Mata Pena Lebih tajam Dari Pedang

Menyampaikan sesuatu isu hendaklah berlandaskan kebenaran. Kalau isu tidak benar maka itu adalah fitnah yang nyata.

Membaca Buku adalah Jambatan Ilmu

Beruntunglah sesiapa yang suka membaca dan mengamalkan ilmu2 yang ada di dalam buku yang dibaca."Tidak membaca buku bermakna tidak bertambahlah ilmu dan pengetahuan" .

Perdana Menteri Malaysia

Mungkin wujud republik Malaysia, Kerajaan Islamiyah Malaysia Perdana Menteri TEORI RAHMAN pusingan ...

Majalah Berita Bujang Senang Bukan Bola Sepak

Kami ingin menghiburkan anda dengan info terkini yang boleh merangsangkan minda anda. Kalau anda terasa sabar sajalah

Perkongsian minda yang baik

Percambahan minda yang baik akan merangsang pemikiran supaya lebih kreatif maka fikir-fikirkan lah apa yang kami sampaikan

Bujang Senang

Bujang Senang

17 Jan 2018

Kajian Politweet Kuatkan Ramalan, Pembangkang Akan Kalah Pada PRU14

Kajian dari Politweet pada 11 Januari 2017, mengesahkan lagi kajian kajian sebelum ini bahawa Barisan Nasional akan terus menang dan mentadbir Putrajaya. Jadi tidak perlulah pembangkang hendak bercita cita hendak jadi PM sementara, itu akan tinggal angan angan semata mata.

Dalam kajian Politweet yang terbaru itu, didapati 45% pengundi menyokong Barisan Nasional, manakala PPBM dan PAN akan kalah teruk pada PRU14.

Ini bukan kali pertama Politweet membuat kajian yang memihak kepada BN. Pada Julai 2017, Politweet menyatakan 51.6% atau 3.3 juta pengguna Facebook berumur 21 tahun adalah peminat eksklusif kepada BN berbanding hanya 9.4% atau 600,000 yang dikenalpasti sebagai peminat eksklusif Pakatan Pembangkang manakala 39.1% atau 2.5 juta meminati kedua-duanya.

Sebelum ini lagi, banyak kajian yang meramalkan Barisan Nasional akan terus menang pada PRU14. The Economist Intelligence Unit pada awal Januari 2017 juga menyatakan perpecahan dalam pembangkang memberi kelebihan kepada BN untuk menang pada PRU14.

14 Ogos 2016, South China Morning Post yang berpangkalan di Hong Kong juga menyatakan Najib umpama “bank yang terlalu besar” dan sukar untuk gagal. Biarpun dilanda badai serangan Mahathir dari segenap penjuru, Najib masih tetap utuh berdiri.

Pada 24 Mac 2017, Prof Dr Jomo Kwame Sundaram, pemegang kursi Tun Hussein Onn di Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa (ISIS) turut meramalkan BN akan terus menang dan Datuk Seri Najib akan kekal sebagai PM.

Pada 17 April 2017, Prof Hoo Kee Ping, penganalisis politik dari Singapura juga meramalkan keputusan PRU14 akan memihak BN kerana pertandingan tiga penjuru dan kelembapan ekonomi dunia yang akan membuatkan pengundi Cina memilih BN untuk kestabilan ekonomi.

Malah kajian Invoke oleh Rafizi Ramli pada 6 Februari hingga 23 Mei 2017, menunjukkan 31% responden memilih Datuk Seri Najib sebagai PM. Peratusan tertinggi berbanding semua pemimpin pembangkang yang lain.

Pada penghujung tahun 2017, The Economist Intelligent Unit sekali membuat ramalan Datuk Seri Najib akan memimpin Barisan Nasional mencapai kemenangan dalam pilihanraya umum yang akan datang. Menurut The Economist, biarpun mendapat cabaran sengit daripada pakatan pembangkang, namun kemenangan Barisan Nasional dalam pilihan raya akan datang adalah sudah pasti.

Ramalan firma firma penyelidikan luar negara tentang pertumbuhan ekonomi negara dan kedudukan ringgit ternyata tepat. Hari ini, pertumbuhan ekonomi negara adalah antara yang terbaik di dunia dan ringgit semakin mengukuh kepada RM3.95 berbanding dollar.

