SYUKUR…..Keadaan penjelajah negara, Muhammad Muqharabbin Mokhtarrudin atau lebih dikenali sebagai Qobin yang sedang merealisasikan misi berski menuju ke titik 90 darjah Kutub Selatan, dilaporkan selamat.
Menurut sebuah entri yang dimuat naik oleh Penasihat Kelab Eksplorasi 7 Benua Malaysia (KE7B), Datuk Akmar Hisham Mokhles, pada kira-kira jam 8.30 malam tadi, Qobin tetap bersemangat meneruskan perjalanannya meskipun keadaan jarinya belum pulih sepenuhnya.
BACA: Sejuk Melampau, Qobin Hadapi Sedikit Kesukaran
Tambah Akmar lagi, walaupun ada penjelajah dari negara lain terpaksa dibawa keluar dari Kutub Selatan kerana keadaan kesihatan mereka yang merosot dan tidak tahan dengan cuaca yang ekstrem, namun Qobin berjaya mengekalkan semangatnya untuk menamatkan misi ini.
“Hari ini, dalam penuh kepayahan Qobin berjaya berski sejauh 22 km lagi,” tulis Akmar, sambil memanjatkan kesyukuran dan rasa terima kasihnya kepada semua rakyat Malaysia yang tidak putus-putus memberikan sokongan dan doa kepada Qobin.
“Terima kasih Ya Allah kerana menolong Qobin untuk bergerak pada hari ini. Terima kasih atas doa rakyat Malaysia untuk melihat Qobin berjaya dan sihat.”
Sebentar tadi, Qobin memaklumkan perjalanannya hanya berbaki 26 km sahaja lagi dan beliau bertekad untuk sampai ke titik 90 darjah Kutub Selatan pada Khamis, 28 Disember ini (bersamaan awal pagi 29 Disember waktu Malaysia).
Dalam pada itu, Qobin juga mohon minta rakyat Malaysia terus mendoakan kesihatannya terutama keadaan tangannya supaya beliau dapat sampai ke titik 90 darjah dalam keadaan selamat tanpa kecederaan.
Sehingga hari ini Qobin telah berjaya menamatkan perjalanan sejauh 85 km dan esok beliau bertekad untuk berski antara 10 hingga 11 jam untuk menamatkan baki 26 km lagi.
Ayuh semua kita doakan kejayaan untuk Qobin bagi membolehkannya menjadi rakyat Malaysia pertama bergelar Penjelajah Grand Slam dan umat Islam termuda berjaya melakukan misi ini!-MYNEWSHUB.CC/FB Datuk Akmar Hisham Mokhles
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Sendiri Tulis Sendiri Tanggung Ya, Penulis Blog Tidak Bertanggungjawab Ke atas Implaksi Perundangan Yang Dikenakan Oleh Pihak Berkuasa Ke atas Mana-mana Ulasan Yang Menyalahi Perundangan Yang berkuatkuasa