Pertamanya, saya ingin mengucapkan ‘Selamat Hari Pekerja’ kepada semua warga pekerja di Malaysia.
Pada tahun ini ketibaan Hari Pekerja tidak disambut seperti biasa. Tiada perhimpunan besar diadakan dalam situasi semasa penularan wabak COVID-19. Selain itu, kebetulan pula Hari Pekerja tahun ini jatuh pada bulan Ramadhan.
Dengan trend kes dunia sedia ada, wabak COVID-19 dijangka akan berterusan untuk tempoh masa yang agak lama. Ia tidak akan berakhir dalam jangka waktu yang terdekat.
Walaupun tiada sambutan Hari Pekerja 2020 peringkat kebangsaan pada tahun ini, sumbangan dan pengorbanan para pekerja sektor awam dan swasta selama ini amat dihargai oleh pihak Kerajaan.
Bermula 18 Mac yang lalu, kerajaan telah mengisytiharkan Perintah Kawalan Pergerakan atau PKP. Ini pertama kali dalam sejarah, kerajaan menguatkuasakan perintah seumpama ini.
Dalam tempoh ini, bekerja dari rumah dan duduk di rumah merupakan pengorbanan besar para pekerja dalam membantu Kerajaan menangani penularan COVID-19.
Disiplin kita untuk duduk diam-diam di rumah atau bekerja dari rumah setakat ini telah membuahkan hasil yang memberangsangkan.
PERTAMA, kita telah mampu mempertingkatkan kapasiti perkhidmatan kesihatan awam untuk menangani jumlah pesakit COVID-19.
InsyaAllah kita mempunyai sumber tenaga kerja, ruang katil di hospital, pusat kuarantin, ubat-ubatan, alat bantuan pernafasan atau ventilator, peralatan perlindungan diri dan makmal-makmal ujian yang mencukupi seandainya kadar jangkitan meningkat semula.
KEDUA, kita perlu terima hakikat bahawa dalam bulan-bulan mendatang ini, adalah mustahil untuk mana-mana negara mencapai angka sifar dalam jangkitan COVID-19. Yang perlu dilakukan ialah mempertingkatkan keupayaan perkhidmatan kesihatan awam untuk menghadapi sebarang kemungkinan.
Jadi, walaupun kita telah berjaya mengawal penularan COVID-19, jangan kita alpa. Teruslah berwaspada. Amalkan tabiat penjarakan sosial, sering membasuh tangan, memakai penutup hidung dan mulut atau face mask di kawasan awam dan segera berjumpa doktor sekiranya bergejala.
KETIGA, kita mempunyai lebih banyak kawasan zon hijau berbanding zon merah. Ini juga adalah hasil usaha kerjasama saudara-saudari yang amat berdisiplin. Teruskan usaha ini agar kita dapat ‘menghijaukan’ lebih banyak kawasan terjejas secepat yang boleh.
Menurut Kementerian Kesihatan, negara kita juga telah memenuhi enam (6) kriteria yang ditetapkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia atau WHO.
Pertama, kawalan sempadan negara kita telah diperketatkan untuk mengelakkan kes import positif COVID-19 berlaku;
Kedua, kawalan pergerakan untuk mengurangkan kadar jangkitan dalam kalangan rakyat tempatan;
Ketiga, peningkatan keupayaan fasiliti kesihatan;
Keempat, keupayaan menjaga golongan berisiko seperti warga emas, pesakit yang dirawat serta orang kurang upaya;
Kelima, amalan normal baharu dalam kehidupan seperti tidak berkumpul, tidak bersalam, penjarakan sosial dan memakai face mask; dan
Keenam, pemerkasaan komuniti untuk menjaga kawasan yang tidak dijangkiti seperti zon hijau serta mengamalkan aktiviti normal baharu.
ALHAMDULILLAH, PENGORBANAN KITA SEPANJANG PELAKSANAAN PKP TIDAK SIA-SIA…
Jumlah kes-kes baharu telah menurun dengan ketara. Jumlah pesakit yang sembuh juga telah meningkat.
Penggunaan ruang-ruang katil di hospital yang dikhaskan untuk pesakit COVID-19 tidak melebihi 30 peratus.
