Naib Presiden Umno, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal menjadi perhatian banyak pihak selepas menghantar gambar dirinya bersama anggota kempen BN semasa pilihan raya kecil (PRK) Sungai Besar di Facebook.
Ia mencetuskan spekulasi sama ada beliau telah meninggalkan kumpulan yang memberontak terhadap Umno yang telah berikrar untuk menggulingkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Pada Julai yang lalu, Shafie bersama-sama Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah dilucutkan jawatan mereka dalam kabinet kerana mengkritik Najib atas skandal 1MDB dan berbilion wang dalam akaun bank peribadinya.
Dalam gambar itu, para anggota kempen BN yang terkejut dengan kehadiran Shafie dilihat berjabat tangan dan memeluk beliau.
Gambar-gambar tersebut muncul susulan rancangan oleh para ‘pemberontak’ Umno yang diketuai oleh bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad untuk berkempen menentang BN di pilihan raya kecil Sungai Besar dan Kuala Kangsar.
Mereka yang menentang BN menyifatkan dua pilihan raya kecil itu sebagai referendum kepada kepimpinan Najib selaku perdana menteri.
Dalam laman Facebook, Shafie sempat menafikan bahawa beliau telah membuat pusingan U sambil menekankan bahawa beliau sentiasa setia dengan Umno.
“Saya masih ahli Umno, masih naib presiden Umno. Isu membuat pusingan U atau isu kesetiaan saya kepada parti tidak timbul sama sekali.
“Selagi saya masih hidup , saya akan terus berjuang untuk rakyat, bukan untuk mana-mana individu. Saya suka parti saya , tetapi saya juga suka negara saya lebih daripada segala-galanya, ” katanya.
BicaraNews
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Sendiri Tulis Sendiri Tanggung Ya, Penulis Blog Tidak Bertanggungjawab Ke atas Implaksi Perundangan Yang Dikenakan Oleh Pihak Berkuasa Ke atas Mana-mana Ulasan Yang Menyalahi Perundangan Yang berkuatkuasa