Pages

13 Ogo 2021

Tempoh 24 jam atau 48 jam mendatang ini kritikal, kata Najib


Tempoh beberapa hari akan datang akan menjadi detik kritikal dalam menentukan keabsahan kerajaan Perikatan Nasional (PN), kata bekas perdana menteri Najib Razak.

Malah katanya detik itu mungkin berlaku dalam tempoh 24 atau 48 jam akan datang.

Hal itu kerana, kata Najib, sebarang keputusan yang bakal dibuat - termasuk oleh Yang di-Pertuan Agong - akan menentukan masa depan negara.

“Apa caranya, kaedahnya, tuanku Yang di-Pertuan Agong mempunyai budi bicara sama ada dibuat di dalam dewan atau di luar dewan,” katanya dalam program sembang santai secara maya bersama Umno Pekan.

Najib turut memetik krisis politik di Perak pada 2009 yang menyaksikan Sultan Perak ketika itu, Almarhum Sultan Azlan Shah menentukan di luar dewan undangan negeri (DUN) bahawa Mohamad Nizar Jamaluddin sudah tidak lagi mempunyai sokongan majoriti wakil rakyat.

Untuk rekod apa yang berlaku itu kemudian menyaksikan kerajaan Pakatan Rakyat dijatuhkan dan diganti dengan BN. Banyak pihak menanggap Najib memainkan peranan penting dalam gerakan tersebut.

Gambaran kedudukan majoriti

Kaedah itu, kata Najib, diterima pula di Mahkamah Persekutuan sebagai satu penterjemahan kepada budi bicara Sultan Perak.

“Jadi bersandarkan pada kaedah dan prinsip itu, maka apabila sampai pada pertikaian di peringkat parlimen, ia juga boleh dilakukan di luar persidangan parlimen, atau pun di dalam parlimen, dalam bentuk undian kepercayaan, yang kita dengar mungkin akan dibentangkan pada tarikh yang belum dimuktamadkan lagi,” katanya.

Program sembang santai itu pada asalnya dirancang sebagai majlis perasmian cawangan Umno Pekan secara berkelompok. Bagaimanapun ia diubah menjadi sembang santai ekoran pertikaian Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) dengan Umno berhubung penangguhan mesyuarat persidangan parti berkenaan.

Kenyataan Najib hadir di tengah pertikaian terhadap majoriti yang dimiliki Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

Malaysiakini sebelum ini melaporkan, Istana Negara didakwa menghantar surat untuk meminta pengesahan daripada speaker Dewan Rakyat Azhar Harun berhubung jumlah sokongan anggota parlimen terhadap Muhyiddin.

Sumber yang mengetahui perkara itu mengesahkan kesahihan warkah berkenaan kepada Malaysiakini, meskipun Azhar dilaporkan enggan mengesahkan surat berkenaan kerana melibatkan pihak Istana Negara.

Menurut Najib perkembangan terbaru menyaksikan surat daripada Azhar yang ditularkan dan didakwa menggambarkan memang Muhyiddin sudah kehilangan majoriti.

Kerajaan sudah pun ketiadaan keabsahan. Perkara ni mungkin melibatkan soal tafsiran perlembagaan, dan juga kaedah-kaedah bagaimana penentuan keabsahan itu perlu dilakukan,” katanya. 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Sendiri Tulis Sendiri Tanggung Ya, Penulis Blog Tidak Bertanggungjawab Ke atas Implaksi Perundangan Yang Dikenakan Oleh Pihak Berkuasa Ke atas Mana-mana Ulasan Yang Menyalahi Perundangan Yang berkuatkuasa