Saudara dan saudari yang saya kasihi,
Sejak dari awal, Kerajaan mempunyai perancangan yang jelas dalam memerangi wabak Covid-19 dan menghadapi krisis ekonomi Kerajaan menggunakan strategi yang merangkumi enam (6) pendekatan:
Pertama ialah ketegasan atau resolve dalam tindakan mengawal penularan wabak Covid-19 dengan melaksanakan PKP;
Kedua, membina ketahanan atau resilience melalui pakej rangsangan ekonomi PRIHATIN untuk meningkatkan kemampuan rakyat dan ekonomi;
Ketiga, menjana semula atau restart ekonomi secara teratur dan terkawal;
Keempat, melaksanakan strategi pemulihan atau recovery ekonomi dalam menghadapi norma baharu;
Kelima, memperkasa atau revitalize ekonomi secara menyeluruh demi kelangsungan masa hadapan; dan
Keenam, menyusun semula atau reform struktur ekonomi untuk membolehkan negara dan saudara-saudari semua melangkah ke era kehidupan yang sudah berubah dengan adanya ‘norma baharu’ atau ‘new normal’.
ALHAMDULILLAH, PENDEKATAN PERTAMA DAN KEDUA TELAH MEMBUAHKAN HASIL…
Kini, kita telah bersedia untuk memulakan pendekatan ketiga, iaitu membuka semula aktiviti ekonomi di seluruh negara secara terkawal dan berhati-hati.
Dengan ini kerajaan akan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat atau PKPB. Sebahagian besar daripada aktiviti ekonomi dan sosial akan dibenarkan, kecuali beberapa aktiviti yang melibatkan perhimpunan ramai dan mendedahkan orang awam kepada risiko jangkitan wabak COVID-19 yang masih tidak dibenarkan.
Perintah Kawalan Pergerakan Dipertingkatkan (PKPD) juga akan dilaksanakan di kawasan-kawasan yang mencatatkan kes positif COVID-19 yang tinggi.
Saya tahu setelah hampir dua bulan menjalani PKP, ramai dalam kalangan saudara-saudari yang ingin kembali bekerja. Bagi peniaga, nak membuka semula perniagaan. Bagi pengusaha industri, nak pastikan perusahaan masing-masing dapat beroperasi semula.
Ini penting kepada saudara-saudari kerana pekerjaan dan perniagaan adalah sumber pendapatan dan mata pencarian saudara-saudari. Kalau terlalu lama berada dalam PKP, maka terputuslah mata pencarian dan ini memberi kesan yang buruk kepada kedudukan kewangan masing-masing.
Begitu juga bagi negara kita. Terhenti aktiviti ekonomi bermakna terhentilah sumber pendapatan negara. Cukai tidak boleh dikutip, industri tidak boleh berkembang, pertumbuhan ekonomi terencat dan yang paling ingin kita elakkan ialah lebih banyak perniagaan terpaksa ditutup dan ramai pekerja kehilangan pekerjaan.
Saya hendak sebutkan di sini bahawa negara kita rugi sekitar RM2.4 bilion setiap hari sepanjang tempoh PKP dilaksanakan. Jumlah kerugian setakat ini dianggarkan sekitar RM63 bilion. Jika PKP berterusan untuk tempoh sebulan lagi, negara kita akan kerugian RM35 bilion menjadikan jumlah keseluruhan kerugian RM98 bilion.
Pada masa yang sama, ramai juga yang bimbang jika PKP ditamatkan. Apa akan jadi kepada usaha kita untuk menangani COVID 19. Virus ini masih ada di luar sana. Walaupun jumlah kes-kes baharu COVID 19 semakin berkurangan, risiko peningkatan kadar jangkitan tetap ada. Ramai yang akan keluar bekerja dan bergerak ke sana ke sini, ke sana ke sini. Dengan itu, adakah ini bermakna wabak COVID 19 akan menular semula.
Jadi saya sedar, saudara-saudari bimbang. Saya pun bimbang juga. Dan memang telah pun berlaku di beberapa buah negara lain, apabila ‘lockdown’ dihentikan, jumlah kes-kes positif COVID 19 meningkat semula dengan mendadak. Ini mesti kita elakkan.
Jadi, saya telah berbincang secara panjang lebar mengenai perkara ini dalam mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi, sidang Majlis Keselamatan Negara dan Mesyuarat Jemaah Menteri. Kita mesti cari jalan untuk mengimbangi keperluan untuk memulihkan ekonomi negara dan kepentingan membendung wabak COVID 19.
