Bujang Senang

Bujang Senang

21 Apr 2017

Video: TIGA PENJELAJAH KUTUB UTARA KELAB EKSPLORASI 7 BENUA (KE7B) BERJAYA TAMATKAN EKSPEDISI LEBIH AWAL



Tiga Penjelajah Negara yang melaksanakan Ekspedisi KE7B Rentas Kutub Utara 2017, berjaya menamatkan misi penjelajahan ke Titik 90 Darjah Kutub Utara jam 5.06 minit petang semalam waktu Kutub Utara atau jam 11.06 minit malam tadi waktu Malaysia.




Menurut Penasihat KE7B, Datuk Akmar Hisham Mohd Yusof, kejayaan menamatkan misi ekspedisi itu dimaklumkan oleh Ketua Penjelajah, Muhammad Muqharabbin Mokhtarrudin atau Qobin menerusi panggilan telefon satelit malam tadi.



Dua lagi penjelajah yang bersama Qobin ialah atlet dualthlon dan triathlon negara, Shahrom Abdullah dan Muhammad Irwan Yusoff Abdullah.

"Alhamdulillah syukur kepada Allah kerana negara kita sekali lagi mencatat sejarah dengan kejayaan Qobin, Shahrom dan Irwan yang berjaya bukan sahaja memahatkan nama mereka sebagai Penjelajah Kutub Utara malah mengharumkan nama Malaysia di persada antarabangsa, kerana mereka bertiga membawa nama negara dan berski di Kutub Utara bersama-sama dengan beberapa orang lagi Penjelajah dari negara lain iaitu dari Amerika Syarikat, United Kingdom dan Kanada", kata Datuk Akmar Hisham dalam satu kenyataan kepada media hari ini.



Berdasarkan perancangan, Ekspedisi KE7B Rentas Kutub Utara 2017 akan membabitkan penjelajahan berski dengan menarik beban kereta luncur salji (sledge) sejauh 111 kilometer yang memakan masa selama 11 hari bermula dari Stesen Barneo ke Titik 90 Darjah Kutub Utara.

Bagaimanapun, ketiga-tiga Penjelajah Negara itu berjaya menamatkan misi mereka  dalam tempoh enam hari sahaja iaitu 5 hari lebih awal dari jadual.

Lebih manis lagi jelas Datuk Akmar Hisham, kejayaan menamatkan penjelajahan hari ini juga merupakan hadiah cukup bermakna kepada Qobin kerana beliau menyambut hari ulang tahun kelahirannya yang ke-35  pada tarikh 20 April 2017.

Tambahnya, beliau dimaklumkan oleh Qobin yang juga Presiden KE7B, bahawa baki tiga kilometer terakhir menuju ke titik 90 darjah, penjelajahan mereka disifatkan paling mencabar kerana terpaksa berdepan dengan rekahan ais yang lebar dan menyebabkan mereka berusaha keras untuk menyeberangi rekahan tersebut.

Selain itu tambah beliau, penjelajahan mereka pada hari ketiga diganggu oleh seekor beruang kutub yang menghampiri khemah salah satu kumpulan lain dan menyebabkan mereka terpaksa berjaga setiap masa.

Qobin juga menceritakan detik cemas berkenaan halangan-halangan yang mereka tempuhi.

Antaranya terlalu banyak bongkah-bongkah ais yang pecah dan memaksa mereka berulang kali mengangkat sledge dan berdepan risiko terjatuh ke dalam air laut ais kerana ketebalan ais hanya antara 3 hingga 4 meter.

Perjalanan mereka juga menjadi lambat berikutan kawasan laluan mereka mula mencair sehingga menyebabkan ada antara bahagian ais terpisah oleh air laut sehingga 30 meter jaraknya.

Disebabkan itu mereka perlu mencari laluan alternatif sejauh kira-kira 8 batu untuk mengelakkan laut yang mula mencair untuk sampai ke garisan penamat.

Sebaik menamatkan penjelajahan itu, semua penjelajah diterbangkan dengan helikopter dari titik 90 Darjah Kutub Utara ke Stesen Barneo yang mengambil masa penerbangan selama kira-kira 35 minit.

"Saya juga dimaklumkan oleh Qobin yang mereka juga perlu segera keluar dari Stesen Barneo dengan penerbangan khas ke Longyearbyen, Norway memandangkan landasan terbang ais di stesen tersebut sudah mula retak dan cair".

Kumpulan Penjelajah Negara itu sebelum ini berlepas ke Oslo, Norway pada 4 April lepas sebelum berpangkalan di Longyearbyen, Svalbard, Norway selama seminggu bersama pasukan sokongan yang diketuai oleh Datuk Akmar Hisham dan turut disertai beberapa wakil media dari TV3 dan NSTP.




Ketiga-tiga mereka kemudiannya memulakan misi penjelajahan berski dari Stesen Barneo di Kutub Utara ke Titik 90 Darjah itu pada 14 April lalu.

"Apa yang lebih penting ialah ketiga-tiga penjelajah selamat dan berada dalam keadaan sihat sepenuhnya sepanjang misi penjelajahan tersebut walaupun berdepan dengan cabaran cuaca sejuk yang ekstrim sehingga mencecah negatif 40 darjah selsius", tegas Datuk Akmar lagi.

Sepanjang ekspedisi itu, mereka berski sambil menarik kereta luncur salji yang mengandungi barang-barang keperluan seperti peralatan khemah, bekalan makanan dan pelbagai peralatan yang dianggarkan seberat 50 kilogram.

Titik 90 Darjah Kutub Utara merupakan titik paling utara di bumi. Ia terletak pada latitud 90 darjah utara dan semua garisan longitud bertemu pada titik itu dan pada kedudukan itu, setiap arah seseorang itu menghadap adalah selatan.

Ekspedisi ke Kutub Utara itu merupakan aktiviti ekspedisi keenam KE7B selepas Ekspedisi KE7B Tujuh Puncak Tujuh Benua 2010, Ekspedisi KE7B Renangan Perpaduan Selat Inggeris 2012, Ekspedisi KE7B Felda Everest 2013, Ekspedisi KE7B Merentas Greenland 2014 dan Ekspedisi Jelajah KE7B Kutub Selatan 2015-2016.

0 komentar: