Pages

4 Okt 2016

MAD : Singkatan Untuk “Mahathir Accedes Defeat (Mahathir Terima Kekalahan)”


Apabila Tun Dr Mahathir Mohamad menulis artikel dalam blognya yang bertajuk Propaganda pada 28 September 2016, anda dapat melihat bahawa beliau benar-benar sangat marah. Orang tua itu tidak dapat menahan kemarahan dan membidas dengan pantas.

Dalam artikel itu, Mahathir bercakap mengenai “Goebbels”, dan menggelar Salleh Said Keruak, Tengku Adnan Tengku Mansor, Abdul Rahman Dahlan, dan Tengku Sariffuddin Tengku Ahmad, ditambah juga dengan blogger ‘Big Dog’ (Zakir Mohamad) dan ‘Rocky Bru’ (Ahirudin Attan), sebagai ‘Goebbels’ kepada Perdana Menteri Najib Tun Razak .

Mungkin Mahathir maksudkan perkara itu sebagai satu penghinaan. Walau bagaimanapun, untuk makluman, anda tidak boleh dipanggil Goebbels melainkan anda seorang yang sangat bijak (Joseph Goebbels adalah seorang Doktor Falsafah yang memperolehi gelaran itu dari Universiti Heidelberg, yang pada hari ini berada di kedudukan nombor satu di peringkat kebangsaan dan ke-46 di dunia.

Maksud saya, jika Mahathir memanggil saya “Goebbels”, maka saya akan membingkaikan kenyataan itu dan menggantungnya di dinding. Saya akan menganggap ia sebagai satu penghormatan besar. Malangnya, saya bukan salah seorang daripada blogger yang dinamakan bersama-sama dengan Rocky Bru dan Big Dog – atas sebab apa saya tidak tahu, kerana saya adalah blogger paling dibenci nombor satu di Malaysia, dan saya bangga dengan perkara itu.

Mahathir juga tidak menamakan ‘Goebbels’ sebenar dalam pasukan Najib, walaupun beliau menamakan empat yang lain. Orang ini adalah ketua Boffin Boys, yang Mahathir kenal secara peribadi dan tahu bahawa beliau adalah ketua serang balas propaganda Najib. Ya, orang ini yang Mahathir tidak akan menamakan telah berjaya mengatasi Mahathir dan membalas semua propaganda Mahathir dengan cara serang balas propaganda berkesan.

Dan serang balas propaganda orang ini bukanlah dalam keadaan yang janggal dan kekok. Kadang-kadang beliau melawan. Kadang-kadang beliau menangkis. Kadang-kadang beliau mengalihkan perhatian. Kadang-kadang beliau membalas balik. Kadang-kadang beliau berdiam diri dan tidak berbuat apa-apa manakala Mahathir terus mara secara membuta tuli sehingga berdepan dengan sesuatu yang tidak beliau jangkakan.

Dan ini adalah bagaimana caranya memainkan strategi serang balas propaganda dengan baik. Bukan setiap tamparan pperlu dibalas dengan tamparan juga. Anda juga tidak sentiasa menghalang pukulan. Kadang-kadang anda tunduk untuk mengelak daripada terkena pukulan. Kadang-kadang anda bongkok ke belakang. Kadang-kadang anda membalas balik tendangan. Terdapat begitu banyak bentuk serang balas apabila anda diserang. Malah, kadangkala berundur daripada musuh anda juga adalah satu lagi bentuk tindakan balas.

Masalahnya adalah bahawa pasukan propaganda Mahathir adalah sekumpulan orang yang bodoh. Sebagai contoh, blogger bernama Syed Akbar Ali yang menulis sebagai OutSyed the Box dan gemar memanggil semua orang dungu. Hari ini beliau menerbitkan artikel bertajuk “The Bugis Is Becoming More Infamous – Here is The Diplomat”. 

Artikel tersebut ditulis oleh Luke Hunt, seorang penulis pro-pembangkang. Beliau sama seperti Clare Rewcastle Brown dari Sarawak Report, John Berthelsen dari Asia Sentinel, dan banyak lagi. Ianya dikatakan bahawa pembangkang membiayai orang-orang ini (mereka juga membiayai wartawan Mat Salleh di AS, UK dan Australia) sepertimana Malaysiakini dibiayai untuk menyerang Najib dengan menggunakan isu 1MDB.

