Keterujaan seorang remaja lelaki mengikuti rombongan sekolahnya menyaksikan acara Sukan Malaysia (SUKMA) berakhir tragedi apabila dia dirempuh sebuah van milik polis ketika melintas jalan di Jalan Bako di sini, semalam.
Pegawai Turus Trafik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak DSP Alexson Naga berkata, mangsa iaitu Ronaido Lim, 16, semasa kejadian dikatakan baharu turun dari bas yang dinaiki rombongan sekolahnya dan berlari melintas jalan menuju ke rumahnya di Kampung Siol Batu.
Bagaimanapun, sebuah van milik Pasukan Gerakan Am (PGA) dikatakan tidak sempat mengelak mangsa yang melintas jalan lalu melanggarnya dalam kejadian yang berlaku sekitar jam 12.10 tengah malam itu.
“Mangsa dikatakan turun dari bas yang dinaiki bersama rombongan sekolahnya serta penyokong SUKMA di Jalan Bako dan terus berlari melintas jalan menyebabkan dia dilanggar van PGA yang datang dari arah yang sama,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataanya di sini, semalam.
Menurutnya juga, mangsa telah dikejarkan ke Hospital Umum Sarawak (HUS) dan dirawat di Zon Merah Unit Kecemasan.
Difahamkan juga, ahli keluarga mangsa yang merupakan pelajar di Sekolah Menengah Demak Baru turut hadir di lokasi kejadian sebelum mangsa dikejarkan ke HUS.
“Mangsa seterusnya dikejarkan ke ambulans yang mengikuti rombongan Timbalan Perdana Menteri dan difahamkan berada dalam keadaan kritikal serta dirawat di Zon Merah Unit Kecemasan HUS,” katanya.
Tambah Alexson juga, van yang dinaiki beberapa anggota PGA tersebut semasa kejadian dalam perjalanan menuju ke rumah Yang di-Pertua Negeri untuk bertugas.
“Pihak kita masih menjalankan siasatan berhubung kemalangan tersebut,” katanya.
Sementara itu, Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mazlan Mansor yang turut meluangkan masa melawat mangsa di HUS turut memberitahu bahawa pihaknya akan menyalurkan bantuan kepada mangsa dan keluarganya.
“Ini adalah kemalangan jalan raya yang boleh menimpa sesiapa sahaja pada bila-bila masa, cuma kita berdoa agar dia (mangsa) cepat sembuh,” katanya ketika ditemui pemberita.
BP
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Sendiri Tulis Sendiri Tanggung Ya, Penulis Blog Tidak Bertanggungjawab Ke atas Implaksi Perundangan Yang Dikenakan Oleh Pihak Berkuasa Ke atas Mana-mana Ulasan Yang Menyalahi Perundangan Yang berkuatkuasa