Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah, orang Melayu wajib membuktikan mereka adalah bangsa yang bermaruah, menepati janji dan tidak berdusta ketika bertutur serta memiliki harga diri.
Pada masa sama, titah baginda, orang Melayu juga perlu berazam untuk lebih bersedia memberi dan kurang meminta serta membantu bangsa sendiri.
“Bantulah bangsa kita untuk dapat berbangga, bantulah bangsa kita agar memiliki maruah, memiliki harga diri dengan menyerahkan amanah dan tanggungjawab kepada Melayu yang benar-benar kompeten, berwibawa, bertenaga, berkemahiran, berpengalaman, berpengetahuan dan berintegriti daripada menyerahkan kepada orang perantaraan yang bersifat parasit, berniaga secara buluh kasap, untung tiada, modal pun lesap.
“Muliakan bangsa Melayu dengan memperkayakan sopan dan tertibnya, adat dan adabnya, hemah dan budinya. Melayu itu hendaklah berimej orang yang dihormati, bukan orang yang ditakuti.
“Buktikan bangsa Melayu bangsa yang pintar dengan menghentikan perbuatan mengolah cipta pelbagai penglipur lara untuk dijadikan halwa telinga atau berimej badut hingga dijadikan bahan ketawa. Setiap kegagalan, setiap kesilapan yang dilakukan oleh anak Melayu, aibnya ditanggung oleh seluruh bangsa,” titah baginda.
Baginda bertitah demikian ketika mencemar duli merasmikan Konvensyen Nasional Penyatuan Bangsa di Universiti Teknologi Mara (UiTM) di sini, hari ini.
Yang turut hadir ialah Naib Canselor UiTM, Profesor Emeritus Datuk Dr. Hassan Said.
Konvensyen bertemakan Menyingkap Perjuangan Bangsa itu merupakan julung kali diadakan dan dianjurkan bersama oleh Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media UiTM serta Institut Pemikiran dan Kepimpinan Melayu (Impak).
Berlangsung selama tiga hari, konvensyen berkenaan menghimpunkan ilmuwan, pemimpin, pemikir dan tokoh korporat bagi berkongsi pengalaman serta pengetahuan merentasi pelbagai arena disiplin.
Majlis penutup akan disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, Khamis ini.
Sultan Nazrin bertitah, UiTM telah berjaya memenuhi visi dan misi untuk membangunkan sumber manusia Melayu.
Baginda bertitah, kejayaan yang dicapai itu telah menjadi sumber inspirasi untuk mencipta kejayaan lebih gemilang.
“Setelah 60 tahun penubuhannya, UiTM kini memiliki enrolmen 165,000 pelajar, disokong dengan kekuatan 500 program pengajian akademik yang dikendalikan oleh 24 fakulti serta empat pusat pengajian.
“Di samping kampus induk di Shah Alam, tersebar di serata negara 12 kampus cawangan dan 21 kampus satelit yang tanggungjawabnya didukung oleh 18,188 staf akademik, staf pengurusan dan staf sokongan.
“Sehingga November ini, UiTM telah mencatat rekod menghasilkan 687,176 graduan,” titahnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Sendiri Tulis Sendiri Tanggung Ya, Penulis Blog Tidak Bertanggungjawab Ke atas Implaksi Perundangan Yang Dikenakan Oleh Pihak Berkuasa Ke atas Mana-mana Ulasan Yang Menyalahi Perundangan Yang berkuatkuasa