Pendek kata, tiada seorang pun daripada orang-orang ini merupakan wartawan dan penulis blog bebas, seperti yang mereka dakwakan. Semua dibiayai (dan ada juga yang disogok) untuk menulis cerita-cerita negatif tentang Najib. Tetapi, jika anda menulis apa-apa yang menentang Najib maka anda hanya pencari kebenaran, manakala jika anda menulis apa-apa menentang Pakatan Harapan atau Mahathir maka anda pemakan dedak (pemakan makanan ayam).

Satu perkara penting yang perlu dititik beratkan adalah satu isu iaitu 1MDB. Mereka berterusan mengitar semula cerita ini dan terus memberikan ia dari sudut yang baru dan berbeza seolah-olah ia adalah satu isu yang baru dan bukannya satu isu lama. Walau bagaimanapun, selain daripada 1MDB, mereka tidak ada apa-apa untuk diperkatakan.

Ini adalah cara bagaimana Mahathir bermain permainan propagandanya. Beliau masih bercakap mengenai 1MDB dari sudut yang berbeza setiap kali seolah-olah ia adalah satu cerita baru. Mahathir tahu yang beliau tidak boleh menjaringkan sebarang gol, maka beliau bertindak mengerakkan gawang gol.

Pada suatu ketika ia berkenaan RM42 bilion yang hilang. Kemudian ia berkenaan RM50 bilion dan mungkin lebih. Selepas itu ia berkenaan RM12 bilion. Kemudian RM2.6 bilion yang dipindahkan ke akaun bank peribadi Najib. Kemudian ia berubah kepada RM4 bilion yang dipindahkan ke dalam akaun bank peribadi. Dan sebagainya.

Apabila anda bertanyakan soalan kepada Mahathir secara langsung dan meminta beliau untuk mengesahkan fakta-fakta, beliau akan mengelak dari menjawab secara langsung. Apabila anda bertanya kepadanya sama ada beliau benar-benar pasti mengenai ‘fakta-fakta’ berhubung perkara 1MDB, beliau menjawab bahawa itu adalah apa yang diadukan oleh ramai orang yang datang menemuinya. Apabila Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong bertanya kepadanya tentang ‘1.3 juta tandatangan’ dalam Deklarasi Rakyat, beliau menjawab bahawa itu adalah apa yang mereka telah berikan kepadanya.

Ia adalah sama seperti Muhyiddin Yassin mengatakan bahawa apa yang beliau tahu tentang 1MDB adalah apa yang beliau baca dalam The Edge dan The Malaysian Insider, walaupun 1MDB telah dibincangkan semasa mesyuarat mingguan Kabinet, yang beliau sendiri hadiri, dan satu mesyuarat yang sebenarnya dipengerusikan oleh beliau sendiri di mana mereka membincangkan isu 1MDB.

Propaganda Mahathir sebenarnya sangat mudah. Beliau menimbulkan keraguan dan persoalan dan kemudian mengatakan bahawa Najib perlu bertindak balas dan membuktikan bahawa beliau tidak bersalah dan melainkan sehingga beliau berbuat demikian maka beliau dianggap bersalah berdasarkan semua syak wasangka dan tuduhan. Pendek kata, anda bersalah sehingga dibuktikan tidak bersalah.

Jika anda menggunakan kembali hujah yang sama terhadap beliau, Mahathir akan menjawab bahawa tiada apa yang pernah terbukti, beliau tidak pernah ditahan dan didakwa, dan walaupun terdapat kerugian (Barry Wain menganggarkan kerugian ini sebanyak RM100 bilion – tidak termasuk RM100 bilion yang diletakkan di bawah pemegang amanah, proksi, calon-calon dan kroninya) ini hanyalah kerugian di bawah urusan perniagaan yang ‘biasa’.

