Mata Pena Lebih tajam Dari Pedang

Menyampaikan sesuatu isu hendaklah berlandaskan kebenaran. Kalau isu tidak benar maka itu adalah fitnah yang nyata.

Membaca Buku adalah Jambatan Ilmu

Beruntunglah sesiapa yang suka membaca dan mengamalkan ilmu2 yang ada di dalam buku yang dibaca."Tidak membaca buku bermakna tidak bertambahlah ilmu dan pengetahuan" .

Perdana Menteri Malaysia

Mungkin wujud republik Malaysia, Kerajaan Islamiyah Malaysia Perdana Menteri TEORI RAHMAN pusingan ...

Majalah Berita Bujang Senang Bukan Bola Sepak

Kami ingin menghiburkan anda dengan info terkini yang boleh merangsangkan minda anda. Kalau anda terasa sabar sajalah

Perkongsian minda yang baik

Percambahan minda yang baik akan merangsang pemikiran supaya lebih kreatif maka fikir-fikirkan lah apa yang kami sampaikan

Bujang Senang

Bujang Senang

5 Mei 2020

Usahawan Ambil Peluang PKPB Untuk Buka Perniagaan Dengan Normal Baharu - Wan Junaidi

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh. 

Saya harap rakyat boleh bekerjasama dan mendukung keputusan Kerajaan Persekutuan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB). Jemaah menteri telah membuat keputusan itu pada 29 April 2020 dengan penuh teliti dan berhati-hati walaupun negara masih bimbang dengan ancaman pandemik Covid-19.

Kerajaan telah mengambil kira segala pertimbangan termasuk bersandarkan data, nasihat pakar dan garis panduan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan pandangan WHO, sebelum membuat keputusan supaya PKPB dilakukan serentak di seluruh negara.

Keputusan untuk untuk membuka semula beberapa sektor ekonomi adalah untuk menyelamatkan ekonomi yang terjejas sepanjang perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 18 Mac lalu.

Perdana Menteri, YAB Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam Perutusan Khas Hari Pekerja 2020 yang disiarkan secara langsung pada 1 Mei lalu berkata, Malaysia kerugian sekitar RM2.4 bilion setiap hari, sepanjang tempoh PKP dilaksanakan.

Peniaga kecil-kecilan yang terpaksa akur menutup perniagaan semasa PKP. Ramai yang mengeluh kerana tidak ada pendapatan atau pendapatan terjejas. Syarikat pula tidak mampu membayar gaji pekerja lagi dan risiko menutup operasi, manakala pekerja kehilangan pekerjaan. Persoalan besar ialah “food on the table” untuk ratusan ribu mereka terjejas. 

Kelonggaran sekatan pergerakan bukan sahaja membolehkan perniagaan menyambung semula aktiviti ekonomi, menjana hasil dan seterusnya dapat menangani isu pemberhentian pekerja. Tapi, yang lebih penting menjamin kehidupan individu-individu dengan tidak menunggu ihsan kerajaan, yang semakin mencabar untuk terus membeli dan mengagih makanan kepada rakyat.

Oleh yang demikian, saya menyarankan usahawan-usahawan mengambil peluang PKPB ini untuk membuka kembali perniagaan yang di benar mereka secara optimum dan normal baharu, tetapi perlulah mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah ditetapkan kerajaan untuk keselamatan mereka sendiri dan keluarga mereka.

Sudah tentu kita mengharapkan PKPB dapat menyelamatkan ekonomi negara dan dalam masa yang sama kepatuhan kepada syarat-syarat yang telah ditetapkan. Rakyat boleh mencari rezeki, namun dalam masa yang sama tidak menjejaskan usaha kerajaan dalam membendung penularan Covid-19.

#StayAtHome
#KitaJagaKeluargaKita
#UsahawanJanganPutusAsa

3 Mei 2020

Peruntukan RM372.845 Juta Untuk Pelan Pemulihan Usahawan – MEDAC

Sehingga  30 April 2020, jumlah permohonan yang diterima adalah  sebanyak 17,845 permohonan yang diterima, manakala sebanyak 5,684 telah diluluskan dengan jumlah RM 47.6 Juta.

Dalam satu kenyataan hari ini, melalui menterinya, Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, MEDAC juga memperkenalkan Pelan Pemulihan Usahawan Pasca Covid-19 yang bertujuan memastikan kelestarian serta pemulihan operasi perniagaan usahawan yang terjejas akibat penularan wabak COVID-19.

Pelan ini akan dilaksanakan dalam dua fasa iaitu fasa pertama bermula pada bulan Mei 2020 hingga bulan Disember 2020, manakala fasa kedua pula bermula pada bulan Januari 2021 hingga bulan Mei 2021 dengan melibatkan peruntukan sebanyak RM 372.845 juta.

Sebagai inisiatif untuk membantu usahawan pada masa ini, MEDAC menerusi agensi dibawahnya juga sedang dan telah mengambil dan melaksanakan langkah-langkah  berikut sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan :

  • Penyediaan Pembiayaan dengan anggaran peruntukan berjumlah RM 786.5 juta oleh Bank Rakyat, SME Bank, TEKUN Nasional (TEKUN) dan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) kepada 4,133 penerima manfaat yang terdiri daripada individu, usahawan dan Koperasi;
  • Penangguhan Bayaran Balik pembiayaan oleh TEKUN kepada 209,479 usahawan berjumlah RM 324 juta;
  • Penjadualan Semula Pinjaman Pembiayaan Oleh TEKUN untuk 1,000 orang usahawan mikro dengan kos berjumlah RM 10 juta;
  • Moratorium Oleh Semua Agensi Di Bawah Kementerian untuk 3,119,570 penerima manfaat dengan kos berjumlah RM 13.14 bilion;
  • Penangguhan Bayaran Balik Pembiayaan Tabung Model Pusingan (TMP-JPK) Oleh SKM kepada 1,000 koperasi berjumlah RM 99 juta;
  • Pembiayaan Menerusi TMP-JPK Sehingga RM50 ribu Tanpa Cagaran dengan grace period selama 6 bulan dengan peruntukan sebanyak RM 15 juta;
  • Penangguhan Bayaran Balik Pembiayaan Individu Oleh Koperasi Perbankan untuk sebanyak 1,254,339 koperasi dengan kos berjumlah RM 5.67 bilion;
  • Pinjaman Dana Likuiditi Pusat (CLF) dengan jumlah minimum permohonan dana RM 500 ribu dengan tempoh pinjaman selama 1 tahun bagi Koperasi yang menghadapi masalah kewangan
  • Pengurangan Caruman Kumpulan Wang Rizab Statutori Daripada 15% Kepada 8% daripada untung bersih berjumlah RM 333 juta;
  • Penangguhan Pendepositan Ke Akaun Deposit Koperasi (ADK) kepada semua koperasi bernilai RM 571 juta;
  • Pengecualian/Pengurangan Sewa Bangunan *Milik Uda* Dengan Anggaran Kos RM 12.4 Juta yang akan memberi manfaat kepada 1,828 orang usahawan;
  • Latihan Keusahawanan/Perniagaan Atas Talian Dengan Anggaran Peruntukan Berjumlah RM0.6 Juta yang akan memanfaatkan 82,717 orang usahawan;
  • Memberi Kelulusan Bersyarat Pendaftaran Sijil Taraf Bumiputera Kepada 705 Kontraktor Bumiputera;
  • Pelaksanaan 6 program berimpak tinggi melibatkan anggaran kos pelaksanaan berjumlah RM 15,585,000 dan memberi manfaat kepada 6,000 orang yang terdiri daripada graduan, bakal usahawan, usahawan, koperasi dan startups termasuk masyarakat umum.

