata mereka yang terpilih sebagai Menteri Muda terdiri daripada pelbagai latar belakang profesional. Terdapat teknokrat disegani, lulusan undang-undang, ekonomis, pentadbir awam dan sebagainya. Mereka juga bukanlah wakil rakyat baru pertama kali menjadi YB. Kecualilah pelantikan sebagai Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri, iaitu Dato Gerawat Gala yang mempunyai nama besar dalam bidang perundangan.
Realiti Etnik dan Protokol
Realiti di Sarawak tidak sama seperti reality di Semenanjung Malaysia kerana Sarawak mempunyai etnik bumiputera bukan Islam yang terbesar. Adenan menyedari realiti ini dan lebih berhati-hati dalam soal ini. Beliau juga tahu selama ini, terdapat Jabatan Agama Islam, Majlis Agama Islam dan Mufi Negeri Sarawak yang bertanggungjawab dalam hal ehwal Islam.
Mufti Negeri Sarawak dari segi protokol negeri Sarawak lazimnya memainkan peranan menasihati Tuan Yang Terutama Negeri Sarawak dan Ketua Menteri Sarawak dalam hal ehwal agama Islam. Institusi agama ini termasuklah dalam soal pengurusan baitulmal, mempunyai ramai pakar berkelayakan untuk rujukan hukum-hakam adat istiadat dan sebagainya.
Selagi jawatan dan peranan Mufti Negeri Sarawak, Jabatan Agama Islam, Majlis Agama Islam masih wujud dan berfungsi soal perlunya portfolio orang politik memegang jawatan tersebut tidak relevan. Lagi pun ramai ahli kabinet Negeri Sarawak beragama Islam.
*Profesor Madya Dr Awang Azman Awang Pawi, Pensyarah dari Universiti Malaya
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Sendiri Tulis Sendiri Tanggung Ya, Penulis Blog Tidak Bertanggungjawab Ke atas Implaksi Perundangan Yang Dikenakan Oleh Pihak Berkuasa Ke atas Mana-mana Ulasan Yang Menyalahi Perundangan Yang berkuatkuasa