Pages

20 Sep 2016

Media Barat Sabotaj Anugerah Untuk Rosmah Dan PERMATA




Portal media tertentu dan penyokong pembangkang cuba mengambil kesempatan memperlekehkan isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor berikutan keputusan mengeluarkan nama beliau dari senarai penerima anugerah dalam program "A Tribute to heroes in the global campaign against violent extremism”, yang akan diadakan di Muzium Metropolitan of Art, New York, Khamis ini.

Hakikatnya, anugerah yang sepatutnya mengangkat nama negara ini telah disabotaj oleh pihak-pihak yang tidak mahu Malaysia dan Datin Seri Rosmah menerima anugerah tersebut. Berikut adalah kronologi tentang peristiwa yang berlaku:

Minggu lalu, pejabat Ketua Pengarah UNESCO melalui Pejabat Perhubungan di Geneva mengeluarkan satu kenyataan akhbar yang memperincikan jadual Ketua Pengarah UNESCO, Irina Bokova semasa dia melawat Bandaraya New York bagi menghadiri Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu yang diadakan setiap tahun. Salah satu acara yang akan dihadirinya adalah "A Tribute to heroes in the global campaign against violent extremism”.

Dalam acara ini, Datin Seri Rosmah sepatutnya menerima Anugerah "The Lead by Example” daripada Antiquities Coalition bersama dengan Presiden Macky Mall dari Senegal seperti yang dilaporkan oleh beberapa media tempatan.

Dalam e-mel kepada media, jurucakap Antiquities Coalition, Andy Beck berkongsi kenyataan daripada Profesor Tudor Parfitt, seorang sarjana British, dan Felo Royal Historical Society dan pengerusi panel penasihat akademik antarabangsa untuk acara tersebut yang menyebut bahawa, "jawatankuasa ini mencadangkan supaya program PERMATA diberi pengiktirafan kerana dilihat mewakili model untuk diteladani di negara-negara lain dengan penduduk berbilang kaum". Ujar Parfitt lagi, "program yang diasaskan tahun 2007 di bawah naungan Rosmah Mansor, telah pun menerima pengiktirafan atas usahanya untuk membantu golongan muda yang tidak bernasib baik mencari pekerjaan dan mengembangkan potensi mereka".

Datin Seri Rosmah sepatutnya mendapat anugerah itu kerana sumbangannya terhadap pendidikan awal kanak-kanak dan kejayaan pelbagai program di bawah Program PERMATA yang juga merupakan ideanya.

Malangnya, seperti yang dilaporkan oleh media asing, New York Times dan portal Malaysiakini, “Parfitt berkata berikutan kebocoran tidak tepat tentang cadangan jawatankuasa itu, organisasi itu telah disoal oleh media mengenai sumber pembiayaan untuk PERMATA." Dia berkata, sebagai ahli akademik, organisasi itu tidak mempunyai cara segera untuk mengesahkan pembiayaan untuk PERMATA, dan tidak mengetahui tentang apa-apa salah laku.”

New York Times melaporkan, “Kenyataan itu berkata, persoalan telah dibangkitkan mengenai sumber pembiayaan PERMATA, dan walaupun penganjur acara tidak tahu tentang sebarang salah laku, mereka tidak mempunyai masa untuk menyemak organisasi.”

Jawatankuasa itu akhirnya terpaksa mengeluarkan nama DS Rosmah sebagai salah satu daripada penerima anugerah semata-mata kerana mereka tidak dapat mengesahkan sumber pembiayaan PERMATA.

Pihak media, terutama media barat cuba mengimplikasikan bahawa sumber pembiayaan PERMATA datang daripada sumber yang tidak sah walhal PERMATA sebenarnya mendapat dana daripada kerajaan di bawah Jabatan Perdana Menteri. Berikut adalah dana yang diperuntukkan kepada PERMATA setiap tahun sejak 2013:

2013: RM20.59 juta
2014: RM32.39 juta
2015: RM34.46 juta
2016(e): RM36.34 juta

Dana yang diperuntukkan daripada belanjawan tahunan kerajaan ini telah digunakan untuk membayar gaji kakitangan, perkhidmatan dan bekalan, pembelian aset atau dalam erti kata lain untuk membiayai operasi PERMATA. Tidak benar untuk mengatakan bahawa sumber dana untuk PERMATA tidak dapat disahkan sedangkan dokumen-dokumen kerajaan berkenaan perbelanjaan dan butir-butirnya telah dibentangkan, berada di dalam domain awam dan mudah diakses.

Serangan tidak berasas dan tanpa henti ke atas Datin Seri Rosmah dan PERMATA oleh sesetengah pihak adalah tidak wajar. Program PERMATA telah membawa banyak manfaat kepada kanak-kanak, remaja, kanak-kanak OKU seperti kanak-kanak autistik dan pelajar pintar di Malaysia dan ia diiktiraf di peringkat antarabangsa.

Penyingkiran Datin Seri Rosmah dari anugerah “Lead by Example” mungkin dianggap melucukan dan merupakan kemenangan buat sesetengah pihak. Hakikatnya, ia adalah kerugian kepada negara dan kemenangan pihak yang sengaja mahu mensabotaj dan menafikan kecemerlangan Malaysia serta program PERMATA dalam bidang pendidikan awal kanak-kanak termasuk kanak-kanak pintar dan berkelainan upaya (OKU).

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Sendiri Tulis Sendiri Tanggung Ya, Penulis Blog Tidak Bertanggungjawab Ke atas Implaksi Perundangan Yang Dikenakan Oleh Pihak Berkuasa Ke atas Mana-mana Ulasan Yang Menyalahi Perundangan Yang berkuatkuasa