Selain pengumuman bantuan tersebut, Wan Junaidi turut mengingatkan kumpulan usahawan PKS dan Mikro agar perlu mempersiapkan diri bagi menghadapi senario perniagaan yang berbeza khususnya selepas tamat tempoh PKP. -SuaraTV

1 Mei 2020

PERUTUSAN KHAS YAB PERDANA MENTERI SEMPENA HARI PEKERJA 2020

Pertamanya, saya ingin mengucapkan ‘Selamat Hari Pekerja’ kepada semua warga pekerja di Malaysia.

Pada tahun ini ketibaan Hari Pekerja tidak disambut seperti biasa. Tiada perhimpunan besar diadakan dalam situasi semasa penularan wabak COVID-19. Selain itu, kebetulan pula Hari Pekerja tahun ini jatuh pada bulan Ramadhan.

Dengan trend kes dunia sedia ada, wabak COVID-19 dijangka akan berterusan untuk tempoh masa yang agak lama. Ia tidak akan berakhir dalam jangka waktu yang terdekat.

Walaupun tiada sambutan Hari Pekerja 2020 peringkat kebangsaan pada tahun ini, sumbangan dan pengorbanan para pekerja sektor awam dan swasta selama ini amat dihargai oleh pihak Kerajaan.

Bermula 18 Mac yang lalu, kerajaan telah mengisytiharkan Perintah Kawalan Pergerakan atau PKP. Ini pertama kali dalam sejarah, kerajaan menguatkuasakan perintah seumpama ini.

Dalam tempoh ini, bekerja dari rumah dan duduk di rumah merupakan pengorbanan besar para pekerja dalam membantu Kerajaan menangani penularan COVID-19.

Disiplin kita untuk duduk diam-diam di rumah atau bekerja dari rumah setakat ini telah membuahkan hasil yang memberangsangkan.

PERTAMA, kita telah mampu mempertingkatkan kapasiti perkhidmatan kesihatan awam untuk menangani jumlah pesakit COVID-19.

InsyaAllah kita mempunyai sumber tenaga kerja, ruang katil di hospital, pusat kuarantin, ubat-ubatan, alat bantuan pernafasan atau ventilator, peralatan perlindungan diri dan makmal-makmal ujian yang mencukupi seandainya kadar jangkitan meningkat semula.

KEDUA, kita perlu terima hakikat bahawa dalam bulan-bulan mendatang ini, adalah mustahil untuk mana-mana negara mencapai angka sifar dalam jangkitan COVID-19. Yang perlu dilakukan ialah mempertingkatkan keupayaan perkhidmatan kesihatan awam untuk menghadapi sebarang kemungkinan.

Jadi, walaupun kita telah berjaya mengawal penularan COVID-19, jangan kita alpa. Teruslah berwaspada. Amalkan tabiat penjarakan sosial, sering membasuh tangan, memakai penutup hidung dan mulut atau face mask di kawasan awam dan segera berjumpa doktor sekiranya bergejala.

KETIGA, kita mempunyai lebih banyak kawasan zon hijau berbanding zon merah. Ini juga adalah hasil usaha kerjasama saudara-saudari yang amat berdisiplin. Teruskan usaha ini agar kita dapat ‘menghijaukan’ lebih banyak kawasan terjejas secepat yang boleh.

Menurut Kementerian Kesihatan, negara kita juga telah memenuhi enam (6) kriteria yang ditetapkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia atau WHO.
Pertama, kawalan sempadan negara kita telah diperketatkan untuk mengelakkan kes import positif COVID-19 berlaku;

Kedua, kawalan pergerakan untuk mengurangkan kadar jangkitan dalam kalangan rakyat tempatan;

Ketiga, peningkatan keupayaan fasiliti kesihatan;

Keempat, keupayaan menjaga golongan berisiko seperti warga emas, pesakit yang dirawat serta orang kurang upaya;

Kelima, amalan normal baharu dalam kehidupan seperti tidak berkumpul, tidak bersalam, penjarakan sosial dan memakai face mask; dan

Keenam, pemerkasaan komuniti untuk menjaga kawasan yang tidak dijangkiti seperti zon hijau serta mengamalkan aktiviti normal baharu.

ALHAMDULILLAH, PENGORBANAN KITA SEPANJANG PELAKSANAAN PKP TIDAK SIA-SIA…

Jumlah kes-kes baharu telah menurun dengan ketara. Jumlah pesakit yang sembuh juga telah meningkat.

Penggunaan ruang-ruang katil di hospital yang dikhaskan untuk pesakit COVID-19 tidak melebihi 30 peratus.

Saudara dan saudari yang saya kasihi,

Sejak dari awal, Kerajaan mempunyai perancangan yang jelas dalam memerangi wabak Covid-19 dan menghadapi krisis ekonomi Kerajaan menggunakan strategi yang merangkumi enam (6) pendekatan:

Pertama ialah ketegasan atau resolve dalam tindakan mengawal penularan wabak Covid-19 dengan melaksanakan PKP;

Kedua, membina ketahanan atau resilience melalui pakej rangsangan ekonomi PRIHATIN untuk meningkatkan kemampuan rakyat dan ekonomi;

Ketiga, menjana semula atau restart ekonomi secara teratur dan terkawal;

Keempat, melaksanakan strategi pemulihan atau recovery ekonomi dalam menghadapi norma baharu;

Kelima, memperkasa atau revitalize ekonomi secara menyeluruh demi kelangsungan masa hadapan; dan

Keenam, menyusun semula atau reform struktur ekonomi untuk membolehkan negara dan saudara-saudari semua melangkah ke era kehidupan yang sudah berubah dengan adanya ‘norma baharu’ atau ‘new normal’.

