Pages

7 Jan 2018

Mahathir & Anwar Tidak Akan Jadi Berjaya Jadi Perdana Menteri

Semakin dekat dengan PRU14, semakin kuatlah perebutan kuasa berlaku dalam pakatan pembangkang. Masing masing sudah berebut kawasan, berebut hendak jadi calon dan berebut hendak jawatan kalau kalau berjaya menawan Putrajaya.

Baru berangan, tetapi sikap rakus, tamak dan gila kuasa sudah terserlah dan kelihatan sesama pemimpin pembangkang. Belum pun bubar parlimen lagi sudah berperangai begitu. Semasa PRU14 nanti, entahlah macam mana pula.

Cerita berebut jawatan Perdana Menteri dalam pembangkang ini sudah lama. Sudah masuk bertahun tahun lamanya. 12 November 2016, PAN minta namakan segera calon PM sebelum Anwar bebas. 15 Disember 2016, Nurul Izzah kata kena buat mesyuarat khas pilih calon PM.

16 Disember 2016, Kit Siang kata Mat Sabu setuju pilih Wan Azizah bakal PM dan Muhyiddin sebagai TPM. 20 Disember 2016, Saifuddin Abdullah sanggah kenyataan Kit Siang. Saifuddin kata Pakatan Harapan tidak bersetuju lantik Muhyiddin sebagai TPM.

21 Disember 2016, Rafizi marah semua orang, minta henti mainkan isu siapa hendak jadi PM. Rafizi kata Anwar marah dari penjara. 22 Disember 2016, Mahathir pula cadang Muhyiddin sebagai PM. Tidak ada siapa yang sokong cadangan Mahathir.

Anthony Loke selepas itu kata, DAP pernah cadang Anwar jadi PM. Kemudian,  Zaid Ibrahim pula pada 9 Mei 2017 cadang Mahathir jadi PM. Sehari selepas itu, Azmin tidak setuju Mahathir jadi PM sekali lagi.

21 Mei 2017, dalam Kongres Nasional Tahunan Keadilan Ke-12 di Dewan Raja Muda Musa, Seksyen 7, Shah Alam, Selangor, semua pemimpin pembangkang angkat plakad bertulis “Anwar PM ke 7”. Hanya Mahathir seorang tidak angkat plakad tersebut.

Sehari sebelum itu, Nik Nazmi menyatakan bahawa Wan Azizah adalah calon paling layak untuk jadi PM sementara. Drama siapa jadi PM dalam pembangkang ini berterusan lagi bila Salahuddin Ayub pula buat kenyataan pada 24 Mei 2017, menyatakan Mat Sabu juga layak jadi PM.

Selepas Kongres itu, biarpun nama Anwar sudah ditulis dan diumum namun Mahathir yang tidak angkat plakad masih menyimpan hati hendak jadi PM. Bulan Disember ini, tiba tiba Biro Politik PKR, bersetuju pula dengan syarat untuk menjadikan Mahathir sebagai PM sementara.

Hanya 8 hari sahaja bertahan, kemudian bila geng geng pembangkang ini berjumpa dan bermesyuarat semalam, PKR tidak setuju pula Mahathir menjadi PM sementara. Masa sidang media semalam, Mahathir kata nama calon PM pembangkang akan diumum masa Kongres Pakatan Harapan pada hari Sabtu ini.

Berapa kali mahu umum? Semasa Kongres PKR tahun lepas, semua angkat dan umum nama Anwar Ibrahim, kemudian masa Kongres PH pada hari Sabtu ini hendak umum nama siapa lagi? Agaknya Mahathir seorang sahaja yang angkat plakad, yang lain tidak akan angkat pula nanti.

Itulah kronologi dan kisah pergaduhan jawatan Perdana Menteri dalam pakatan pembangkang. Sudah bertahun tahun dan tidak pernah selesai.  Pada PRU14 ini, baik Anwar atau Mahathir, kedua duanya akan kempunan menjadi Perdana Menteri. Lihat sahaja prestasi ekonomi dan keadaan politik semasa di Malaysia sekarang ini.

Cuaca poliitknya amat buruk buat pakatan pembangkang. Di Selangor, Khalid Samad sudah balun Azmin Ali kerana mahu rampas kerusinya di Shah Alam. PAS pula tetap akan pertahankan semua kerusi DUN mereka di Selangor.