Pada 10 Januari 2004, Lim Kit Siang berkata, “pekerjaan pertama Nor Mohamed adalah untuk mengeluarkan Kertas Putih untuk” menghalau hantu” RM30 bilion kerugian forex Bank Negara sedekad yang lalu untuk mewujudkan kesesuaiannya sebagai Menteri Kewangan Kedua – selain daripada profesionalisme, komitmen penuh kepada akauntabiliti, ketelusan dan tadbir urus demokrasi yang baik”.

Lim Kit Siang menulis artikel berkenaan kira-kira sepuluh tahun selepas pertama kali beliau bangkitkan perkara yang sama itu di Parlimen semasa Mahathir menjadi Perdana Menteri dan Anwar Ibrahim sebagai Menteri Kewangan – dimana ia tidak pernah dijawab dalam tempoh sepuluh tahun yang lalu itu. Pada 12 Disember 2011, WTF Report sekali lagi membangkitkan perkara itu.

Pada tahun 2004, Anwar telah pun menyertai pembangkang, sudah tentu Lim Kit Siang tidak lagi mahu menyalahkan Anwar tentang kerugian RM30 bilion, yang mana nilainya pada masakini adalah bersamaan RM55 bilion. Tetapi beliau masih lagi mahu menyalahkan Mahathir berhubung kerugian tersebut. Hari ini, sejak Mahathir juga telah menyertai pembangkang, Lim Kit Siang menganggap isu tersebut telah ditutup dan tidak lagi mahu membicarakannya.

Tetapi Mahathir (atau Anwar) tidak pernah menjelaskan tindakan mereka yang menyebabkan kerugian RM55 bilion dalam nilai mata wang hari ini. Dan ini adalah hanya sebahagian daripadanya. Menurut Barry Wain, jumlah kerugian tersebut menghampiri jumlah RM200 bilion dalam nilai mata wang hari ini.

Sama ada ia adalah RM200 bilion dalam nilai mata wang hari ini atau hanya RM100 bilion ketika wang tersebut mula-mula ‘hilang’ bukannya suatu yang penting. Apa yang penting ialah bahawa Mahathir tidak pernah menjawab mana-mana dakwaan dan berpura-pura seolah-olah tiada apa yang berlaku.

Dan yang lebih penting adalah fakta bahawa Lim Kit Siang, yang berterusan bersuara tanpa henti sejak 1983, kini tidak lagi berkata apa-apa kerana semua musuh-musuhnya kini menjadi rakan-rakannya dan itulah yang lebih penting daripada RM200-300 bilion wang pembayar cukai.

Jadi anda boleh lihat, pasukan propaganda Mahathir sebenarnya bukannya cerdik. Mereka semua tidak pernah mampu memberi jawapan kepada semua tuduhan tersebut. Dan kerana mereka tidak pernah menjawab semua dakwaan maka tuduhan tersebut masih teguh. Dan dengan menggunakan kayu pengukur serta standard Mahathir, oleh kerana Mahathir tidak pernah menjawab dakwaan itu, kita mesti menganggap bahawa Mahathir bersalah dan akan kekal bersalah sehingga dan melainkan jika beliau dapat membuktikan bahawa beliau tidak bersalah.

Bila fakta yang berbangkit tidak dapat dinafikan, mereka bertindak dengan mencipta nama gelaran dan bukannya bertindak balas dengan menjelaskan. Makan dedak. ‘Rent-seeker’. Pengkhianat. Belot. Penjilat bontot. Melayu bodoh. Raja Putar. Senarai nama-nama yang dicipta bertujuan menghina orang-orang yang mereka tidak mampu untuk membuat tindak balas adalah sangat mengejutkan. Tetapi hanya itu sahajalah yang mereka mampu lakukan, memburuk-burukkan dan memanggil anda dengan nama gelaran. Dan percayakah anda bahawa itulah yang terbaik yang mampu mereka lakukan.

Pada dasarnya itu adalah strategi politik yang digunakan oleh pembangkang – mengamalkan politik kebencian . Dan itu adalah permainan yang sama yang Mahathir mainkan. Beliau cuba untuk memenangi anda dengan membuat anda membenci Umno, membenci Barisan Nasional, membenci Perdana Menteri, dan lain-lain. Malah mereka juga cuba untuk membuat anda membenci Malaysia, itulah sebabnya Mahathir pergi sehingga ke London untuk bercakap buruk tentang Malaysia. Jika anda boleh membenci Malaysia dan segala-galanya tentang Malaysia maka anda boleh mengundi pihak pembangkang.