ALHAMDULILLAH, PENDEKATAN PERTAMA DAN KEDUA TELAH MEMBUAHKAN HASIL…

Kini, kita telah bersedia untuk memulakan pendekatan ketiga, iaitu membuka semula aktiviti ekonomi di seluruh negara secara terkawal dan berhati-hati.

Dengan ini kerajaan akan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat atau PKPB. Sebahagian besar daripada aktiviti ekonomi dan sosial akan dibenarkan, kecuali beberapa aktiviti yang melibatkan perhimpunan ramai dan mendedahkan orang awam kepada risiko jangkitan wabak COVID-19 yang masih tidak dibenarkan.

Perintah Kawalan Pergerakan Dipertingkatkan (PKPD) juga akan dilaksanakan di kawasan-kawasan yang mencatatkan kes positif COVID-19 yang tinggi.

Saya tahu setelah hampir dua bulan menjalani PKP, ramai dalam kalangan saudara-saudari yang ingin kembali bekerja. Bagi peniaga, nak membuka semula perniagaan. Bagi pengusaha industri, nak pastikan perusahaan masing-masing dapat beroperasi semula.

Ini penting kepada saudara-saudari kerana pekerjaan dan perniagaan adalah sumber pendapatan dan mata pencarian saudara-saudari. Kalau terlalu lama berada dalam PKP, maka terputuslah mata pencarian dan ini memberi kesan yang buruk kepada kedudukan kewangan masing-masing.

Begitu juga bagi negara kita. Terhenti aktiviti ekonomi bermakna terhentilah sumber pendapatan negara. Cukai tidak boleh dikutip, industri tidak boleh berkembang, pertumbuhan ekonomi terencat dan yang paling ingin kita elakkan ialah lebih banyak perniagaan terpaksa ditutup dan ramai pekerja kehilangan pekerjaan.

Saya hendak sebutkan di sini bahawa negara kita rugi sekitar RM2.4 bilion setiap hari sepanjang tempoh PKP dilaksanakan. Jumlah kerugian setakat ini dianggarkan sekitar RM63 bilion. Jika PKP berterusan untuk tempoh sebulan lagi, negara kita akan kerugian RM35 bilion menjadikan jumlah keseluruhan kerugian RM98 bilion.

Pada masa yang sama, ramai juga yang bimbang jika PKP ditamatkan. Apa akan jadi kepada usaha kita untuk menangani COVID 19. Virus ini masih ada di luar sana. Walaupun jumlah kes-kes baharu COVID 19 semakin berkurangan, risiko peningkatan kadar jangkitan tetap ada. Ramai yang akan keluar bekerja dan bergerak ke sana ke sini, ke sana ke sini. Dengan itu, adakah ini bermakna wabak COVID 19 akan menular semula.

Jadi saya sedar, saudara-saudari bimbang. Saya pun bimbang juga. Dan memang telah pun berlaku di beberapa buah negara lain, apabila ‘lockdown’ dihentikan, jumlah kes-kes positif COVID 19 meningkat semula dengan mendadak. Ini mesti kita elakkan.

Jadi, saya telah berbincang secara panjang lebar mengenai perkara ini dalam mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi, sidang Majlis Keselamatan Negara dan Mesyuarat Jemaah Menteri. Kita mesti cari jalan untuk mengimbangi keperluan untuk memulihkan ekonomi negara dan kepentingan membendung wabak COVID 19.

Atas nasihat Kementerian Kesihatan berdasarkan data-data yang dikumpul dan amalan terbaik yang ditentukan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia atau WHO, kerajaan telah memutuskan untuk membuka semula sektor-sektor ekonomi secara berhati-hati dengan menguatkuasakan SOP kesihatan yang ketat.

Bermula 4 Mei 2020, hampir semua sektor ekonomi dan aktiviti perniagaan akan dibenarkan beroperasi tertakluk kepada syarat-syarat dan SOP yang ditetapkan oleh pihak berkuasa.
Saya katakan hampir semua kerana masih ada beberapa kategori industri dan perniagaan yang tidak diizinkan untuk beroperasi. Ini adalah perniagaan atau aktiviti yang melibatkan perhimpunan ramai dan sentuhan badan di mana penjarakan sosial sukar dikawal. Antaranya panggung wayang, pusat karaoke, pusat refleksologi, pusat hiburan, kelab malam, taman tema, bazar Ramadan, bazar Aidilfitri, karnival jualan dan semua bentuk persidangan dan pameran.

Selain perniagaan, aktiviti-aktiviti sukan yang melibatkan perhimpunan ramai, sentuhan badan dan lain-lain risiko jangkitan juga tidak dibenarkan.

Ini termasuk sukan bola sepak, ragbi, renang dan semua acara sukan indoor dan stadium. Aktiviti sukan outdoor yang tidak melibatkan sentuhan badan dan perhimpunan ramai dibenarkan. Jadi, saudara-saudari boleh bermain badminton atau tenis di luar tanpa penonton.

Jogging, kayuhan basikal, golf dan larian dalam kumpulan kecil tidak melebihi 10 orang juga dibenarkan dengan syarat anda mengamalkan penjarakan sosial dan elakkan sentuhan badan.

Majlis-majlis sosial, kemasyarakatan dan kebudayaan yang melibatkan perhimpunan ramai seperti kenduri, rumah terbuka, majlis berbuka puasa beramai-ramai, konsert, persembahan kebudayaan, perhimpunan bulanan jabatan kerajaan dan swasta serta semua bentuk majlis perasmian dan perhimpunan adalah tidak dibenarkan.

Aktiviti kegamaan seperti perarakan keagamaan, solat Jumaat dan semua aktiviti berjemaah atau berhimpun di masjid, surau dan rumah-rumah ibadat juga tidak dibenarkan.

Perjalanan rentas sempadan negeri juga tidak dibenarkan kecuali untuk tujuan hadir bekerja dan pulang semula ke rumah sendiri setelah terkandas di kampung atau di tempat-tempat lain. Perjalanan rentas negeri untuk balik ke kampung semasa cuti perayaan Aidilfitri tidak dibenarkan.