Atas nasihat Kementerian Kesihatan berdasarkan data-data yang dikumpul dan amalan terbaik yang ditentukan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia atau WHO, kerajaan telah memutuskan untuk membuka semula sektor-sektor ekonomi secara berhati-hati dengan menguatkuasakan SOP kesihatan yang ketat.
Bermula 4 Mei 2020, hampir semua sektor ekonomi dan aktiviti perniagaan akan dibenarkan beroperasi tertakluk kepada syarat-syarat dan SOP yang ditetapkan oleh pihak berkuasa.
Saya katakan hampir semua kerana masih ada beberapa kategori industri dan perniagaan yang tidak diizinkan untuk beroperasi. Ini adalah perniagaan atau aktiviti yang melibatkan perhimpunan ramai dan sentuhan badan di mana penjarakan sosial sukar dikawal. Antaranya panggung wayang, pusat karaoke, pusat refleksologi, pusat hiburan, kelab malam, taman tema, bazar Ramadan, bazar Aidilfitri, karnival jualan dan semua bentuk persidangan dan pameran.
Selain perniagaan, aktiviti-aktiviti sukan yang melibatkan perhimpunan ramai, sentuhan badan dan lain-lain risiko jangkitan juga tidak dibenarkan.
Ini termasuk sukan bola sepak, ragbi, renang dan semua acara sukan indoor dan stadium. Aktiviti sukan outdoor yang tidak melibatkan sentuhan badan dan perhimpunan ramai dibenarkan. Jadi, saudara-saudari boleh bermain badminton atau tenis di luar tanpa penonton.
Jogging, kayuhan basikal, golf dan larian dalam kumpulan kecil tidak melebihi 10 orang juga dibenarkan dengan syarat anda mengamalkan penjarakan sosial dan elakkan sentuhan badan.
Majlis-majlis sosial, kemasyarakatan dan kebudayaan yang melibatkan perhimpunan ramai seperti kenduri, rumah terbuka, majlis berbuka puasa beramai-ramai, konsert, persembahan kebudayaan, perhimpunan bulanan jabatan kerajaan dan swasta serta semua bentuk majlis perasmian dan perhimpunan adalah tidak dibenarkan.
Aktiviti kegamaan seperti perarakan keagamaan, solat Jumaat dan semua aktiviti berjemaah atau berhimpun di masjid, surau dan rumah-rumah ibadat juga tidak dibenarkan.
Perjalanan rentas sempadan negeri juga tidak dibenarkan kecuali untuk tujuan hadir bekerja dan pulang semula ke rumah sendiri setelah terkandas di kampung atau di tempat-tempat lain. Perjalanan rentas negeri untuk balik ke kampung semasa cuti perayaan Aidilfitri tidak dibenarkan.
Buat masa ini, semua sekolah, kolej dan institusi pengajian tinggi masih belum dibuka.
Senarai lengkap perniagaan atau aktiviti yang tidak dibenarkan boleh dirujuk di laman web Majlis Keselamatan Negara. Senarai ini akan disemak dari masa ke semasa bergantung kepada perkembangan kes-kes jangkitan COVID-19.
Selain daripada senarai yang tidak dibenarkan, semua sektor perniagaan dan industri, sektor awam dan sektor sosial adalah dibenarkan untuk beroperasi tertakluk kepada syarat-syarat dan peraturan semasa serta SOP yang ditetapkan oleh pihak berkuasa.
SOP ini termasuk penjarakan sosial, kerap mencuci tangan, memakai topeng muka, melaporkan segera kepada Jabatan Kesihatan jika terdapat maklumat mengenai jangkitan COVID-19, keutamaan melindungi kumpulan berisiko seperti kanak-kanak, bayi, warga emas dan OKU, individu tidak sihat dan bergejala dikehendaki segera menjalani pemeriksaan kesihatan, bilangan penumpang dalam kenderaan awam perlu mengambil kira penjarakan sosial dan menggalakkan transaksi secara online.
SAYA INGIN MEMBERIKAN BEBERAPA CONTOH MUDAH BAGAIMANA SOP INI HENDAK DILAKSANAKAN. MISALNYA, MULAI 4 MEI, IAITU HARI ISNIN MINGGU DEPAN, PAK SALLEH BOLEH BUKA SEMULA RESTORAN YANG DITUTUP.