Dalam kajian yang dibuat oleh Politweet itu, mereka mendapati parti PPBM adalah yang paling teruk bakal menerima kekalahan nanti. Dalam analisis Politweet yang dibuat berdasarkan keputusan PRU13 pada 2013, DAP dikatakan akan menang paling banyak iaitu 31 kerusi, hanya kalah 4 kerusi sahaja, PAN diramalkan dapat 18 kerusi  manakala PPBM diramalkan menang 6 sahaja. 

Kalau tengok pada trend pada PRU13, DAP menang 31 kerusi daripada 36 kerusi. Kemenangan DAP pada ketika itu ialah 86.1 peratus, hanya kalah 5 kerusi. Analisis Politweet menunjukkan PPBM mungkin menang 6 sahaja dari 52 kerusi yang mereka bertanding dengan peratusan 11.5 peratus sahaja.

Di atas kertas, PAN diramal dapat 18 dan PPBM dapat 6 kerusi. Itu jumlah yang terlalu banyak. Sebenarnya di peringkat bawah, hendak dapat 18 kerusi dan 6 kerusi itu pun belum tentu bagi PAN dan PPBM. Silap silap, PAN dapat 2 kerusi  dan PPBM dapat 2 kerusi sahaja. Faktor calon PAS belum diambil kira oleh Politweet.
 
Dengan parti PAN tidak puas hati dengan pembahagian kerusi di beberapa buah negeri ini membuatkan lagi peluang pembangkang untuk menang sukar kerana mungkin disabotaj penyokong sendiri. PAN di Wilayah Persekutuan tidak berpuas hati kerana tidak mendapat sebarang kerusi untuk bertanding pada PRU14 selepas kerusi Titiwangsa diberikan kepada PPBM.

PAN Johor bengang kerana hanya dapat dua kerusi di Pulai dan Parit Sulong sedangkan mereka mahu bertanding di kerusi Simpang Renggam. Penyokong PAN di Perak juga tidak berpuas hati apabila mendapat empat kerusi sahaja iaitu di Parit, Bukit Gantang, Parit Buntar dan Lumut.

Jika ramalan kemenangan itu berlaku, Politweet meramalkan PH hanya boleh mendapat 83 kerusi sahaja dan tetap gagal membentuk kerajaan di peringkat Persekutuan. Bermaksud Barisan Nasional akan menubuhkan kerajaan dengan 139 kerusi parlimen, ramal Politweet.

Ramalan Politweet ini akan membuatkan pembangkang semakin gelabah untuk berebut kerusi yang selamat dan boleh menang untuk mereka. Azmin Ali sendiri pun sudah hendak lari dari Gombak, begitu juga Nurul Izzah mahu lari dari Lembah Pantai, begitu juga dengan Kit Siang mahu lari ke Alor Setar. Bila jadi ahli parlimen dan tidak beri khidmat pada rakyat, siapa lagi yang mahu percaya dengan pembangkang.

Pembangkang hanya mahu jawatan semata mata. Sesudah dapat jawatan, mereka lari dari kawasan dan sibuk berpolitik 24 jam. Ini sebab utama kenapa rakyat tolak mereka. Berbeza dengan Barisan Nasional yang terus fokus menjaga dan memberi khidmat terbaik kepada rakyat. Kajian Politweet ini menguatkan lagi hujah bahawa pembangkang akan kalah teruk pada PRU14 nanti.

 
Tulisan :
Beruang Biru
BB742, Rabu
17 Januari 2018

16 Jan 2018

Pelajar maut ditimpa kerusi 'dari langit'

Seorang pelajar lelaki berusia lingkungan 14 tahun meninggal dunia setelah ditimpa kerusi pejabat yang dibuang dari tingkat atas Projek Perumahan Rakyat (PPR) Seri Pantai, Pantai Dalam di sini malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 8.15 malam itu, mangsa dikatakan sedang melalui bawah blok perumahan berkenaan sebelum sebuah kerusi pejabat tiba-tiba jatuh dan menimpa mangsa.

Mangsa meninggal dunia serta merta di tempat kejadian akibat kecederaan teruk dibahagian kepala.

Salah seorang penduduk, Halim Mohd Kassim,47,berkata, ketika kejadian, dia berada di tempat letak kereta blok sama sebelum terdengar bunyi dentuman yang kuat.

"Saya fikir perkara biasa sebab memang selalu orang buang-buang barang dari atas. Tapi tak lama lepas tu saya mula dengar bunyi jeritan dan ramai orang mula berlari mencari.

"Saya lihat mangsa sudah terbaring kaku dengan keadaan kepala sudah pecah,"katanya.

