Dengan keputusan sebulat suara, akhirnya keadilan milik Saiful Bukhari bila Mahkamah Persekutuan sebentar tadi menolak permohonan semakan Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mengenepikan sabitan dan hukuman kes liwat yang dihadapinya.
Dalam prosiding yang bermula pada jam 10.19 minit pagi tadi, panel lima hakim Mahkamah Persekutuan diketuai Hakim Besar Malaya, Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin sebulat suara membuat keputusan itu selepas mendapati permohonan semakan berkenaan mengikut aturan 137 Kaedah-Kaedah Mahkamah Persekutuan 1995 tidak mempunyai sebarang merit.
Mahkamah turut memutuskan ia pada peringkat ini tiada bidang kuasa untuk menentukan semua perkara yang dibangkitkan Anwar dalam permohonan semakan itu membabitkan integriti sampel, penyalahgunaan proses mahkamah dan dakwaan konspirasi dalam pertuduhan ke atasnya.
Dengan keputusan itu, Anwar yang sudah menjalani hukuman penjara di Penjara Sungai Buloh selama setahun 10 bulan perlu menghabiskan baki hukuman penjara lima tahun yang diperintahkan ke atasnya.
Turut bersidang Hakim Mahkamah Persekutuan, Tan Sri Hasan Lah, Tan Sri Abu Samah Nordin dan Tan Sri Zaharah Ibrahim.
Anwar memohon semakan untuk mengenepikan sabitan dan hukuman lima tahun penjara terhadapnya atas kesalahan meliwat bekas pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan.
Selain itu, secara alternatif dia memohon Mahkamah Persekutuan mendengar semula rayuan itu berdasarkan kepada merit.
Pada 10 Februari 2015, Mahkamah Persekutuan mengekalkan keputusan Mahkamah Rayuan pada 7 Mac 2014 yang mensabitkan Anwar dan memerintahkannya dipenjara lima tahun.
Pihak pendakwaan diwakili barisan timbalan pendakwa raya diketuai Ketua Bahagian Perbicaraan dan Rayuan, Jabatan Peguam Negara Datuk Ahmad Kamal Md Shahid manakala barisan peguam Anwar diketuai Datuk Seri Gopal Sri Ram.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Sendiri Tulis Sendiri Tanggung Ya, Penulis Blog Tidak Bertanggungjawab Ke atas Implaksi Perundangan Yang Dikenakan Oleh Pihak Berkuasa Ke atas Mana-mana Ulasan Yang Menyalahi Perundangan Yang berkuatkuasa