Buat masa ini, semua sekolah, kolej dan institusi pengajian tinggi masih belum dibuka.

Senarai lengkap perniagaan atau aktiviti yang tidak dibenarkan boleh dirujuk di laman web Majlis Keselamatan Negara. Senarai ini akan disemak dari masa ke semasa bergantung kepada perkembangan kes-kes jangkitan COVID-19.

Selain daripada senarai yang tidak dibenarkan, semua sektor perniagaan dan industri, sektor awam dan sektor sosial adalah dibenarkan untuk beroperasi tertakluk kepada syarat-syarat dan peraturan semasa serta SOP yang ditetapkan oleh pihak berkuasa.

SOP ini termasuk penjarakan sosial, kerap mencuci tangan, memakai topeng muka, melaporkan segera kepada Jabatan Kesihatan jika terdapat maklumat mengenai jangkitan COVID-19, keutamaan melindungi kumpulan berisiko seperti kanak-kanak, bayi, warga emas dan OKU, individu tidak sihat dan bergejala dikehendaki segera menjalani pemeriksaan kesihatan, bilangan penumpang dalam kenderaan awam perlu mengambil kira penjarakan sosial dan menggalakkan transaksi secara online.

SAYA INGIN MEMBERIKAN BEBERAPA CONTOH MUDAH BAGAIMANA SOP INI HENDAK DILAKSANAKAN. MISALNYA, MULAI 4 MEI, IAITU HARI ISNIN MINGGU DEPAN, PAK SALLEH BOLEH BUKA SEMULA RESTORAN YANG DITUTUP.

Jadi dalam sehari dua ini Pak Salleh boleh pergi ke restoran untuk bersihkan restoran, bersihkan pinggan, sudu, periuk dan lain-lain alat memasak, susun meja dan kerusi, dan beli stok barang-barang mentah.

Pastikan meja disusun dengan jarak sekurang-kurangnya 2 meter antara satu meja dengan meja yang lain. Ini penting supaya di tengah-tengahnya ada ruang yang agak luas untuk pelanggan dan pekerja lalu, dan ada jarak yang selamat antara pelanggan yang makan di situ.

Untuk pastikan penjarakan sosial ketika pelanggan makan, Pak Salleh boleh letak notis di setiap meja hanya satu orang, dua orang atau tiga orang dibenarkan makan bergantung kepada saiz meja. Kalau meja kecil mungkin satu orang atau dua orang sahaja dibenarkan. Kalau meja besar, mungkin tiga orang atau empat orang. Ini Pak Salleh kena tentukan.

Keduanya, buatkan garisan di lantai depan kaunter bayaran. Ukur garisan sekurang-kurangnya satu meter antara satu sama lain. Ini untuk memastikan pelanggan beratur dengan jarak sekurang-kurangnya satu meter di depan atau di belakang pelanggan yang lain ketika mereka hendak membuat bayaran.

Ketiganya, sediakan hand sanitizer di kaunter bayaran. Pelanggan yang dah bayar boleh gunakan hand sanitizer untuk bersihkan tangan. Sediakan juga sabun atau hand wash yang mencukupi di tempat basuh tangan.

Ketiganya, beli penyembur pembersih meja yang mencukupi. Setiap kali selepas pelanggan makan, beritahu pekerja supaya bersihkan meja cepat-cepat sebelum pelanggan lain duduk.

Keempat, beli face mask. Beri kepada pekerja dan pastikan mereka pakai face mask setiap masa. Pak Salleh pun kena pakai face mask.

Kelima, pada hari pertama restoran dibuka, seboleh-bolehnya periksa suhu badan pelanggan sebelum dia dibenarkan masuk ke restoran. Boleh guna alat pengimbas suhu yang sesuai untuk periksa suhu badan pelanggan.

Keenam, catat nama dan nombor telefon pelanggan serta tarikh dan masa mereka datang ke restoran. Ini penting kerana jika ada kes positif COVID 19 yang melibatkan salah seorang pelanggan, pelanggan-pelanggan lain yang datang pada hari itu boleh segera dikesan.

Jadi, sebenarnya banyak kerja yang Pak Salleh kena buat sebelum boleh buka semula restoran.

Semua ini penting untuk pastikan supaya tiada pelanggan Pak Salleh yang terkena jangkitan COVID 19. Pemilik restoran, food truck dan gerai makan yang lain pun mesti buat perkara yang sama.

Kalau semua dah buat begini, pelanggan-pelanggan boleh datang makan di restoran atau beli makanan dengan rasa selamat. Jika masih was-was, bungkus sajalah. Tak perlu makan di restoran. Ini mungkin lebih baik.

Satu lagi contoh ialah stesen minyak. Ini penting kerana bagi pekerja yang nak balik semula bekerja, mereka dah tentu nak isi minyak kereta atau motor masing-masing. Jumlah pelanggan pasti akan bertambah. Jadi, belilah lebih banyak hand sanitizer untuk digunakan oleh pelanggan.

Syarikat-syarikat pengangkutan awam juga mesti bersedia. Sudah tentu jumlah pengguna akan meningkat. Dalam keadaan kita nak mengawal penularan COVID 19, kita mesti elakkan kesesakkan di stesen-stesen bas, LRT, MRT dan sebagainya. Mesti ada tindakan diambil oleh pengendali syarikat pengangkutan awam untuk kawal pergerakan orang ramai.

Untuk membantu mengelakkan kesesakan di stesen-stesen pengangkutan awam dan di dalam kenderaan awam, saya mencadangkan supaya semua majikan melaksanakan waktu bekerja yang anjal.

Tak semua pekerja mesti masuk bekerja pada waktu yang sama. Jadi sedikit sebanyak kita boleh elakkan semua orang daripada berkejar-kejar untuk masuk pejabat pada waktu yang sama.

Saya juga nak menasihatkan semua pengguna pengangkutan awam supaya memakai penutup hidung dan mulut. Anda akan sentiasa terdedah kepada penularan wabak COVID 19.

Jadi ambil langkah-langkah untuk lindungi diri sendiri. Pakai penutup hidung dan mulut dan simpan juga satu atau dua lagi dalam beg. Sentiasa bawa hand sanitizer untuk digunakan jika perlu.

Di tempat kerja, majikan mesti periksa suhu badan pekerja setiap hari. Kalau suhu badan tinggi, nasihatkan pekerja supaya balik atau pergi ke klinik dengan segera. Selain itu, anda sebagai pekerja pastikan meja, kerusi dan peralatan yang digunakan di pejabat sentiasa bersih. Elakkan sentuhan atau body contact dengan rakan sekerja yang lain.