15 Jan 2018

Ringgit Kukuh Kerana Pentadbiran Najib Bukannya Kerana Pencalonan Mahathir

Sejak 2015, bertalu talu Mahathir, Kit Siang, Tony Pua dan Rafizi asyik menyatakan bahawa negara Malaysia ini hendak muflis dan gagal. Mereka kata ringgit lemah dan ekonomi merosot.

Tiba tiba semalam, bila dakwaan itu semua meleset dan menjadi mengarut, boleh pula pembangkang cakap kedudukan ringgit yang semakin kukuh adalah kerena pencalonan Mahathir sebagai PM.

Pembangkang kata pencalonan Mahathir sebagai calon Perdana Menteri adalah punca ringgit mencecah RM3.96 berbanding AS$1 Dolar Amerika Syarikat (AS).

Dakwaan ini yang dibuat "blogger di luar kotak" ini adalah ke laut sama sekali. Hakikatnya, Mahathir dan pembangkang lah yang jadi punca nilai ringgit menyusut sejak dua tahun lepas.

Mereka yang memburukkan ekonomi negara dengan membuat kenyataan negatif tentang apa sahaja pelaburan yang masuk ke Malaysia. Membuat kenyataan negatif memburukkan pemimpin negara menggunakan media media asing.

Menurut Bank Negara Malaysia (BNM) pada 21 Disember 2017, Mata wang ringgit mengukuh 10.1 peratus sepanjang tahun 2017 dan ia diniagakan antara RM4.05 hingga RM4.09 berbanding Dolar AS pada Disember hasil langkah pemulihan dilaksanakan BNM dan Jawatankuasa Pasaran Kewangan (FMC) sejak Disember 2016.

Blogger Outsyedthebox, menyatakan bahawa pencalonan Mahathir yang pernah jadi Perdana Menteri selama 22 tahun itu yang menyebabkan nilai ringgit bertambah baik, saham di Bursa Kuala Lumpur melonjak dan aspek pertumbuhan ekonomi negara bertambah elok.

Nilai mata wang negara bukan baru mula mengukuh selepas pencalonan Mahathir, sebaliknya sudah mula pulih sejak kira-kira bulan Jun tahun lepas. Awal Januari 2017, nilai RM pernah jatuh ke paras RM4.50 berbanding AS$1 Dolar AS.

Hasil dari langkah yang diperkenalkan BNM nilai mata wang berjaya distabilkan. Antaranya ialah pengeksport hanya boleh memegang 25 peratus daripada jumlah hasil eksport dalam bentuk mata wang asing serta menggalakkan kegiatan lindung nilai dalam pasaran tempatan.

Hasilnya dana asing mula dilihat memasuki pasaran tempatan. Kemasukan dana asing bagi pasaran saham sudah pun mencatatkan RM10.5 bilion bagi tempoh Januari sehingga Mei 2017.

Malah selepas Perhimpunan Agung UMNO 2017, ringgit sudah mula menunjukkan pengukuhan. Baca tulisan ini :

https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=1701221343231669&id=697192853634528

Pada 8 April 2017, Ketua Setiausaha Negara (KSN) Tan Sri Dr Ali Hamsa berkata ada pihak tidak bertanggungjawab cuba memecah-belahkan hubungan rakyat dan turut membuat pelbagai tuduhan dan penipuan seperti melabelkan negara jadi bankrap.

"Kalau bankrap tak adalah negara lain akan datang melawat kita, tak ada institusi mengiktiraf Malaysia sebagai negara nombor satu untuk pelaburan," katanya ketika berucap pada majlis 'Ekspresi Negaraku' peringkat negeri di Sungai Petani pada April tahun lepas.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sendiri beberapa hari selepas itu pada 26 April 2016, berasa amat kesan dengan tindakan segelintir pihak yang meracuni, menghasut dan mempengaruhi fikiran rakyat dengan cara memburukkan negara serta cuba menjatuhkan pemimpin secara tidak demokratik.

Beliau berkata apa yang dinikmati negara hari ini adalah hasil perjuangan dan kegigihan kerajaan sejak berdekad-dekad lepas hinggalah ke era Dasar Transformasi Nasional.

"Berkaitan perkara ini juga, terlebih kita berasa sedih dan sayang seribu kali sayang, yang turut terheret dalam kancah ini, adalah bekas-bekas para pemimpin dan negarawan.