Jadi dalam sehari dua ini Pak Salleh boleh pergi ke restoran untuk bersihkan restoran, bersihkan pinggan, sudu, periuk dan lain-lain alat memasak, susun meja dan kerusi, dan beli stok barang-barang mentah.
Pastikan meja disusun dengan jarak sekurang-kurangnya 2 meter antara satu meja dengan meja yang lain. Ini penting supaya di tengah-tengahnya ada ruang yang agak luas untuk pelanggan dan pekerja lalu, dan ada jarak yang selamat antara pelanggan yang makan di situ.
Untuk pastikan penjarakan sosial ketika pelanggan makan, Pak Salleh boleh letak notis di setiap meja hanya satu orang, dua orang atau tiga orang dibenarkan makan bergantung kepada saiz meja. Kalau meja kecil mungkin satu orang atau dua orang sahaja dibenarkan. Kalau meja besar, mungkin tiga orang atau empat orang. Ini Pak Salleh kena tentukan.
Keduanya, buatkan garisan di lantai depan kaunter bayaran. Ukur garisan sekurang-kurangnya satu meter antara satu sama lain. Ini untuk memastikan pelanggan beratur dengan jarak sekurang-kurangnya satu meter di depan atau di belakang pelanggan yang lain ketika mereka hendak membuat bayaran.
Ketiganya, sediakan hand sanitizer di kaunter bayaran. Pelanggan yang dah bayar boleh gunakan hand sanitizer untuk bersihkan tangan. Sediakan juga sabun atau hand wash yang mencukupi di tempat basuh tangan.
Ketiganya, beli penyembur pembersih meja yang mencukupi. Setiap kali selepas pelanggan makan, beritahu pekerja supaya bersihkan meja cepat-cepat sebelum pelanggan lain duduk.
Keempat, beli face mask. Beri kepada pekerja dan pastikan mereka pakai face mask setiap masa. Pak Salleh pun kena pakai face mask.
Kelima, pada hari pertama restoran dibuka, seboleh-bolehnya periksa suhu badan pelanggan sebelum dia dibenarkan masuk ke restoran. Boleh guna alat pengimbas suhu yang sesuai untuk periksa suhu badan pelanggan.
Keenam, catat nama dan nombor telefon pelanggan serta tarikh dan masa mereka datang ke restoran. Ini penting kerana jika ada kes positif COVID 19 yang melibatkan salah seorang pelanggan, pelanggan-pelanggan lain yang datang pada hari itu boleh segera dikesan.
Jadi, sebenarnya banyak kerja yang Pak Salleh kena buat sebelum boleh buka semula restoran.
Semua ini penting untuk pastikan supaya tiada pelanggan Pak Salleh yang terkena jangkitan COVID 19. Pemilik restoran, food truck dan gerai makan yang lain pun mesti buat perkara yang sama.
Kalau semua dah buat begini, pelanggan-pelanggan boleh datang makan di restoran atau beli makanan dengan rasa selamat. Jika masih was-was, bungkus sajalah. Tak perlu makan di restoran. Ini mungkin lebih baik.
Satu lagi contoh ialah stesen minyak. Ini penting kerana bagi pekerja yang nak balik semula bekerja, mereka dah tentu nak isi minyak kereta atau motor masing-masing. Jumlah pelanggan pasti akan bertambah. Jadi, belilah lebih banyak hand sanitizer untuk digunakan oleh pelanggan.
Syarikat-syarikat pengangkutan awam juga mesti bersedia. Sudah tentu jumlah pengguna akan meningkat. Dalam keadaan kita nak mengawal penularan COVID 19, kita mesti elakkan kesesakkan di stesen-stesen bas, LRT, MRT dan sebagainya. Mesti ada tindakan diambil oleh pengendali syarikat pengangkutan awam untuk kawal pergerakan orang ramai.
Untuk membantu mengelakkan kesesakan di stesen-stesen pengangkutan awam dan di dalam kenderaan awam, saya mencadangkan supaya semua majikan melaksanakan waktu bekerja yang anjal.
Tak semua pekerja mesti masuk bekerja pada waktu yang sama. Jadi sedikit sebanyak kita boleh elakkan semua orang daripada berkejar-kejar untuk masuk pejabat pada waktu yang sama.
Saya juga nak menasihatkan semua pengguna pengangkutan awam supaya memakai penutup hidung dan mulut. Anda akan sentiasa terdedah kepada penularan wabak COVID 19.