Ini adalah antara langkah-langkah yang mesti dibuat untuk lindungi diri anda daripada jangkitan COVID 19.

Mustahil saudara-saudari boleh berkurung di dalam rumah selama-lamanya. Saudara-saudari perlu juga keluar untuk bekerja, berniaga dan membeli barang-barang keperluan harian. Yang penting jaga kebersihan diri. Jaga keselamatan dan keluar rumah hanya untuk urusan-urusan yang perlu sahaja.

Malah, walaupun semua sektor ekonomi dibuka, majikan boleh galakkan pekerja untuk bekerja dari rumah. Ini norma baharu yang kita mesti amalkan. Bincang dengan pekerja. Mana-mana tugas yang boleh dibuat di rumah, buat di rumah. Ini lebih baik. Mungkin boleh susun jadual hari bekerja secara selang seli. Hari ini masuk pejabat, esok bekerja dari rumah.

Saya fikir ini juga boleh menyelesaikan masalah penjagaan anak. Walaupun pusat-pusat penjagaan kanak-kanak akan dibuka dengan mengamalkan SOP kesihatan yang tertentu, saya tahu ramai ibu bapa yang bimbang untuk menghantar anak-anak mereka. Jadi, kalau majikan boleh memberi sedikit kelonggaran kepada pasangan suami isteri yang bekerja untuk datang ke tempat kerja secara selang-seli atau every alternate days, ini boleh membantu menyelesaikan masalah penjagaan anak.

Hari ini isteri bekerja dari rumah, suami bekerja di pejabat. Esok suami bekerja dari rumah, isteri bekerja di pejabat. Jadi anak tak perlu dihantar ke pusat jagaan. Hanya mereka yang tiada pilihan sahaja menghantar anak mereka. Secara tidak langsung ini dapat mengurangkan jumlah kanak-kanak di pusat penjagaan dan lebih mudahlah untuk penjaga mengurus anak-anak ini mengikut SOP kesihatan yang ditetapkan.

Jadi saya nak minta tolong dengan majikan jika boleh benarkan pasangan suami isteri yang ada keperluan untuk menjaga anak-anak kecil di rumah supaya dibenarkan bekerja every alternate days atau bekerja dari rumah.

Bagi sektor awam yang akan mula beroperasi mulai 4 Mei 2020, kerajaan menggalakkan kakitangan awam bekerja dari rumah kecuali bagi proses kerja yang memerlukan keberadaan di pejabat. Mesyuarat juga digalakkan diadakan secara online menggunakan medium yang selamat. Bagi mereka yang mempunyai kesulitan penjagaan anak-anak di rumah, kerajaan membenarkan penggiliran pekerja selain melaksanakan waktu bekerja anjal.

Saya minta supaya semua Ketua Jabatan mengadakan perbincangan di peringkat jabatan masing-masing untuk menyusun semula keperluan sumber manusia di jabatan dengan mengutamakan konsep bekerja dari rumah.

Saudara dan saudari yang saya kasihi sekalian,

Saya faham saudara-saudari agak bimbang apabila sektor-sektor ekonomi kita mula dibuka. Ramai yang akan keluar rumah untuk bekerja. Mereka akan berada di mana-mana. Di jalan raya, di stesen LRT, di stesen minyak, di dalam bas, di dalam grab, di restoran, di pasaraya dan di tempat-tempat lain. Virus COVID 19 tetap ada di luar sana dan risiko terkena jangkitan sentiasa ada. Saya pun bimbang juga.

Apapun kita jangan panik dan jangan mengalah. Saya yakin dengan kemampuan para petugas barisan hadapan kita untuk menjalankan tugas mereka membendung wabak ini.

Tetapi yang lebih penting ialah diri kita sendiri. Tanggungjawab kita sendiri. Jaga kebersihan diri kita. Jangan keluar rumah kecuali jika perlu. Patuhi SOP yang ditetapkan pada setiap masa. Pakai penutup hidung dan mulut bila keluar ke tempat awam. Bawa hand sanitizer. Seboleh-bolehnya, jadikan bekerja dari rumah sebagai amalan norma baharu.

Anda yang merupakan ketua keluarga, ketua masyarakat juga mesti memainkan peranan. Nasihat anak-anak, anggota masyarakat supaya sentiasa berhati-hati. Elakkan perkumpulan beramai-ramai di kejiranan kita.

Amalkan penjarakan sosial sebagai norma baharu dalam kehidupan. Jika berlaku kes-kes bergejala COVID 19 di tempat tempat kerja atau di kawasan perumahan saudara-saudari, cepat-cepat laporkan kepada pihak berkuasa.

Dalam memerangi COVID-19, pengesanan kontak atau contact tracing adalah sangat penting. Petugas kesihatan mesti tahu siapa yang pernah berada dekat dengan orang yang dikenalpasti positif COVID-19. Untuk memudahkan pengesanan kontak, kerajaan telah mewujudkan applikasi MySejahtera dan MyTrace. Saya harap anda semua yang mempunyai telefon pintar muat turun aplikasi ini untuk membantu pihak Kementerian Kesihatan melakukan pengesanan kontak jika berlaku jangkitan baharu. Ini adalah tanggungjawab kita semua.

Saya mengambil kesempatan ini untuk merakamkan ucapan setinggi-tinggi penghargaan dan juga ucapan selamat Hari Pekerja khususnya kepada para petugas barisan hadapan kita – doktor, jururawat, polis, tentera, anggota RELA, imigresen, Angkatan Pertahanan Awam, APMM, Jabatan Kebajikan Masyarakat dan semua pekerja di sektor awam dan swasta.

Saya juga ingin mengucapkan selamat Hari Pekerja kepada semua pimpinan dan ahli kesatuan-kesatuan sekerja termasuk pimpinan CUEPACS dan MTUC.

Sempena sambutan Hari Pekerja pada hari ini, saya ingin mengingatkan para pekerja dan majikan agar sentiasa mematuhi Akta Kerja 1955, Akta Perusahaan 1966 dan akta-akta perburuhan di bawah Kementerian Sumber Manusia yang sedang berkuatkuasa. Kementerian Sumber Manusia telah mengeluarkan panduan pelaksanaan bayaran gaji penuh, bayaran gaji cuti sakit dan hospitalisasi bagi pekerja yang dikuarantin, alternatif tindakan cuti tanpa gaji dan pengurangan gaji dengan persetujuan bersama di antara majikan dan pekerja dalam tempoh PKP.