"Tidak cukup dengan itu, hingga mereka sanggup memperlekeh negara sendiri dan meminta campur tangan kuasa asing. Sedangkan satu masa ketika dahulu, orang itulah yang menyebut biar Malaysia ini ditentukan rupa dan bentuknya dengan acuan kita sendiri," kata Najib ketika berucap melancarkan Laporan Tahunan Program Transformasi Negara (NTP) 2015.

Apa Mahathir kisah pasal ekonomi Malaysia? Pada 9 Mei 2017, dalam program The Third Duqm Society and Economy Forum di Oman, Mahathir yang burukkan Malaysia dengan dengan menyatakan Malaysia bukan destinasi pelancongan yang menarik.

Selepas kata begitu, sekarang Mahathir pula hendak jadi hero dengan mengaku bahawa nilai ringgit mengukuh dek kerana pencalonannya. Betapa mudah pembangkang menidakkan apa yang dilakukan oleh kerajaan Barisan Nasional dalam membangunkan ekonomi negara.

Pembangkang yang burukkan ekonomi negara, apabila ekonomi pulih, pembangkang pula yang hendak kata kerana mereka ekonomi pulih dan matawang negara kembali meningkat nilainya. Ini semua propaganda basi dan murahan. Rakyat tidak akan jadi terlalu bodoh untuk percaya dakyah ini.

Hasil pentadbiran Najib dan kerajaan, Ringgit Malaysia sudah jadi antara mata wang terbaik di serantau ini dan kini ia menunjukkan pengukuhan yang kuat. Mahathir dan kawan-kawan hanya tahu berebut jawatan sahaja. Ekonomi negara Najib yang jaga bukan geng geng pembangkang yang gila kuasa.

Tulisan :
Beruang Biru
BB738, Isnin
15 Januari 2018

Beza Antara Orang Bersyukur & Pembangkang Yang Taksub

Di Kampung Bukit Lanchong, Shah Alam tinggal dua orang OKU, suami dan isteri. Menyara hidup mereka dengan "trimming getah", 20,000-30,000 getah, dapatlah RM200 sebulan.

Isteri berusia 53 tahun, suami 60 tahun. "Anak saya OKU, saya berjalan pakai kaki palsu". Namun dengan adanya Bantuan Rakyat 1Malaysia, BR1M, ianya dapat meringankan beban keluarga OKU ini.

"Alhamdulillah, sejak BR1M mula diadakan, untuk kamilah, kami rasa ringan sangat" ujar isteri keluarga OKU ini. Lihatlah sendiri bagaimana tabahnya keluarga ini.

Jangan sebak dan menangis bila tengok video ini ;
https://youtu.be/NncR0dZpZA0

Ada rakyat Malaysia yang ada kaki, ada tangan dan ada akal fikiran tetapi tidak pernah bersyukur dengan nikmat bantuan yang diberi. Asyik hendak mengecam dan memaki hamun sahaja pada tangan yang memberikan bantuan.

Apa boleh buat puak pembangkang sudah terlalu taksub. Hingga sanggup pertikai ibadah umrah Datuk Seri Najib & keluarga. Kerana taksub mereka tidak nampak apa apa lagi kebaikan yang diberi Barisan Nasional.

Keluarga OKU ini adalah salah satu dari lebih sejuta orang yang menerima manfaat BR1M di Selangor.

Malulah sama dengan keluarga OKU ini, tengok bagaimana mereka mensyukuri nikmat yang diberi pada mereka. Jangan jadi taksub macam penyokong pembangkang.

9 Jan 2018

Bukan 35 Kerusi Sahaja, DAP Yang Tanding Paling Banyak

Sebagai sebuah parti yang berangan untuk menguasai negara, nampaknya Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) kini dibuai mimpi-mimpi indah, apatah lagi ia berjaya mendapat 52 kerusi Parlimen dalam pengagihan kerusi oleh Pakatan Harapan pada pilihan raya umum ke-14 (PRU-14) nanti.

PPBM tentunya berasa bangga kerana ia mendapat pengagihan kerusi paling banyak di Semenanjung berbanding PKR (51), DAP (35) dan Parti Amanah Negara (PAN) sebanyak 27 kerusi.

Daripada 35 kerusi yang akan ditandingi oleh DAP itu, 31 daripada kerusi itu adalah kerusi yang telah sedia dimenangi oleh DAP pada PRU-13 lepas.

