Pages

28 Jun 2016

Kabinet dirombak, tiada menteri baharu dari Sarawak


Bekas menteri dan seorang timbalan menteri dilantik sebagai menteri penuh dalam rombakan dan penyusunan semula Kabinet yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak semalam.
Ketika membuat pengumuman itu dalam sidang media di sini, Najib turut memaklumkan Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah berhasrat menamatkan perkhidmatan sebagai Menteri Kewangan Kedua atas sebab peribadi, selain akan menyusun semula tugas menteri-menteri di bawah Jabatan Perdana Menteri.
Tan Sri Noh Omar, bekas Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, dibawa masuk untuk menerajui Kementerian Kesejahteraan  Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan manakala Timbalan Menteri Kewangan Datuk Johari Abdul Ghani dinaikkan pangkat sebagai Menteri Kewangan Kedua.
Najib juga memgumumkan pelantikan tiga timbalan menteri baharu dan seorang bekas timbalan menteri ke dalam Kabinet bagi memantapkan pentadbiran.

“Ini akan mengukuhkan lagi pentadbiran sedia ada bagi memastikan agenda pembangunan kerajaan untuk rakyat –  pembangunan ekonomi, kebajikan dan keselamatan – terus berjalan dengan baik sebagaimana yang telah dijanjikan,” katanya.
Tiga timbalan menteri baharu dilantik ialah Ahli Parlimen Jerlun Datuk Othman Aziz sebagai Timbalan Menteri Kewangan, Ahli Parlimen Silam Datuk Nasrun Datu Mansur sebagai Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi manakala Ahli Parlimen Lawas Datuk Henry Sum Agong sebagai Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan.
Timbalan Presiden MIC Datuk Seri S.K Devamany dilantik semula sebagai Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri.
Najib berkata penyusunan semula kabinet turut melibatkan pertukaran portfolio menteri kabinet sedia ada iaitu Menteri di Jabatan Menteri Datuk Seri Mah Siew Kiong kini sebagai Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi manakala Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Abdul Rahman Dahlan menggalas tugas sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang bertanggungjawab bagi Unit Perancang Ekonomi (EPU).

Timbalan menteri yang terlibat dalam pertukaran portfolio adalah antara Datuk Chua Tee Yong yang mengambil alih tugas di Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri daripada Datuk Lee Chee Leong yang bertukar ke Kementerian Kewangan.
Mah yang juga Presiden Gerakan, sebelum ini Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang bertanggungjawab untuk mengetuai lembaga wakaf Hindu, menyelia Unit Inovasi (UNIK), bertanggungjawab terhadap organisasi yang berurusan dengan tenaga nuklear dan Kumpulan Teknologi Tinggi Industri Kerajaan Malaysia (MIGHT) manakala Abdul Rahman juga merupakan Pengarah Strategik Komunikasi Barisan Nasional (BN).
Najib berkata selaras dengan perenggan (b) Fasal (2) Perkara 43 Perlembagaan Persekutuan mengenai pelantikan Menteri Persekutuan dan Fasal (1) Perkara 43A mengenai pelantikan Timbalan Menteri Persekutuan, Yang di-Pertuan Agong telah memperkenankan pelantikan-pelantikan tersebut.
Beliau berkata rombakan Kabinet kali ini adalah bagi mengisi kekosongan menteri persekutuan dan timbalan menteri persekutuan.
Ini termasuk peletakan jawatan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Amar Douglas Uggah Embas yang telah bertanding pada Pilihan Raya Negeri Sarawak pada Mei lepas dan kemudiannya dilantik sebagai Timbalan Ketua Menteri Sarawak.
Tan Sri Wahid Omar juga telah membuat keputusan untuk tidak meneruskan tempoh perkhidmatan sebagai senator yang tamat pada bulan ini dan seterusnya sebagai menteri di jabatan perdana menteri.
Selain itu, terdapat juga kekosongan jawatan timbalan menteri perusahaan, perladangan dan komoditi setelah pemergian ke rahmatullah penyandangnya Tan Sri Noriah Kasnon dalam nahas udara Mei lepas.
Rombakan Kabinet semalam merupakan kali ketiga dilaksanakan Najib.
Najib melakukan rombakan Kabinet pertamanya pada 25 Jun 2014 melibatkan penyertaan semula pemimpin parti komponen Barisan Nasional (BN) daripada Gerakan dan MCA dalam barisan Kabinet.
Ia termasuk pelantikan Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai sebagai Menteri Pengangkutan, Timbalan Presiden MCA Datuk Wee Ka Siong sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Mah selaku Presiden Gerakan sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri.
Najib ketika melakukan rombakan kabinet yang kedua pada 28 Julai 2015 berkata ia dilakukan untuk memperkukuhkan barisan dalam menghadapi cabaran dalam menguruskan negara sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).
Rombakan tersebut menyaksikan pelantikan Datuk Ser Ahmad Zahid Hamidi sebagai Timbalan Perdana Menteri menggantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang digugurkan. — Bernama

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Sendiri Tulis Sendiri Tanggung Ya, Penulis Blog Tidak Bertanggungjawab Ke atas Implaksi Perundangan Yang Dikenakan Oleh Pihak Berkuasa Ke atas Mana-mana Ulasan Yang Menyalahi Perundangan Yang berkuatkuasa