Dari kiri: Awang Ramli Amit, Bujang Suntong, Morshidi Sidek.
AL FATIHAH ..................
Pada 3 Disember 1949 salah seorang pejuang kemerdekaan Sarawak, Rosli,
telah melakukan asasinasi (bukan pembunuhan) terhadap Tuan Yang Terutama
Gabenor Sarawak, Sir Duncan Stewart di Sibu semasa Sarawak menjadi
Tanah Jajahan Great Britain. Serangan asasinasi ini adalah tindakan
berani mati yang telah dirancang oleh kumpulan Rukun 13 yang merupakan
sayap sulit Pergerakan Pemuda Melayu Sibu (PPMS) untuk menuntut
kemerdekaan Sarawak Darul Hana. Tokoh-tokoh utama Rukun 13 adalah Awang
Rambli Amit, Bujang Suntong dan Morshidi Sidek.
Selepas Perang Dunia Kedua, penjajah Brooke telah menyerahkan Sarawak
Darul Hana kepada Great Britain pada tahun 1946. Vyner Brooke telah
dibayar sebanyak $200,000 Pound Sterling sebagai habuan. Jika banyak
tanah jajahan kuasa barat di dunia diberikan kemerdekaan, sebaliknya
Sarawak pula dijadikan sebuah Tanah Jajahan Diraja (
Crown Colony) adalah satu penghinaan.
Penghinaan ini telah membangkitkan semangat kebangsaan penduduk
Melayu yang pada asalnya adalah kuasa pemerintah yang merdeka di bawah
Kesultanan Melayu Brunei atau sebagai negeri-negeri yang berdaulat.
Kemerdekaan orang Melayu dibuktikan dengan catatan sistem pemerintahan
yang terdiri daripada Datu Patinggi, Datu Temenggong, Datu Bandar, Datu
Imam dan kanun perundangan yang tersendiri.
Seperti kebanyakan tanah jajahan barat di dunia yang tidak berikan
kemerdekaan, mereka telah bangkit memerangi kuasa penjajah sehingga
titisan darah yang terakhir seperti Persekutuan Tanah Melayu, Indonesia,
Burma dan Vietnam. Ramai yang terkorban demi mengambil kembali
kemerdekaan yang hak.
Semenjak tahun 1946 penduduk warga Melayu di seluruh Sarawak telah
bangkit menentang penjajahan Great Britain. Kebangkitan kebangsaan
Melayu Sarawak pada mulanya dipimpim oleh Datu Patinggi Abang Abdillah
dan disokong oleh Persatuan Kebangsaan Melayu Sarawak (PKMS). Mereka
kemudian telah disertai oleh Barisan Pemuda Melayu Sarawak, Persatuan
Melayu Miri, Persatuan Melayu Limbang, Persatuan Melayu Simanggang dan
Pergerakan Pemuda Melayu Sibu (PPMS). Perjuangan ini telah menjadi
sebuah pergerakan nasionalisme yang mereka namakan Gerakan Anti-Serahan.
Pemimpin PPMS yang memainkan peranan penting adalah Awang Rambli yang
memegang jawatan Setiausaha Kehormat. Beliau adalah seorang pegawai
kastam ( dan ayah kepada bintang filem Dayang Sofea) yang mengerakkan
Anti-Serahan di Bahagian Sibu. Setelah menentang penjajah Great Britain
selama tiga tahun, Gerakan Anti-Serahan telah menjadi lemah dan tidak
lagi mendapat sambutan yang jitu.
Oleh yang demikian Awang Rambli telah menubuhkan sayap sulit, Rukun
13 di dalam PPMS. Rukun 13 ini dianggotai oleh Awang Ramli, Bujang
Suntong, Morshidi Sidek dan Rosli Dhoby. Mereka telah mendapat maklumat
bahawa gabenor penjajah, Sir Duncan Stewat akan membuat lawatan rasmi ke
Sibu pada 3 Disember 1949.
Rosli telah dipilih untuk melakukan asasinasi berani mati dengan bantuan
Morshidi Sidek yang berlakon sebagai jurugambar untuk melalaikan
gabenor dan pihak polis. Beliau adalah seorang guru dan Penolong
Setiausaha dan Pengistihar PPMS yang mempunyai darah keturunan Melayu
Sambas. Pada satu detik yang sempurna Morshidi telah berlakon mengambil
gambar sang gabenor yang terpaksa berhenti. Ketika jam menunjukkan pukul
9:30 pagi, pada saat itulah Rosli meluru ke arah sang gabenor lalu
membenamkan sebilah badik ke perutnya.
Sesungguhnya seorang anak muda bernama Rosli telah rela berkorban jiwa
dan raganya kerana anggota polis jelas mengiringi sang gabenor. Mereka
telah menangkap Rosli sejurus hajat perjuangannya tercapai. Sang gabenor
telah cedera parah dan terus diterbangkan ke Kuching dan kemudian ke
Singapura. Beliau telah meninggal dunia seminggu kemudian.
Seluruh dunia gempar. Bagaimana di sebuah tanah jajahan terpencil
seorang gabenor kulit putih kuasa besar dunia tewas ditangan penyerang
berani mati. Rosli dan sahabatnya dibicarakan dengan tipu-muslihat dan
dengan zalim menjatuhkan hukuman mati. Rosli telah kembali ke
rahmatullah pada 2 Mac 1950.
Dalam surat beliau yang terakhir bertarikh 1 Mac 1950, Rosli antara
lain tetap teguh berpegang kepada Islam dan perjuangan menuntut
kemerdekaan Sarawak Darul Hana. Beliau menulis:“SELIMUTILAH JENAZAH
ANAKANDA DENGAN PANJI KEBANGSAAN SARAWAK.”
Sumber:SanibSaid