Berbanding dengan PPBM, ini adalah kali pertama ia bertanding pada PRU dan untuk kerusi Parlimen, seorang sahaja ahlinya yang menjadi penyandang kerusi Parlimen iaitu Muhyiddin Yassin di Pagoh. Itupun kemenangan Muhyiddin adalah atas tiket Barisan Nasional.

Namun pada PRU-14, adalah sukar untuk Muhyiddin mempertahankan kerusinya dan sejak tahun lepas telah bersebar spekulasi bahawa beliau akan berpindah ke kawasan Muar, untuk bertanding di situ.

Namun ketika PPBM sedang asyik diulit mimpi, pengagihan kerusi itu hanya untuk ditandingi di Semenanjung sahaja belum masuk Sabah dan Sarawak.

Hakikatnya pada PRU-14 nanti, DAP masih sebenarnya menjadi dominan dalam Pakatan Harapan (PH) meskipun pengerusi PPBM, Mahathir Mohamad diumumkan sebagai calon Perdana Menteri, iaitu calon kitar semula.

Kalau dikira betul-betul, ramai yang tidak sedar tentang strategi DAP ini. Ada 222 kerusi Parlimen dan setakat ini, pengumuman yang dibuat oleh PH itu baru melibatkan 165 kerusi. Ada baki 57 kerusi iaitu di Sabah dan Sarawak.

Persoalannya parti mana yang akan bertanding di Sabah dan Sarawak itu? Seperti yang dinyatakan oleh penganalisis politik, Dr Kamarul Zaman Yusoff, perkara penting yang perlu diingati adalah PPBM telah mengumumkan bahawa ia tidak akan meletakkan sebarang calon di di Sabah dan Sarawak di pada PRU 14.

Justeru ia menjadikan bilangan kerusi yang akan ditandingi oleh PPBM di seluruh Malaysia pada pilihan raya umum kelak adalah kekal 52.

``Sebaliknya, penasihat DAP, Lim Kit Siang, telah mengisytiharkan bahawa DAP akan menggandakan bilangan kerusi Parlimen (dan kerusi Dewan Undangan Negeri) yang akan ditandinginya di dalam PRU-14 di Sabah, bermakna bilangan kerusi yang akan ditandingi oleh DAP di Sabah di dalam PRU 14 ini ialah 8.

``Pada PRU-13 lalu juga, DAP telah meletakkan 11 calon di Sarawak. Pada pilihan raya negeri Sarawak lalu, Kit Siang juga telah mengisytiharkan strategi untuk memastikan DAP Sarawak menguasai kerajaan negeri pada 2021.

``Bagi tujuan itu, ia menjadikan kemungkinan untuk DAP bertanding lebih banyak kerusi Parlimen di Sarawak pada PRU- 14 itu ada,” katanya.

Walaupun pembahagian kerusi itu nampak seperti direstui oleh semua parti dalam gabungan berkenaan namun ada pemimpin PAN yang seolah-olah tidak bersetuju.

Jika tidak, masalah Timbalan Presiden PAN, Salahuddin Ayub yang disiarkan oleh Sinar Harian hari ini mencadangkan platform Pakatan Harapan digunakan untuk berbincang mengenai pembahagian kerusi susulan wujud ketidakpuasan hati beberapa kumpulan dan individu dalam PAN mengenainya.

``Rundingan mengenai pengagihan kerusi ini kita bincang dari semua aspek seperti faktor kemenangan, kekuatan parti, sokongan pengundi dan kekuatan jentera. Semua ini kita adunkan dan kita bincang dalam menentukan kerusi,'' kata Salahuddin.

Disebabkan pembahagian kerusi berkenaan juga maka PAN Johor dilaporkan memboikot Konvensyen Pakatan Harapan 2018, kerana parti itu hanya mendapat dua kerusi di Johor.

Realitinya, Pakatan Harapan umpama air di tasik, di permukaannya nampak tenang namun di dalamnya, penuh bergelora. Perasaan tidak puas hati terus membayanginya, daripada pemilihan nama calon Perdana Menteri hinggalah kepada pengagihan kerusi.

Tulisan :
Beruang Biru
BB731, Selasa
9 Januari 2018

Undi Barisan Nasional Untuk Kestabilan Negara & Kemakmuran Negara

Dalam Akujanji Kerajaan Barisan Nasional, melalui 17 inisiatif dan 156 inisiatif strategik, setakat ini sahaja, kepimpinan Datuk Sri Najib Razak telah berjaya mencapai 97.6 peratus pelaksanaannya.

Malah tahun 2018 ini kestabilan ekonomi negara makin mengukuh. Tahun 2018 telah dimulakan dengan penuh positif. Nilai ringgit mengukuh, BR1M dan GST yang dilaksana Malaysia telah ditiru oleh India, Arab Saudi dan negara negara Arab yang lain.

Pelaksaan Bajet 2018 telah mula dirasai rakyat. Penjawat mendapat bonus dan dihargai. Bukannya macam pembangkang, yang mahu membuang 700,000 orang penjawat awam di Putrajaya.

Beruang Biru sudah menulis tentang cadangan pembangkang hendak membuang penjawat awam ini. Baca pautan ini ;

https://beruangbiru1.blogspot.my/2017/10/pembangkang-mahu-buang-700000-penjawat.html?m=1

Kerajaan akan jadi tidak stabil jika terlalu ramai yang dibuang hanya kerana motif politik. Malah sudah tentu ramai ahli ahli DAP yang mahu mengisi kekosongan yang ada di Putrajaya ini.

Berbeza dengan Barisan Nasional, biarpun diserang bertubi tubi oleh pembangkang, tetapi kerajaan BN terus fokus kerja untuk rakyat.

Hakikatnya, 2017 adalah tahun yang banyak membawa pencapaian kepada Malaysia. Ekonomi Malaysia melangkaui segala jangkaan, iaitu pada 6.2 peratus untuk suku ketiga tahun 2017, berbanding pertumbuhan 4.3 peratus pada suku ketiga tahun sebelumnya.

Bank Dunia juga turut menyemak semula anggarannya untuk pertumbuhan Malaysia bukan sekali, bukan dua kali, tetapi tiga kali – 4.9 peratus kepada 5.8 peratus.

Zon Perdagangan Bebas Digital (DFTZ) pertama di Malaysia yang memberi manfaat kepada lebih 2,000 Perusahaan Kecil dan Sederhana yang bakal mendapat akses lebih mudah ke pasaran global, terutamanya pasaran China melalui DFTZ.

Pada bulan Februari lalu, Saudi Aramco mengumumkan pelaburan AS$7 bilion di Kompleks Bersepadu Penapisan Minyak dan Petrokimia (RAPID) di Johor, yang menjadikan ianya pelaburan hiliran terbesar Aramco di luar Arab Saudi.

Manakala laluan MRT pertama negara jajaran Sungai Buloh-Kajang telah mencipta 130,000 pekerjaan baharu, yang mana 70,000 daripadanya adalah pekerjaan langsung.

Begitu jugalah dengan Projek Infra-Rakyat seperti, East Coast Rail Link di Pantai Timur, dan High Speed Rail yang merentasi Johor, Melaka, Negeri Sembilan dan Putrajaya/Kuala Lumpur/Selangor, yang bakal dibina. Di Sabah dan Sarawak pula, projek Lebuhraya Pan Borneo sedang rancak dijayakan.

Semua ini baru permulaan kata Perdana Menteri. Ini membawa makna bahawa beliau akan memberi lebih banyak lagi pulangan besar buat rakyat dan negara kita di masa hadapan.

Jika hampir 9 tahun berkuasa sudah bermacam-macam nikmat mula dikecapi rakyat, bayangkanlah jika Najib terus diberi mandat untuk penggal yang akan datang.

Semua ini tidak mustahil akan dinikmati oleh kita semua. Yang penting asasnya iaitu rakyat perlu memberi kepercayaan melalui undi kepada Barisan Nasional.

Bukan macam orang itu yang sudah 22 tahun berkuasa, masih lagi hendak berkuasa lagi. Masa berkuasa dulu tidak mahu pula mansuh tol. Masa tidak ada kuasa, bermacam macam mahu dijanji pada rakyat.

Orang kalau hendak buat sesuatu masa dia berkuasa, bukan masa tidak ada kuasa.

Undi pembangkang akan menjadikan negara ini kelam kabut. Sebaik sahaja menang pembangkang akan berebut jawatan PM dan semua menteri kabinet yang ada.

Kemudian mereka akan buang 700,000 kakitangan awam dan mereka akan berebut pula jawatan penting di semua kementerian. Negara akan jadi tidak stabil.

Pembangkang yang diketuai DAP hanya fikir masa depan anak anak mereka dan kroni mereka sendiri. Mereka berjuang bermati matian untuk itu.