Tetapi politik kebencian itu tidak berjaya dan Mahathir tahu tentang perkara ini. Pilihan raya negeri Sarawak dan dua pilihan raya kecil di Sungai Besar dan Kuala Kangsar telah membuktikannya. Semakin kuat beliau menyerang Najib, Najib menjadi semakin kuat. Dan inilah perkara yang Mahathir seolah-olah tidak mampu untuk memahami. Dan beliau tidak boleh faham kerana beliau mempunyai sekelompok “budak bodoh” yang bekerja dengannya, berbanding dengan pasukan Najib yang mana Mahathir sendiri berat untuk memperakui bahawa mereka menyamai taraf “Goebbles”.

Mari analisa langkah Mahathir sejak dua tahun lalu sejak tahun 2014.

Boffin Boys Najib sebenarnya tahu sejak pertengahan tahun 2013 bahawa Mahathir telah merancang sesuatu. Dan ini juga bertepatan dengan Langkah Kajang PKR, yang telah dirancang pada sekitar masa yang sama. Bolehkah anda ingat Rafizi Ramli berkata bahawa Langkah Kajang adalah perlu untuk menyelamatkan Selangor sekiranya Mahathir berjaya menyingkirkan Najib?

Jadi, pada pertengahan tahun 2013, PKR sudah tahu bahawa Mahathir telah merancang untuk menggulingkan Najib. Dan itu adalah kerana Mahathir dan Azmin Ali sudah berbincang mengenainya. Dan jika PKR dan walaupun seseorang yang begitu junior seperti Rafizi tahu bahawa Mahathir telah merancang untuk menggulingkan Najib, adakah anda fikir penasihat Najib tidak tahu juga mengenai perkara itu?

Sudah tentu mereka tahu. Malah ‘young Chico’ seperti Rafizi juga tahu. Tetapi apa yang pasukan Najib lakukan? Tidak buat apa-apa. Ya, betul, mereka tidak melakukan apa-apa. Mereka melakukan apa yang setiap pakar strategi akan lakukan. Mereka memerhati dan mereka merancang. Mereka bukan sahaja memantau setiap langkah musuh, mereka perincikan semua langkah-langkah tersebut untuk memikirkan langkah terakhir yang perlu dibuat dan ke manakan musuh akan tuju.

Hasrat Mahathir untuk menggulingkan Najib sudah jelas. Beliau hanya perlu menunggu terlebih dahulu dan melihat sama ada anaknya, Mukhriz, akan menang kerusi Naib Presiden Umno sebelum bertindak. Bagaimana beliau bertindak akan bergantung kepada sama ada anaknya menang atau kalah dalam pemilihan parti.

Pada bulan Oktober 2013, Mukhriz kalah dalam pemilihan parti. Dan ini bermakna Najib perlu disingkirkan. Mahathir kemudian mengaktifkan jentera Kempen Anti-Najib (ANC) dan mencari penyebab atau alasan untuk menyerang Perdana Menteri dan menuntut beliau meletakkan jawatan. Dan ketika itulah isu 1MDB muncul dan sekiranya beliau tidak menggunakan alasan 1MDB maka beliau tidak mempunyai apa-apa alasan untuk digunakan bagi menentang Najib.

“Perang Cladenstine” (seperti mana perang rahsia selama empat tahun di mana Amerika berperang di Kemboja pada tahun 1969) menjadi peperangan terbuka pada bulan Disember 2014 dengan Khairuddin Abu Hassan telah membuat laporan polis terhadap 1MDB. Jadi perang rahsia selama 18 bulan tidak lagi menjadi rahsia. Pada Disember 2014, perang telah diisytiharkan dan ia kini menjadi peperangan terbuka.

