Selepas menawarkan nombor plat unik Gagasan Satu Malaysia (G1M), kini satu lagi plat pendaftaran istimewa dengan abjad ‘GT’ ditawarkan oleh Kelab Eksplorasi 7 Benua Malaysia (KE7B).
Presidennya, Muhammad Muqharabbin Mokhtarrudin berkata, nombor plat Generasi Terbilang (GT) diwujudkan bagi membolehkan rakyat Malaysia membantu menjayakan projek yang dijalankan oleh KE7B dalam melakar nama negara di peringkat antarabangsa.
“Penjualan plat GT ialah bagi mengumpul dana KE7B dalam usaha meletakkan nama Malaysia dalam misi-misi besar negara membabitkan bidang sukan ekstrim dan projek penjelajahan eksplorasi di seluruh dunia.
“KE7B diberikan mandat oleh Perdana Menteri untuk mengendalikan urusan penjualan serta pihak JPJ dan Kementerian Pengangkutan Malaysia telahpun memberikan sokongan dan meluluskan plat Generasi Terbilang ini.”
Muqharabbin berkata demikian ketika dalam satu sesi latihan fizikal fasa kedua, membabitkan aktiviti memanjat bukit Tabur, di sini, sebagai penyesuaian untuk misi penjelajah ekspedisi merentas Kutub Utara 2017.
Turut hadir dalam sesi latihan adalah Penasihat KE7B, Datuk Akmar Hisham Mohkhles serta dua lagi wakil negara, Shahrom Abdullah dan Irwan Yusoff.
Menurut Muqharabbin, nombor pendaftaran istimewa ini ditawarkan sebanyak 9,999 nombor untuk dipilih, dengan harga rizab minima untuk nombor biasa bermula dari RM1,000 hingga RM200,000 untuk ‘GT1’.
“Orang ramai boleh membida nombor plat kenderaan Generasi Terbilang (GT) yang dibuka dengan harga permulaan bernilai RM1,000, bermula sekarang hingga 31 Oktober ini.
“Jika anda berjaya dalam tender berkenaan, anda perlu mendaftarkan nombor pendaftaran berkenaan ke kenderaan anda sebelum berakhirnya 2017 di Pejabat JPJ Cawangan Wangsa Maju,” katanya.
Nombor pendaftaran baharu istimewa ini pastinya akan menarik minat ramai pemilik kereta berprestasi tinggi dengan lencana GT seperti Mustang GT, GT-R, Continental GT dan banyak lagi.
Setakat ini, nombor pendaftaran ‘PATRIOT 1’ merupakan nombor pendaftaran istimewa paling mahal pernah dijual di Malaysia dengan harga RM1.308 juta dibeli oleh individu yang tidak mahu dikenali.
Manakala untuk nombor pendaftaran biasa yang paling mahal pula ialah nombor ‘F1’ yang dibeli oleh Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, dengan harga RM836,660.
Untuk maklumat lanjut berkaitan nombor plat GT, anda boleh menghubungi Setiausaha KE7B, Zulaikha di talian 016-9035130/03-27762462 atau terus mengunjungi laman rasmi mereka di www.platgt.com. – MYNEWSHUB.CC
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Sendiri Tulis Sendiri Tanggung Ya, Penulis Blog Tidak Bertanggungjawab Ke atas Implaksi Perundangan Yang Dikenakan Oleh Pihak Berkuasa Ke atas Mana-mana Ulasan Yang Menyalahi Perundangan Yang berkuatkuasa