Undi PPBM, PAN atau PKR akan menguatkan lagi DAP. Kit Siang yang menjadi "top dog" sebenar pembangkang. Memainkan peranan di belakang tabir, bukannya Mahathir.

Ketika ini, Datuk Seri Najib dalam rangka lawatan kerja ke Arab Saudi dan menunaikan umrah. Moga Allah SWT makbulkan doa Datuk Seri Najib di hadapan Kaabah.

Rakyat Malaysia juga berdoa moga Datuk Seri Najib mendapat umrah yang makbullah. Moga Allah SWT terus merahmati dan memberi kekuatan pada Datuk Seri Najib.

Undi pembangkang akan jadikan negara ini haru biru. Sudah pasti akan ada empat jawatan utama dalam kerajaan jika pembangkang memerintah.

Kit Siang akan jadi Menteri Mentor Kerajaan, Anwar Ibrahim akan dilantik sebagai Ketua Umum Kerajaan, Mahathir jadi Perdana Menteri dan Wan Azizah jadi TPM. Kelam kabut negara dibuatnya.

Undilah Barisan Nasional jika kita mahu negara yang stabil dan makmur.

Tulisan :
Beruang Biru
BB730, Selasa
9 Januari 2018

Sah Qobin Penjelajah Grand Slam ke-60

Kami baru sahaja menerima berita mengenai senarai rasmi terkini Penjelajah Grand Slam yang dikeluarkan oleh The Explorer Club pada hari ini.
Tak sangka Mugharabbin atau Qobin tersenarai di nombor 44 untuk Grand Slam (Last Degree) dan ini bermakna secara keseluruhannya beliau menjadi warga dunia yang ke-60 berjaya bergelar Penjelajah Grand Slam.
Senarai ini jauh mengatasi sasaran kami iaitu di nombor 70 sebelum ini berikutan Qobin perlu bersaing dengan ramai penjelajah dari negara lain yang cuba melengkapkan misi masing-masing sebelum akhir tahun lalu.
Ini bermakna Qobin telah berjaya melengkapkan ekspedisinya lebih awal berbanding penjelajah lain yang turut memburu gelaran yang sama.
Seperti yang saya maklumkan sebelum ini, ada penjelajah yang gagal menyempurnakan ekspedisi terakhir masing-masing untuk melengkapkan kesemua 9 ekspedisi wajib yang mesti dilakukan sebelum boleh bergelar Penjelajah Grand Slam.
9 ekspedisi wajib itu ialah menawan 7 puncak gunung tertinggi di 7 benua dan menakluk Kutub Utara serta Kutub Selatan.
Ada antara mereka masih gagal menyempurnakan penjelajahan di kutub dan ada yang gagal sampai ke puncak gunung terakhir yang biasanya kerana faktor cuaca buruk selain keadaan kesihatan penjelajah itu sendiri.
Syabas Qobin. Nama anda telah tercatat secara rasmi hari ini sebagai penjelajah bertaraf dunia.
Satu lakaran baru sejarah Malaysia tercipta kini dalam bidang penjelajahan.

#NegarakuMalaysia

7 Jan 2018

Mahathir & Anwar Tidak Akan Jadi Berjaya Jadi Perdana Menteri

Semakin dekat dengan PRU14, semakin kuatlah perebutan kuasa berlaku dalam pakatan pembangkang. Masing masing sudah berebut kawasan, berebut hendak jadi calon dan berebut hendak jawatan kalau kalau berjaya menawan Putrajaya.

Baru berangan, tetapi sikap rakus, tamak dan gila kuasa sudah terserlah dan kelihatan sesama pemimpin pembangkang. Belum pun bubar parlimen lagi sudah berperangai begitu. Semasa PRU14 nanti, entahlah macam mana pula.

Cerita berebut jawatan Perdana Menteri dalam pembangkang ini sudah lama. Sudah masuk bertahun tahun lamanya. 12 November 2016, PAN minta namakan segera calon PM sebelum Anwar bebas. 15 Disember 2016, Nurul Izzah kata kena buat mesyuarat khas pilih calon PM.

16 Disember 2016, Kit Siang kata Mat Sabu setuju pilih Wan Azizah bakal PM dan Muhyiddin sebagai TPM. 20 Disember 2016, Saifuddin Abdullah sanggah kenyataan Kit Siang. Saifuddin kata Pakatan Harapan tidak bersetuju lantik Muhyiddin sebagai TPM.