Jadi ambil langkah-langkah untuk lindungi diri sendiri. Pakai penutup hidung dan mulut dan simpan juga satu atau dua lagi dalam beg. Sentiasa bawa hand sanitizer untuk digunakan jika perlu.
Di tempat kerja, majikan mesti periksa suhu badan pekerja setiap hari. Kalau suhu badan tinggi, nasihatkan pekerja supaya balik atau pergi ke klinik dengan segera. Selain itu, anda sebagai pekerja pastikan meja, kerusi dan peralatan yang digunakan di pejabat sentiasa bersih. Elakkan sentuhan atau body contact dengan rakan sekerja yang lain.
Ini adalah antara langkah-langkah yang mesti dibuat untuk lindungi diri anda daripada jangkitan COVID 19.
Mustahil saudara-saudari boleh berkurung di dalam rumah selama-lamanya. Saudara-saudari perlu juga keluar untuk bekerja, berniaga dan membeli barang-barang keperluan harian. Yang penting jaga kebersihan diri. Jaga keselamatan dan keluar rumah hanya untuk urusan-urusan yang perlu sahaja.
Malah, walaupun semua sektor ekonomi dibuka, majikan boleh galakkan pekerja untuk bekerja dari rumah. Ini norma baharu yang kita mesti amalkan. Bincang dengan pekerja. Mana-mana tugas yang boleh dibuat di rumah, buat di rumah. Ini lebih baik. Mungkin boleh susun jadual hari bekerja secara selang seli. Hari ini masuk pejabat, esok bekerja dari rumah.
Saya fikir ini juga boleh menyelesaikan masalah penjagaan anak. Walaupun pusat-pusat penjagaan kanak-kanak akan dibuka dengan mengamalkan SOP kesihatan yang tertentu, saya tahu ramai ibu bapa yang bimbang untuk menghantar anak-anak mereka. Jadi, kalau majikan boleh memberi sedikit kelonggaran kepada pasangan suami isteri yang bekerja untuk datang ke tempat kerja secara selang-seli atau every alternate days, ini boleh membantu menyelesaikan masalah penjagaan anak.
Hari ini isteri bekerja dari rumah, suami bekerja di pejabat. Esok suami bekerja dari rumah, isteri bekerja di pejabat. Jadi anak tak perlu dihantar ke pusat jagaan. Hanya mereka yang tiada pilihan sahaja menghantar anak mereka. Secara tidak langsung ini dapat mengurangkan jumlah kanak-kanak di pusat penjagaan dan lebih mudahlah untuk penjaga mengurus anak-anak ini mengikut SOP kesihatan yang ditetapkan.
Jadi saya nak minta tolong dengan majikan jika boleh benarkan pasangan suami isteri yang ada keperluan untuk menjaga anak-anak kecil di rumah supaya dibenarkan bekerja every alternate days atau bekerja dari rumah.
Bagi sektor awam yang akan mula beroperasi mulai 4 Mei 2020, kerajaan menggalakkan kakitangan awam bekerja dari rumah kecuali bagi proses kerja yang memerlukan keberadaan di pejabat. Mesyuarat juga digalakkan diadakan secara online menggunakan medium yang selamat. Bagi mereka yang mempunyai kesulitan penjagaan anak-anak di rumah, kerajaan membenarkan penggiliran pekerja selain melaksanakan waktu bekerja anjal.
Saya minta supaya semua Ketua Jabatan mengadakan perbincangan di peringkat jabatan masing-masing untuk menyusun semula keperluan sumber manusia di jabatan dengan mengutamakan konsep bekerja dari rumah.
Saudara dan saudari yang saya kasihi sekalian,
Saya faham saudara-saudari agak bimbang apabila sektor-sektor ekonomi kita mula dibuka. Ramai yang akan keluar rumah untuk bekerja. Mereka akan berada di mana-mana. Di jalan raya, di stesen LRT, di stesen minyak, di dalam bas, di dalam grab, di restoran, di pasaraya dan di tempat-tempat lain. Virus COVID 19 tetap ada di luar sana dan risiko terkena jangkitan sentiasa ada. Saya pun bimbang juga.
Apapun kita jangan panik dan jangan mengalah. Saya yakin dengan kemampuan para petugas barisan hadapan kita untuk menjalankan tugas mereka membendung wabak ini.