Panduan ini boleh dirujuk kepada Jabatan Tenaga Kerja, Kementerian Sumber Manusia. Semua majikan dikehendaki mematuhi garis panduan mengenai pengendalian isu berhubung penularan COVID-19 di tempat kerja, khususnya yang membabitkan perintah kuarantin, cuti sakit dan pemberhentian pekerja.

Majikan juga boleh mengambil langkah sewajarnya untuk mengelakkan pemberhentian pekerja disebabkan COVID-19 seperti disyorkan dalam tatacara keharmonian perusahaan atau Code of Conduct, iaitu mengehadkan kerja lebih masa dan mengurangkan hari bekerja dalam seminggu atau mengurangkan bilangan kerja seminggu.

Besarlah harapan saya agar semua warga pekerja dan majikan dapat terus mendokong dan menjiwai cara kerja baharu atau norma baharu pekerjaan dalam keadaan kita sedang menangani wabak COVID-19. InsyaAllah, kita pasti menang.

Akhir kata, saya ucapkan “Selamat Hari Pekerja 2020” kepada semua warga pekerja di Malaysia.
#PerintahKawalanPergerakan #KitaJagaKita #KitaMestiMenang #KitaIntuSarawak #letsfightcovidtogether

30 Apr 2020

TEKUN Nasional Kemas Kini Cara Permohonan Dalam Talian - Wan Junaidi

_Assalamualaikum WBT_

𝕾𝖆𝖑𝖆𝖒 𝕽𝖆𝖒𝖆𝖉𝖍𝖆𝖓 π•­π–šπ–†π–™ 𝖀𝖒𝖆𝖙 π•΄π–˜π–‘π–†π–’ π•―π–Ž π•Έπ–†π–‘π–†π–žπ–˜π–Žπ–†

_Saya berharap pasca Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) nanti usahawan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) dan Mikro dapat meneroka model perniagaan baharu yang sesuai dengan norma baharu (new norm) dunia._

Mereka yang masih dalam cara kovensional perlu mempertimbangkan sistem pembayaran tanpa tunai  (cashless) dan pemasaran dalam talian sebagai budaya niaga baharu. 

Usahawan runcit dan makanan juga perlu mengubah cara niaga mereka ke arah mesra teknologi dan mengurangkan interaksi bersemuka. Jika tidak secara menyeluruh pun ia harus ada sebagai pelan kontigensi andai situasi seperti ini berlaku lagi. 

Sekiranya ada usahawan yang memerlukan bantuan dan khidmat nasihat, kami di Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi sedia memberikan pandangan dan bimbingan melalui agensi-agensi yang berkaitan seperti TEKUN Nasional, SME Bank, Bank Rakyat, SMe Corp dan latihan usahawan melalui INSKEN.

_Untuk rekod, mulai  pada 16 April lalu TEKUN Nasional telah memperkemaskan cara permohonan dalam talian untuk Skim Pembiayaan Pemulihan (CBRM). Kini anda hanya hanya perlu mengisi borang di pautan  http://fas.tekun.gov.my/cbrm/ sahaja._

_SMe Corp :-_
http://www.smecorp.gov.my/index.php/en/slides/4085-daftar-dan-sahkan-status-pks-perniagaan-anda

*_FB : Dato Sri Dr Haji Wan Junaidi Bin Tuanku Jaafar_*
https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=2637062429875619&id=2140159596232574

28 Apr 2020

PKS Dan Usahawan Mikro Disaran Ubah Strategi Pemasaran, Model Perniagaan

KUCHING - Perusahaan Kecil Dan Sederhana (PKS) serta Usahawan Mikro disaran mengubah strategi pemasaran dan model perniagaan mereka sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.

Menteri Pembangunan Usahawan Dan Koperasi, Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, ini kerana kaedah konvensional sudah tidak relevan lagi digunakan untuk kelangsungan perniagaan yang dijalankan sekarang. 

'Teroka sepenuhnya perniagaan serampang dua mata seperti penggunaan teknologi digital dalam perniagaan online dan pemasaran di media sosial,' katanya menerusi catatan Facebook beliau semalam.

Ahli Parlimen Santubong itu berkata, sekiranya Usahawan tidak berubah dalam menggunakan medium digital maka adalah sukar untuk mereka menarik pelanggan masing-masing. 

' Ekonomi Digital membuka peluang luas kepada usahawan dan PKP ini memberi peluang untuk mereka mengubah strategi pemasaran dan menetap kan pelan kontigensi sekiranya keadaan menjadi lebih buruk,' katanya.

Wan Junaidi berkata justeru peluang ini perlu dimanafaatkan oleh setiap usahawan. 

' Sekiranya usahawan perlukan bantuan, Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi sedia memberikan bimbingan melalui agensi-agensi yang berkaitan, ' jelasnya.

Terdahulu, Wan Junaidi memaklumkan beliau menghadiri Mesyuarat Khas Menteri-Menteri berkaitan PKP di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya semalam
Sumber 

18 Apr 2020

PENDUDUK SARAWAK YANG LAYAK TERIMA GERAN KHAS RM1,500 BKSS

PENERIMA Geran Khas RM1,500 Bantuan Khas Sarawakku Sayang (BKSS) merupakan mereka yang terdiri daripada penjaja dan peniaga kecil yang mempunyai lesen dengan pihak berkuasa tempatan Sarawak.

Bagi mereka yang tidak mempunyai lesen / permit, sila buat pendaftaran dengan pihak berkuasa tempatan dengan menyatakan tujuan untuk mendapatkan bantuan geran khas dengan mengisi borang secara manual atau secara atas talian. 

Borang manual boleh diperolehi dari kaunter perkhidmatan di Pihak Berkuasa Tempatan yang berhampiran anda. Pendaftaran dibuka sehingga 31 Mei 2020.

Pertimbangan akan dibuat berdasarkan kriteri-kriteria yang ditetapkan oleh Pihak Berkuasa Tempatan.

