SURUHANJAYA PILIHAN RAYA MALAYSIA
KENYATAAN MEDIA
Bil.25/2018
Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) ingin memberi penjelasan berhubung salah faham dan kekeliruan berkaitan isu penggunaan simbol Parti Keadilan Rakyat (PKR) oleh bakal-bakal calon daripada parti-parti lain bahawa perlu mendapat kelulusan daripada SPR.
Apa yang dinyatakan semasa sidang media selepas Simulasi Bilik Gerakan PRU-14 adalah sekiranya status pendaftaran atau simbol Pakatan Harapan (PH) yang tidak diluluskan oleh Pendaftar Pertubuhan (ROS) serta lambangnya masih tidak berdaftar dengan SPR, maka ianya tidak boleh digunakan dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) sebagai bahan kempen.
SPR tidak pernah mengeluarkan kenyataan bahawa sekiranya ingin digunakan lambang atau simbol PKR dalam pilihan raya oleh mana- mana individu yang dibenarkan oleh PKR itu sendiri perlu dapat kebenaran SPR.
Apa yang dinyatakan adalah sekiranya mereka bercadang bertanding atas tiket PKR maka hanya simbol parti itu sahaja yang dibenarkan diguna semasa PRU-14 untuk tujuan kempen, manakala simbol-simbol parti lain tidak boleh digunakan sebagai bahan kempen termasuk simbol DAP, Amanah dan PPBM.
Kenyataan SPR telah disalah erti seolah-olah keputusan untuk penggunaan lambang PKR oleh ahli parti lain untuk tujuan pilihan raya mesti mendapat kebenaran daripada SPR. Ingin ditegaskan kebenaran untuk menggunakan simbol PKR oleh calon yang ingin bertanding atas tiket parti itu adalah di bawah bidang kuasa parti itu.
Laporan pihak media berkenaan perkara itu adalah tersasar daripada makna sebenar yang cuba dinyatakan semasa sidang media tersebut. Justeru itu SPR berharap semua pihak tidak menyalah erti kenyataan tersebut.
Sekian.
*TAN SRI MOHD HASHIM BIN ABDULLAH*
Pengerusi
Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia
PUTRAJAYA
Tarikh: 7 April 2018/20 Rejab 1439H
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Sendiri Tulis Sendiri Tanggung Ya, Penulis Blog Tidak Bertanggungjawab Ke atas Implaksi Perundangan Yang Dikenakan Oleh Pihak Berkuasa Ke atas Mana-mana Ulasan Yang Menyalahi Perundangan Yang berkuatkuasa