Tetapi yang lebih penting ialah diri kita sendiri. Tanggungjawab kita sendiri. Jaga kebersihan diri kita. Jangan keluar rumah kecuali jika perlu. Patuhi SOP yang ditetapkan pada setiap masa. Pakai penutup hidung dan mulut bila keluar ke tempat awam. Bawa hand sanitizer. Seboleh-bolehnya, jadikan bekerja dari rumah sebagai amalan norma baharu.
Anda yang merupakan ketua keluarga, ketua masyarakat juga mesti memainkan peranan. Nasihat anak-anak, anggota masyarakat supaya sentiasa berhati-hati. Elakkan perkumpulan beramai-ramai di kejiranan kita.
Amalkan penjarakan sosial sebagai norma baharu dalam kehidupan. Jika berlaku kes-kes bergejala COVID 19 di tempat tempat kerja atau di kawasan perumahan saudara-saudari, cepat-cepat laporkan kepada pihak berkuasa.
Dalam memerangi COVID-19, pengesanan kontak atau contact tracing adalah sangat penting. Petugas kesihatan mesti tahu siapa yang pernah berada dekat dengan orang yang dikenalpasti positif COVID-19. Untuk memudahkan pengesanan kontak, kerajaan telah mewujudkan applikasi MySejahtera dan MyTrace. Saya harap anda semua yang mempunyai telefon pintar muat turun aplikasi ini untuk membantu pihak Kementerian Kesihatan melakukan pengesanan kontak jika berlaku jangkitan baharu. Ini adalah tanggungjawab kita semua.
Saya mengambil kesempatan ini untuk merakamkan ucapan setinggi-tinggi penghargaan dan juga ucapan selamat Hari Pekerja khususnya kepada para petugas barisan hadapan kita – doktor, jururawat, polis, tentera, anggota RELA, imigresen, Angkatan Pertahanan Awam, APMM, Jabatan Kebajikan Masyarakat dan semua pekerja di sektor awam dan swasta.
Saya juga ingin mengucapkan selamat Hari Pekerja kepada semua pimpinan dan ahli kesatuan-kesatuan sekerja termasuk pimpinan CUEPACS dan MTUC.
Sempena sambutan Hari Pekerja pada hari ini, saya ingin mengingatkan para pekerja dan majikan agar sentiasa mematuhi Akta Kerja 1955, Akta Perusahaan 1966 dan akta-akta perburuhan di bawah Kementerian Sumber Manusia yang sedang berkuatkuasa. Kementerian Sumber Manusia telah mengeluarkan panduan pelaksanaan bayaran gaji penuh, bayaran gaji cuti sakit dan hospitalisasi bagi pekerja yang dikuarantin, alternatif tindakan cuti tanpa gaji dan pengurangan gaji dengan persetujuan bersama di antara majikan dan pekerja dalam tempoh PKP.
Panduan ini boleh dirujuk kepada Jabatan Tenaga Kerja, Kementerian Sumber Manusia. Semua majikan dikehendaki mematuhi garis panduan mengenai pengendalian isu berhubung penularan COVID-19 di tempat kerja, khususnya yang membabitkan perintah kuarantin, cuti sakit dan pemberhentian pekerja.
Majikan juga boleh mengambil langkah sewajarnya untuk mengelakkan pemberhentian pekerja disebabkan COVID-19 seperti disyorkan dalam tatacara keharmonian perusahaan atau Code of Conduct, iaitu mengehadkan kerja lebih masa dan mengurangkan hari bekerja dalam seminggu atau mengurangkan bilangan kerja seminggu.
Besarlah harapan saya agar semua warga pekerja dan majikan dapat terus mendokong dan menjiwai cara kerja baharu atau norma baharu pekerjaan dalam keadaan kita sedang menangani wabak COVID-19. InsyaAllah, kita pasti menang.
Akhir kata, saya ucapkan “Selamat Hari Pekerja 2020” kepada semua warga pekerja di Malaysia.
#PerintahKawalanPergerakan #KitaJagaKita #KitaMestiMenang #KitaIntuSarawak #letsfightcovidtogether
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Sendiri Tulis Sendiri Tanggung Ya, Penulis Blog Tidak Bertanggungjawab Ke atas Implaksi Perundangan Yang Dikenakan Oleh Pihak Berkuasa Ke atas Mana-mana Ulasan Yang Menyalahi Perundangan Yang berkuatkuasa