PULAU KIDJANG bukanlah sebuah pulau. Sebaliknya, ia merupakan nama sebuah kapal yang pernah beroperasi di perairan Sarawak pada pertengahan tahun 1960~an hingga awal tahun 1970~an.
Menyingkap sejarahnya, hari ini, 27 Disember 1973 genap 42 tahun berlakunya peristiwa maritim terburuk pernah dicatitkan dalam sejarah pengangkutan air di Sarawak.
Seluruh rakyat Sarawak tidak pernah menduga pelayaran M.V.Pulau Kidjang, pada petang 26 Disember 1973 berakhir dengan tragedi menyayat hati pada kira~kira jam 4.00 pagi, 27 Disember 1973.
Tiada siapa menyangka, kapal penumpang dan kargo yang dibina pada tahun 1936 di Hong Kong, asalnya dimiliki Syarikat Perkapalan Kidjang, Tanjung Pinang, Indonesia sebelum dibeli oleh Syarikat Perkapalan Messrs Central Shipping beralamat di Main Bazaar, Kuching dari sebuah syarikat perkapalan di Singapura ini berakhir dengan tragedi memilukan dan mengorbankan banyak nyawa.
Segala~galanya bermula 42 tahun lalu, seramai 140 orang iaitu 110 penumpang dan bakinya 30 orang krew kapal terbabit dalam tragedi maritim terburuk ini. Hanya 40 orang terselamat dan 53 mayat mangsa termasuk lima mayat anak kapal berjaya ditemui.
Manakala 47 mayat penumpang dan anak kapal gagal ditemui sehingga ke hari ini. Mereka termasuk enam sekeluarga yang berasal dari Sibu, Sarawak dipercayai terperangkap di dalam badan kapal malang tersebut.
Fenomena alam semulajadi, cuaca buruk ketika musim tengkujuh dan musim angin monsun timur laut dikaitkan sebagai punca utama tenggelamnya M.V.Pulau Kidjang.
Bagaimana pun tiada laporan dikeluarkan mengenai kemungkinan cuaca buruk bagi tempoh 24 jam ketika M.V.Pulau Kidjang meninggalkan jeti K.T.S. Kuching pada 26 Disember 1973.
Kebanyakan mangsa yang terselamat terutamanya anak~anak kapal memberitahu sebelum kejadian berlaku, hujan turun dengan lebat. Angin bertiup kencang diiringi ribut kuat dan keadaan ombak besar mengakibatkan laut bergelora. Tanda awal keadaan cuaca buruk dirasai sebaik sahaja M.V.Pulau Kidjang keluar dari Muara Tebas seterusnya belayar ke Tanjung Po menuju Kuala Rajang.
"Saya muntah beberapa kali kerana mabuk laut. Isteri dan anak~anak saya yang juga mengalami mabuk laut, tidur sepanjang masa kapal belayar. Kira~kira jam 3.15 pagi (berdasarkan jam tangan) saya dapat merasakan pergerakan kapal perlahan. Ketika itu juga, air laut melimpah masuk ke dalam bahagian dek. Kerusi dan meja tercampak ke setiap sudut kapal. Saya segera mengejutkan isteri dan anak~anak saya dan mengarahkan mereka berpindah ke tempat yang lebih selamat.
Dalam keadaan kelam kabut, saya berjaya mendapatkan semula anak lelaki saya yang tercampak akibat dirempuh ombak besar. Bagaimanapun, isteri dan dua orang lagi anak saya terus dihanyutkan arus ombak. Saya memanjat ke atas kapal bersama anak lelaki saya yang berusia lima tahun dan mengoyakkan kain kanvas. Malangnya, anak saya terlepas dari pelukan dan dihanyutkan arus ombak deras," cerita seorang penumpang yang merupakan anggota polis berpangkat konstable, Kadir Gobel.
Di sebalik tragedi M.V.Pulau Kidjang yang dikaitkan dengan musim tengkujuh, sebenarnya sehingga ke hari ini tidak ramai di kalangan masyarakat Sarawak mengetahui ada faktor lain juga menjadi punca tenggelamnya M.V.Pulau Kidjang. Meneliti keterangan saksi, tidak dapat dinafikan terdapat unsur kesilapan manusia yang sedikit sebanyak penyumbang berlakunya tragedi tragis ini.
Keterangan juragan M.V.Pulau Kidjang, Awang Hashim bin Awang Hamjah dalam Laporan Marine Court of Enquiry into the Loss of M.V.Pulau Kidjang, 27 Disember 1973 mengesahkan M.V.Pulau Kidjang belayar di dalam laluan kedua~dua boya iaitu boya luar dan dalam. Sebenarnya laluan ini menuju ke arah Beting Selatan dan tidak jauh dari kawasan Wong Sands.
Jurumudi, Udin bin Hassan yang bertugas mengendalikan alat kemudi memberitahu semua arahan diberikan oleh Awang Hashim.