Namun Najib masih berdiam diri dan tidak membuat apa-apa gerakan. Ini menjadikan Mahathir lebih berani kerana beliau mentafsirkan bahawa Najib sudah menjadi takut. Mahathir juga mula menghidu kemenangan dan beliau merancang ‘pembunuhan’ atau rampasan kuasa beliau pada 29 Julai 2015. Hari itu bakal menjadi hari kematian Najib. Jadi semua telah bergerak ke arah langkah terakhir, bagaikan buah catur telah disusun di tempat yang sepatutnya bagi mencapai objektif tersebut.

Orang lain akan panik ketika itu dan akan sama ada lari untuk berlindung atau akan membuat serangan awal yang pra-matang. Namun Najib dan Boffin Boys bagaimanapun kekal tenang. Mereka tidak panik. Mereka tahu apabila mereka membuat langkah mereka, ia pasti akan menjadi langkah yang kejam dan langkah penghabisan. Ia mesti menjadi satu langkah yang bukan sahaja menangkap mereka dalam keadaan yang mereka tidak disangkakan tetapi ianya merupakan satu langkah yang tidak mampu mereka pertahankan.

Mahathir terkejut apabila Najib menyerang balas terhadap rampasan kuasa hanya dua hari sebelum tarikh rampasan kuasa tersebut, 29 Julai 2015. Mahathir kecewa tetapi tidak meluahkannya lagi. Beliau kemudiannya merancang undi tidak percaya di parlimen pada bulan Oktober, namun gagal. Beliau kemudiannya merancang undi tidak percaya di perhimpunan Agong UMNO pada bulan Disember. Itupun gagal juga. Najib menewaskan Mahathir di kedua-dua waktu tersebut.

Bagaimanapun, kami telah menulis mengenai semua ini dalam ruang yang sama, The Corridors of Power, dengan terperinci dalam tempoh dua tahun yang lalu.

Setakat ini, selama 30 bulan dari pertengahan 2013 hingga akhir 2015, Mahathir telah mengambil semua tindakan. Najib sama ada hanya diam atau beliau bertindak balas dalam bentuk seumpamanya, tetapi tidak lebih daripada apa yang Mahathir lakukan kepadanya.Kini adalah masanya Najib bertindak dan membiarkan Mahathir pula bertindak balas. Dan Najib tahu sekiranya beliau melakukan kejutan terhadap Mahathir, orang tua itu akan lakukan langkah yang bodoh dan akan memerangkap dirinya sendiri.

Pada 3 Februari 2016, Mukhriz dipecat sebagai Menteri Besar Kedah. Pada 29 Februari 2016, Mahathir merajuk dan keluar daripada Umno. Ia adalah satu langkah yang Najib tahu Mahathir akan ambil. Dan ianya juga adalah satu langkah yang Najib mahu orang tua itu lakukan. Ia adalah satu langkah untuk “checkmate” Mahathir dan memaksa beliau untuk berhijrah kepada pembangkang di mana ia tidak lagi menjadi Mahathir melawan Najib tetapi Mahathir berlawan dengan Umno.

Dan itu bermaksud “game over” kepada Mahathir, 32 bulan selepas rancangan menggulingkan Najib dirangka.

Dan itulah sebabnya Mahathir gelarkan orang-orang Najib sebagai ‘Goebbels’. Goebbels bermakna terbaik. Goebbels bermakna cerdik. Goebbels bermaksud tidak bodoh. Goebbels bermakna serang balas mereka adalah jauh lebih baik daripada propaganda anda. Kenapa Mahathir tidak menyebut nama saya dalam artikel blognya? Kalau beliau panggil saya ‘Little Goebbels’ pun sudah cukup.

Tulisan asal oleh :
Raja Petra Kamarudin, Malaysia Today, 3 Oktober 2016.
Link asal artikel:

http://www.malaysia-today.net/mad-acronym-for-mahathir-accedes-defeat/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Sendiri Tulis Sendiri Tanggung Ya, Penulis Blog Tidak Bertanggungjawab Ke atas Implaksi Perundangan Yang Dikenakan Oleh Pihak Berkuasa Ke atas Mana-mana Ulasan Yang Menyalahi Perundangan Yang berkuatkuasa