Anak Nik Aziz dan anak Hadi Awang dijangka ditawarkan oleh PAS untuk jadi pemimpin baru di Selangor. Jika itu berlaku, PKR dan PAN akan kalah besar dalam pilihanraya umum nanti. Pengaruh Nik Abduh dan Khalil Abdul Hadi adalah besar di kalangan anak muda yang pro pembangkang.

Begitu juga di Kelantan, PKR dan PAN akan gigit jari lagi kerana kelancangan mulut Mahathir menggelarkan mufti dan Hadi Awang sebagai kafir membangkitkan kemarahan besar rakyat Kelantan. Husam Musa tidak akan mampu membaiki kerosakan teruk yang dibuat Mahathir ini.

Dengan PAS, PKR dan PAN sudah kalah. Dengan Barisan Nasional juga PH akan kalah. Lihatlah bagaimana keadaan ekonomi sekarang. Ringgit makin mengukuh, hampir cecah dibawah RM4.00 berbanding dollar Amerika Syarikat. Semalam, kedudukan ringgit adalah RM4.0050 berbanding dollar, yang tertinggi sejak Mac 2016.

Semua serangan yang dibuat terhadap ekonomi negara kononnya negara ini hendak bankrup dan negara sudah tergadai kerana pelaburan dari luar negara adalah tidak benar sama sekali. Semalam, Pascal Lamy, Ketua Pengarah Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) menyatakan Malaysia mampu capai negara berpendapatan tinggi menjelang 2020 berdasarkan pertumbuhan KDNK yang positif dan prestasi ekonomi yang baik.

Rizab antarabangsa Bank Negara berjumlah USD$102.2 bilion (setakat 15 Disember 2017). Kadar kemiskinan di Malaysia adalah yang paling rendah di Asia Tenggara (3.8 peratus). Ini tanda dan bukti negara diurus dengan baik oleh Datuk Seri Najib Tun Razak dan Barisan Nasional. Sehinggakan model ekonomi Malaysia ini mahu dicontohi oleh negara negara luar seperti India, Arab Saudi dan negara negara Arab lain.

Projek MRT1 Sungai Buloh-Kajang sudah siap. Projek MRT2 Sungai Buloh-Serdang-Putrajaya sedang diibina. Datang pula projek MRT3 sepanjang 40km (30 km di bawah tanah) merentasi 26 stesen sekitar Kuala Lumpur akan dibina dan siap pada Disember 2025. Semua ini diusahakan oleh kerajaan Barisan Nasional yang dipimpin oleh Perdana Menterinya yang bernama Datuk Seri Najib.

Projek untuk rakyat siap awal dan jimat lagi kos berbillion ringgit. BR1M terus dinikmati rakyat. Subsidi jemaah haji ditambah berjuta ringgit biarpun Arab Saudi kenakan VAT. Barisan Nasional lebih fokus bantu rakyat, bukan berebut jawatan macam pembangkang.

Sebagai rakyat yang rasional, Barisan Nasional adalah pilihan terbaik di kertas undi untuk negara Malaysia yang lebih baik lagi. Anwar atau Mahathir bukanlah pilihan terbaik untuk rakyat Malaysia. Mereka berdua sudah pernah menjadi orang nombor satu dan nombor dua, masa mereka sudah berlalu.

Malaysia tidak boleh dikembalikan semula ke masa silam. Malaysia harus bergerak ke masa depan dan untuk generasi akan datang. Bukan untuk generasi lepas, kroni dan anak sendiri pemimpin yang terdahulu. Oleh itu, berebutlah macam mana pun, akhirnya tidak ada sesiapa pun dari pembangkang yang akan jadi Perdana Menteri. Cita cita peribadi Anwar atau Mahathir tidak akan berjaya.

Tulisan :
Beruang Biru
BB727, Jumaat
5 Januari 2018

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Sendiri Tulis Sendiri Tanggung Ya, Penulis Blog Tidak Bertanggungjawab Ke atas Implaksi Perundangan Yang Dikenakan Oleh Pihak Berkuasa Ke atas Mana-mana Ulasan Yang Menyalahi Perundangan Yang berkuatkuasa