Pembayaran secara kredit ke akaun Sarawak Pay kepada setiap penerima yang telah mengemukakan maklumat lengkap, memenuhi syarat- syarat yang ditetapkan dan layak dalam dua (2) fasa seperti berikut:

(a) Fasa Pertama (RM750): mulai April / Mei 2020

(b) Fasa Kedua (RM750): mulai Jun / Julai 2020

Pembayaran dilakukan melalui dua (2) kaedah berikut:

1. Kaedah 1

• Sekiranya anda mempunyai lesen perniagaan dan telah mempunyai akaun Sarawak Pay yang disahkan sebelum 15 April 2020, bayaran akan dikreditkan ke akaun Sarawak Pay mulai 23 April 2020; 

• Sekiranya anda mempunyai lesen perniagaan tetapi tidak dapat mendaftar dalam akaun Sarawak Pay atas sebab yang munasabah dan boleh diterima, bayaran tunai boleh dituntut dari mana-mana cawangan Bank Simpanan Nasional (BSN) yang berhampiran dengan mengemukakan kad pengenalan dan lesen perniagaan mulai Mei 2020; 

2. Kaedah 2

• Sekiranya anda telah mendapat permit perniagaan seperti yang ditetapkan oleh Pihak Berkuasa Tempatan dan telah mempunyai akaun Sarawak Pay yang disahkan sebelum 31 Mei 2020, bayaran akan dikreditkan ke akaun Sarawak Pay mulai Jun 2020; 

• Sekiranya anda telah mendapat permit perniagaan seperti yang ditetapkan oleh Pihak Berkuasa Tempatan tetapi tidak dapat mendaftar dalam akaun Sarawak Pay atas sebab yang munasabah dan boleh diterima, bayaran tunai boleh dituntut dari mana-mana cawangan Bank Simpanan Nasional (BSN) yang berhampiran dengan mengemukakan kad pengenalan dan permit perniagaan mulai Jun 2020.

Aplikasi Sarawak Pay boleh dimuat turun dari Google Play Store atau Apple Store ke dalam telefon pintar anda.

DISEDIAKAN OLEH UNIT KOMUNIKASI AWAM SARAWAK
17 APRIL 2020

18 Jul 2019

TIADA BUKTI BAHARU UNTUK SABIT TAIB DENGAN RASUAH


SEMALAM di Dewan Rakyat menyaksikan satu jawapan bertulis dari Menteri Di Jabatan Perdana Menteri yakni Liew Vui Keong berkenaan dengan satu pertanyaan yang diutarakan oleh Ahli Parlimen Kuching, Dr. Kelvin Yii. Di dalam soalan MP Kuching memohon Perdana Menteri untuk memberikan status adakah pihak Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia akan membuka kertas siasatan yang baru bagi menyiasat kes rasuah dan penyalahgunaan kuasa Pehin Sri Abdul Taib Mahmud dan mereka yang berkaitan dengannya. Ini kerana ada petunjuk baru yang telah diberikan oleh Bruno Manser Fund dan Sarawak Report.
Menurut Liew Vui Keong, berdasarkan kepada petunjuk baru seperti yang didakwa oleh Bruno Manser Fund dan Sarawak Report adalah sama seperti yang dahulunya dan dengan itu SPRM tidak akan membuka apa-apa kertas siasatan ke atas Pehin Sri Taib yang merupakan mantan Ketua Menteri Sarawak dan sekarang Tuan Gabenor Sarawak.
Sarawakvoice

Ketua polis sahkan video 'Semburit' adalah tulen


Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador mengesahkan video intim Haziq Abdullah Abdul Aziz yang dikaitkan dengan seorang menteri adalah tulen. 

"Jawapan yang kami terima, mereka kata tulen. Tapi mereka tak dapat sahkan seratus peratus siapa pelaku-pelaku dalam tu (video).
"Saya selaku ketua polis negara tidak boleh memandai-mandai… perkara itu menjadi subjek dalam perbicaraan sekiranya dibawa ke muka pengadilan.
"Saya harap orang ramai khususnya faham tentang kekangan tanggungjawab saya sebagai ketua polis negara," katanya dalam satu rancangan televisyen terbitan RTM, malam tadi.

17 Mei 2019

Bantuan khas RM450 kepada penjawat awam


Pejabat Perdana Menenteri semalam telah mengumumkan pemberian bantuan khas kewangan sebanyak RM450 kepada penjawat awam dari Gred 56 dan ke bawah yang berjumlah hampir 1.5 juta orang.
Pemberian itu adalah sempena persiapan sambutan Aidilfitri yang akan diraikan bulan depan.
“Bantuan khas ini juga akan dinikmati oleh pesara kerajaan sebagai menghargai jasa perkhidmatan dengan jumlah bayaran RM225.
“Pembayaran bagi bantuan khas ini akan dibuat pada 24 Mei ini,” kata kenyataan itu.
Bayaran bantuan khas kepada kakitangan awam dan pesara kerajaan ini melibatkan anggaran peruntukan kewangan sebanyak RM855 juta.
Tahun lalu, kerajaan Pakatan Harapan mengumumkan pembayaran RM400 kepada penjawat awam dari Gred 41 dan ke bawah manakala pesara pula diberi bayaran RM200.
Kerajaan BN pimpinan Najib Razak sebelum Aidilfitri 2017 pula memberi bayaran bantuan khas sebanyak RM500 kepada 1.6 juta penjawat awam.

17 Jun 2018

Najib telah menyelamatkan nyawa politik Dr. Mahathir


PADA malam 23 April 1987, kira-kira 30 tahun lalu. Satu perhimpunan telah diadakan di Hotel Hilton Kuala Lumpur. Hotel di Jalan Sultan Ismail ini antara hotel antarabangsa terawal di ibu kota, sekarang sudah hilang dari pandangan setelah ‘direbankan’ (flattened) untuk dibuat bangunan baharu, yang kini dikatakan terbengkalai.

Cukup genting pada masa itu perebutan kuasa antara dua tokoh - Dr. Mahathir Mohamad dan Tengku Razaleigh Hamzah (Ku Li).

Hilton menjadi markas jentera Mahathir, manakala Hotel Regent di Jalan Imbi menjadi markas Ku Li.Perhimpunan Agung UMNO dan pemilihan akan diadakan di PWTC keesokan harinya pada 24 April.
Perhimpunan di Hilton itu diadakan oleh Dr. Mahathir bagi mengumpul sokongan. Suasana amat terdesak. Dr. Mahathir selaku Presiden UMNO dan Perdana Menteri terasa amat terancam. Dia cukup tertekan. Dia menghadapi tentangan maha hebat untuk mempertahankan jawatan Presiden. Ku Li bukan calang-calang orang dan Dr. Mahathir merasakan dia boleh dikalahkan.