"Kira~kira jam dua pagi, kapal memotong masuk ke dalam boya beting tengah dan boya di sebelah kanan yang terdapat di Kuala Rajang. Saya nampak beberapa buah kapal berlabuh tidak jauh dari beting tengah. Lampu isyarat pada lampu~lampu itu berfungsi. Semasa M.V.Pulau Kidjang belayar masuk menuju ke Kuala Rajang, keadaan kapal senget ke kanan dan kiri kerana dipukul gelombang. Ketika itu, laut amat bergelora dan angin bertiup kencang dari arah belakang"
Menurut Udin lagi, kira~kira jam 3.30 pagi, juragan Awang Hashim telah mengarahkannya menukar haluan ke Utara 70 darjah Timur.
Sebenarnya pada kedudukan ini, haluan M.V.Pulau Kidjang berada antara rumah api Tanjung Jerijeh dan bikon Jerijeh Selatan dengan keadaan muara Kuala Rajang sedang bergelora. Air pasang yang sedang berlaku mengakibatkan aliran arus air laut dan sungai menghulu di kawasan muara bertambah deras.
Kapal terumbang ambing ke kiri dan kanan akibat pukulan gelombang besar dan alunan ombak yang kuat di bahagian beting. Dalam keadaan kapal terumbang~ambing, air laut semakin banyak melimpah masuk ke dalam kapal.
Dalam keadaan kelam kabut itu, usaha Udin mengemudi M.V.Pulau Kidjang menuju ke Kuala Selalang setelah diarahkan oleh Awang Hashim, ternyata tidak berjaya sebaliknya kedudukan badan kapal semakin condong ke kanan dan perlahan~lahan tenggelam di dasar muara Kuala Rajang.
Tatkala itu juga, tangisan terus memecah kesepian dinihari. Laungan meminta tolong masih lagi kedengaran. Air mata bersatu dalam alunan ombak ganas. Rasa kasihan hilang di laut. Tetapi tiada siapa peduli. Langit muara Kuala Rajang gelap. Sekali lagi sarat awan menurunkan hujan. Badai angin dan ribut terus mengganas. Laut masih bergelora saat tenggelamnya M.V.Pulau Kidjang.
Ramai juga di kalangan kita tidak mengetahui nama asal M.V.Pulau Kidjang ialah Keranji dan dimiliki oleh Syarikat Perkapalan Kidjang yang berpangkalan di Tanjung Pinang, Indonesia. Syarikat Messrs Central Shipping Sdn Bhd iaitu pemilik terakhir M.V.Pulau Kidjang membeli kapal berusia 28 tahun itu pada tahun 1964 dari Kee Lee Shipping Co.Ltd., Singapura dengan harga tiga ratus dua puluh ringgit Malaysia (nilai ringgit ketika itu). Baki bayaran kapal berjumlah lapan puluh ribu ringgit dibayar secara ansuran selama setahun bermula dari tahun 1969 hingga 1970.
M.V.Pulau Kidjang dikenali sebagai kapal jenis "tender" dan "Elliptical Stern" kerana rekabentuk bahagian buritannya yang rungkup dan terjuntai. Spekfikasi buritannya membolehkan air laut melimpah masuk ke dalam dek belakang tetapi air yang melimpah ini tidak dapat mengalir terus keluar.
Alat kemudi dan kipasnya tenggelam serentak ke dalam air membolehkan kapal jenis ini dikemudi dengan lebih efektif.
Bagaimanapun, ketika belayar mengikut arah arus air dan ombak di laut, pergerakan kapal akan perlahan. Semasa pelayaran terakhirnya, ukuran keapungan bahagian hadapan M.V.Pulau Kidjang ialah 2.13 meter dan bahagian belakang ialah 3.04 meter. Trim bahagian butirannya adalah satu meter.
Laporan Marine Court of Equiry into Loss of M.V.Pulau Kidjang~Case History No.1/76 mengesahkan M.V.Pulau Kidjang didapati tidak layak belayar semasa ia karam pada kedudukan kira~kira 2.8 batu nautika dari rumah api Tanjung Jerijeh atau kira~kira tiga batu nautika ke arah rumah api Tanjung Selalang.
Binaan pengalih udara dan tingkap magun yang terletak di sebelah dek kapal, didapati tidak dikunci dengan ketat. Keadaan ini menyebabkan pengalih udara tersebut mudah terbuka apabila dipukul ombak yang kuat.
Hasil siasatan yang dijalankan mengenai tragedi tenggelamnya M.V.Pulau Kidjang, dianggarkan sejumlah 140 orang penumpang termasuk 30 anak kapal menyertai pelayaran terakhir M.V.Pulau Kidjang.
Jumlah kargo yang dibawa melebihi 80 tan termasuk dua buah kereta yang diletakkan di ruang kosong di atas dek. Bagaimanapun, tidak diketahui di mana baki kargo yang lain disimpan.
Antara jenis kargo yang dibawa oleh M.V.Pulau Kidjang ketika itu, 33,600 botol minuman ringan, 9,400 kilogram makanan ternakan, 2,150 tin pelbagai jenis biskut dan 380 tin minyak masak. Semua kargo termasuk dua buah kenderaan tidak diketahui berapa nilai keseluruhannya.
Hari ini, setelah lebih empat dekad tenggelamnya M.V.Pulau Kidjang, mangsa yang terselamat dan waris~waris mangsa masih sukar melupakan peristiwa memilukan