Pages

5 Mei 2020

Usahawan Ambil Peluang PKPB Untuk Buka Perniagaan Dengan Normal Baharu - Wan Junaidi

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh. 

Saya harap rakyat boleh bekerjasama dan mendukung keputusan Kerajaan Persekutuan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB). Jemaah menteri telah membuat keputusan itu pada 29 April 2020 dengan penuh teliti dan berhati-hati walaupun negara masih bimbang dengan ancaman pandemik Covid-19.

Kerajaan telah mengambil kira segala pertimbangan termasuk bersandarkan data, nasihat pakar dan garis panduan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan pandangan WHO, sebelum membuat keputusan supaya PKPB dilakukan serentak di seluruh negara.

Keputusan untuk untuk membuka semula beberapa sektor ekonomi adalah untuk menyelamatkan ekonomi yang terjejas sepanjang perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 18 Mac lalu.

Perdana Menteri, YAB Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam Perutusan Khas Hari Pekerja 2020 yang disiarkan secara langsung pada 1 Mei lalu berkata, Malaysia kerugian sekitar RM2.4 bilion setiap hari, sepanjang tempoh PKP dilaksanakan.

Peniaga kecil-kecilan yang terpaksa akur menutup perniagaan semasa PKP. Ramai yang mengeluh kerana tidak ada pendapatan atau pendapatan terjejas. Syarikat pula tidak mampu membayar gaji pekerja lagi dan risiko menutup operasi, manakala pekerja kehilangan pekerjaan. Persoalan besar ialah “food on the table” untuk ratusan ribu mereka terjejas. 

Kelonggaran sekatan pergerakan bukan sahaja membolehkan perniagaan menyambung semula aktiviti ekonomi, menjana hasil dan seterusnya dapat menangani isu pemberhentian pekerja. Tapi, yang lebih penting menjamin kehidupan individu-individu dengan tidak menunggu ihsan kerajaan, yang semakin mencabar untuk terus membeli dan mengagih makanan kepada rakyat.

Oleh yang demikian, saya menyarankan usahawan-usahawan mengambil peluang PKPB ini untuk membuka kembali perniagaan yang di benar mereka secara optimum dan normal baharu, tetapi perlulah mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah ditetapkan kerajaan untuk keselamatan mereka sendiri dan keluarga mereka.

Sudah tentu kita mengharapkan PKPB dapat menyelamatkan ekonomi negara dan dalam masa yang sama kepatuhan kepada syarat-syarat yang telah ditetapkan. Rakyat boleh mencari rezeki, namun dalam masa yang sama tidak menjejaskan usaha kerajaan dalam membendung penularan Covid-19.

#StayAtHome
#KitaJagaKeluargaKita
#UsahawanJanganPutusAsa

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Sendiri Tulis Sendiri Tanggung Ya, Penulis Blog Tidak Bertanggungjawab Ke atas Implaksi Perundangan Yang Dikenakan Oleh Pihak Berkuasa Ke atas Mana-mana Ulasan Yang Menyalahi Perundangan Yang berkuatkuasa