Pages

21 Sep 2016

MENANG PRU, MAT SABU CALON HARAPAN PAKATAN HARAPAN UNTUK JADI PM



Pernahkah anda terfikir, andai pembangkang akhirnya berjaya memenangi Pilihan Raya Umum ke 15 kelak, antara nama yang akan disebut-sebut untuk menjadi Perdana Menteri pada waktu itu adalah Presiden Parti Amanah Negara (PAN), Mohamad Sabu? Pastinya ramai yang tersenyum dengan andaian ini. Namun, beberapa fakta ini mungkin harus diambil kira sebelum mengatakan artikel ini satu artikel gila.

Jika anda perhatikan, barisan kepimpinan pembangkang negara ini kini semakin berusia. Apabila Pilihan Raya Umum ke 14 berlangsung kelak, nnama-nama seperti Tun Dr Mahathir, Tan Sri Muhyiddin, Datuk Seri Anwar, Lim Guan Eng, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan lain-lain lagi sudah mengenjak usia antara 68 hingga 93 tahun.

Untuk mengatakan Mahathir akan kembali ke tampuk pemerintahan negara, adalah suatu perkara yang melucukan. Andai kata Pilihan Raya Umum ke 14 berlangsung tahun hadapan, beliau akan berusia 93 tahun dan pada PRU ke 15 kelak, beliau akan berusia 98 tahun. Mungkinkah pembangkang mahu melihat Mahathir menemui ajalnya di kerusi Perdana Menteri pada usia 98 tahun?
Bagi Muhyiddin pula, PRU ke 14 merupakan peluang terbaiknya untuk merampas kedudukan Perdana Menteri menerusi panji pembangkang. Pada usia 70 tahun pada PRU ke 14 (andai berlangsung tahun hadapan), beliau akan berusia 75 tahun untuk menjadi Perdana Menteri, satu usia yang boleh dianggap terlalu tua untuk menjawat jawatan berkenaan.

Individu yang disebut-sebut sebagai bakal Perdana Menteri ke 7, Datuk Seri Anwar Ibrahim pula akan berusia 70 tahun pada tahun hadapan. Disebabkan hukuman penjara yang diterima, beliau dilarang untuk bertanding selama 5 tahun dan hanya akan boleh bertanding semula pada tahun 2023. Ini bermakna, beliau terpaksa menunggu sehingga 2027 untuk membolehkan beliau menjadi Perdana Menteri pada usia 80 tahun.

Lim Guan Eng pula, walaupun masih muda, namun undang-undang negara telah menyebut bahawa seseorang Perdana Menteri Malaysia adalah dari anak jati Malaysia yang berbangsa Melayu dan beragama Islam. Walaupun pada tahun hadapan beliau berumur 56 tahun dan pada tahun 2022, sebaik PRU 15 berakhir, beliau berumur 61 tahun, harapan untuk beliau menjadi Perdana Menteri tetap tipis dan sukar.

Bagi Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, pada usianya yang mengenjak pada 69 tahun, tahun hadapan, andai beliau membawa PAS memenangi PRU ke 15 pada tahun 2022, usianya pada ketika itu adalah 74 tahun. Nasib beliau sama seperti Muhyiddin dimana pada usia itu, bolehlah dianggap sebagai terlalu tua untuk menjadi Perdana Menteri.
Hanya Mat Sabu sahaja Presiden parti politik pembangkang yang dilihat masih “muda”. Pada PRU ke 14, beliau baru berusia 62 tahun dan andai berjaya memenangi PRU 15 menerusi tiket pembangkang, beliau akan berusia 67 tahun di mana, usia berkenaan dilihat sebagai peluang terbaiknya untuk menjadi Perdana Menteri.

Jika ada yang mengatakan, Nurul Izzah Anwar berpeluang menjadi Perdana Menteri, langkahnya mungkin akan tersekat jika kita meneliti undang-undang negara. Mungkin nama Datuk Seri Azmin Ali, Rafizi Ramli atau Nik Abduh turut akan tersenarai, namun usah dilupa, jika menurut senarai senioriti, Mat Sabu adalah pemimpin paling senior dalam pakatan pembangkang.
Lihatlah, betapa tandusnya pelapis pembangkang yang ada pada hari ini. Tidak seperti UMNO yang sentiasa melahirkan pemimpin pelapis melalui sayap Pemuda dan Puterinya, pembangkang mungkin akan berhadapan dengan krisis kepimpinan sebaik sahaja mereka tewas pada PRU 14 di mana, mereka kesuntukan masa untuk menyediakan pemimpin pelapis untuk menghadapi PRU 15.

Pru14.tv

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Sendiri Tulis Sendiri Tanggung Ya, Penulis Blog Tidak Bertanggungjawab Ke atas Implaksi Perundangan Yang Dikenakan Oleh Pihak Berkuasa Ke atas Mana-mana Ulasan Yang Menyalahi Perundangan Yang berkuatkuasa