Berlaku perpecahan yang amat dahsyat dalam sejarah politik Melayu ketika itu. Satu peperangan politik umpama kisah Clash of the Titans dan David and Goliath.
Akibatnya terbentuk dua team. Team A dan Team B. Team A Mahathir bersama Tun Ghafar dan Anwar Ibrahim serta Team B Ku Li bersama Musa Hitam, Pak Lah, Datuk Manan Osman, Rais Yatim, Datuk Zainal Abidin Zain. Najib selaku Ketua Pemuda UMNO juga dikatakan menyatakan sokongan kepada Team B.

Dr. Mahathir yang terdesak membuat perancangan. Dipanggil semua penasihatnya, termasuk ADC atau Ketua Pengawal Peribadinya, Mohamad Ali (Pak Ali). Beliau perlu memikirkan dengan cepat. Masa tidak lama sebelum pengundian pagi keesokan harinya.
Hanya 11 jam sahaja yang tinggal.
“Ali pergi cari Najib cepat!” kata Dr. Mahathir kepada Pak Ali.
Pada waktu itu, di Bukit Tunku; Najib dan isterinya Rosmah sedang mengemas kediaman yang baru mereka sewa serta menyambut tetamu. Najib tidak mahu memikirkan soal UMNO atau apa yang berlaku di Hotel Hilton pada malam itu.
Sebaliknya, Dr. Mahathir amat memerlukan sokongan Najib. Masa ketika itu cukup genting.

Di kediaman ibu Najib, Tun Rahah di Jalan Eaton pada malam yang sama, kelihatan masuk deretan radio car (kereta peronda polis) dan sebuah kereta besar semacam kereta Perdana Menteri.
“Saya yang tinggal depan rumah Tun Rahah nampak kereta itu masuk. Saya pun keluar menemui Tun Rahah.
“Kelihatan body guard Dr. Mahathir tiba bersama radio car itu.”
Dr. Mahathir mengarahkan pengawal peribadinya itu mencari Najib. Najib perlu dibawa dengan kereta besar Perdana Menteri ke Hotel Hilton pada malam itu juga. Najib perlu ditunjukkan kepada perwakilan. Sokongan Najib kepada Dr. Mahathir adalah penentu.

“Saya bertanya kepada Tun Rahah apa yang perlu dilakukan. Beliau berkata, mintalah Najib pergi sebagaimana Tun Razak taat kepada Tunku dahulu.”
Itu kata-kata Datuk Idris Shaari Mat Aris yang saya andaikan sebagai bapa angkat atau guidance angel kepada anak-anak Tun Abdul Razak.
Idrislah yang mula mengasuh Najib bermula beliau pulang dari England sehingga menjadi Menteri Besar Pahang pada usia yang muda dan pengalaman yang cetek. Idris ialah Pengawal Peribadi kepada Tun Razak dan apabila Tun Razak meninggal beliau menjadi Setiausaha Sulit kepada Tun Rahah.

Saya menemui Idris kelmarin dalam satu mesyuarat di Kuala Lumpur. Sebagai seorang yang sudah berusia 70an fikiran Tok Deris, panggilan kami kepadanya, masih tajam. Cuma fizikalnya agak lemah dan memerlukan tongkat dan pembantu untuk berjalan.
Mendengarkan kata-kata Tun Rahah itu maka Idris meminta body guard Dr. Mahathir mengikutinya ke kediaman baharu Najib di Bukit Tunku.

Semasa kami tiba dengan petrol car dan kereta besar Perdana Menteri itu, Najib sedang menemui tiga orang perwakilan dari Pahang.
“Saya masuk ke dalam bilik dan berjumpa Najib. Saya kata Dr. Mahathir minta Datuk (Najib) pergi juga malam ini ke Hilton.
“Mummy (Tun Rahah) pun cakap pergilah Tok.”
Najib menjawab: Takpalah, Deris pergilah dulu.
Saya masih merasa was-was dan bertanya sekali lagi dengan Najib, adakah beliau akan pergi?
“Setelah mendapat jaminannya maka saya pun pergi. Saya bagi tahu Ali bahawa Najib akan pergi ke Hilton. Saya juga pergi ke Hilton dan saya diminta Ali berada di tepi pentas.
“Semasa saya tiba Tok Mat (Datuk Mohamed Rahmat) sedang berucap menghentam Najib,” kata Idris sambil ketawa.

Dr. Mahathir mengarahkan supaya satu kerusi di meja utama dikosongkan bagi memberi tempat kepada Najib.
“Kemudian Ali memberitahu saya Najib sudah sampai.” Kata Idris, beliau nampak Najib tiba dengan kawan lama sekolahnya di St. John’s Institution, bernama Dr. Tiagi.

Apabila Najib masuk semua hadirin bangun bertepuk tangan. Nada ucapan tiba-tiba bertukar. Dr. Mahathir amat gembira dengan kemunculan Najib itu.
Akhir sekali keesokan harinya Dr. Mahathir menang mengalahkan Ku Li dengan margin yang tipis. Dr Mahathir menang sebanyak 43 undi ke atas Ku Li, iaitu 761 berbanding 718 undi untuk jawatan Presiden UMNO.

Dr. Mahathir hampir tersungkur. Tak perlulah saya bagi details apa yang berlaku semasa pengundian itu sedang dijalankan. Mengapa tiba-tiba bunyi bising dengan lagu-lagu dan lampu tiba-tiba padam.
Akibat kemenangan Dr. Mahathir itu Team B dianggotai oleh 11 ahli UMNO (dikenali sebagai UMNO 11) membawa ke mahkamah kerana dikatakan pemilihan itu tidak sah.
Kes itu telah dibicarakan di hadapan Hakim Harun Hashim di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 4 Februari 1988.

Setelah beberapa siri perbicaraan yang mengambil masa selama tujuh bulan, Harun telah memutuskan bahawa di bawah undang-undang, beliau tiada pilihan melainkan mengisytiharkan UMNO sebagai pertubuhan yang tidak sah kerana wujudnya beberapa cawangan yang tidak didaftarkan dan dianggap tidak sah di bawah Akta Pertubuhan.

Cuma moral kisah daripada cerita Datuk Idris tadi ialah: Najib ketika itu telah memberi pengorbanan yang paling besar atas nama kesetiaan kepada Dr. Mahathir sehingga dapat beliau mentadbir negara selama 22 tahun seterusnya.

“Apakah Dr. Mahathir mengetahui mengenai kisah itu? Mahathir tidak tahu...” kata Idris.
Najib telah menyelamatkan nyawa politik Dr. Mahathir