21 Disember 2016, Rafizi marah semua orang, minta henti mainkan isu siapa hendak jadi PM. Rafizi kata Anwar marah dari penjara. 22 Disember 2016, Mahathir pula cadang Muhyiddin sebagai PM. Tidak ada siapa yang sokong cadangan Mahathir.

Anthony Loke selepas itu kata, DAP pernah cadang Anwar jadi PM. Kemudian,  Zaid Ibrahim pula pada 9 Mei 2017 cadang Mahathir jadi PM. Sehari selepas itu, Azmin tidak setuju Mahathir jadi PM sekali lagi.

21 Mei 2017, dalam Kongres Nasional Tahunan Keadilan Ke-12 di Dewan Raja Muda Musa, Seksyen 7, Shah Alam, Selangor, semua pemimpin pembangkang angkat plakad bertulis “Anwar PM ke 7”. Hanya Mahathir seorang tidak angkat plakad tersebut.

Sehari sebelum itu, Nik Nazmi menyatakan bahawa Wan Azizah adalah calon paling layak untuk jadi PM sementara. Drama siapa jadi PM dalam pembangkang ini berterusan lagi bila Salahuddin Ayub pula buat kenyataan pada 24 Mei 2017, menyatakan Mat Sabu juga layak jadi PM.

Selepas Kongres itu, biarpun nama Anwar sudah ditulis dan diumum namun Mahathir yang tidak angkat plakad masih menyimpan hati hendak jadi PM. Bulan Disember ini, tiba tiba Biro Politik PKR, bersetuju pula dengan syarat untuk menjadikan Mahathir sebagai PM sementara.

Hanya 8 hari sahaja bertahan, kemudian bila geng geng pembangkang ini berjumpa dan bermesyuarat semalam, PKR tidak setuju pula Mahathir menjadi PM sementara. Masa sidang media semalam, Mahathir kata nama calon PM pembangkang akan diumum masa Kongres Pakatan Harapan pada hari Sabtu ini.

Berapa kali mahu umum? Semasa Kongres PKR tahun lepas, semua angkat dan umum nama Anwar Ibrahim, kemudian masa Kongres PH pada hari Sabtu ini hendak umum nama siapa lagi? Agaknya Mahathir seorang sahaja yang angkat plakad, yang lain tidak akan angkat pula nanti.

Itulah kronologi dan kisah pergaduhan jawatan Perdana Menteri dalam pakatan pembangkang. Sudah bertahun tahun dan tidak pernah selesai.  Pada PRU14 ini, baik Anwar atau Mahathir, kedua duanya akan kempunan menjadi Perdana Menteri. Lihat sahaja prestasi ekonomi dan keadaan politik semasa di Malaysia sekarang ini.

Cuaca poliitknya amat buruk buat pakatan pembangkang. Di Selangor, Khalid Samad sudah balun Azmin Ali kerana mahu rampas kerusinya di Shah Alam. PAS pula tetap akan pertahankan semua kerusi DUN mereka di Selangor.

Anak Nik Aziz dan anak Hadi Awang dijangka ditawarkan oleh PAS untuk jadi pemimpin baru di Selangor. Jika itu berlaku, PKR dan PAN akan kalah besar dalam pilihanraya umum nanti. Pengaruh Nik Abduh dan Khalil Abdul Hadi adalah besar di kalangan anak muda yang pro pembangkang.

Begitu juga di Kelantan, PKR dan PAN akan gigit jari lagi kerana kelancangan mulut Mahathir menggelarkan mufti dan Hadi Awang sebagai kafir membangkitkan kemarahan besar rakyat Kelantan. Husam Musa tidak akan mampu membaiki kerosakan teruk yang dibuat Mahathir ini.

Dengan PAS, PKR dan PAN sudah kalah. Dengan Barisan Nasional juga PH akan kalah. Lihatlah bagaimana keadaan ekonomi sekarang. Ringgit makin mengukuh, hampir cecah dibawah RM4.00 berbanding dollar Amerika Syarikat. Semalam, kedudukan ringgit adalah RM4.0050 berbanding dollar, yang tertinggi sejak Mac 2016.

Semua serangan yang dibuat terhadap ekonomi negara kononnya negara ini hendak bankrup dan negara sudah tergadai kerana pelaburan dari luar negara adalah tidak benar sama sekali. Semalam, Pascal Lamy, Ketua Pengarah Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) menyatakan Malaysia mampu capai negara berpendapatan tinggi menjelang 2020 berdasarkan pertumbuhan KDNK yang positif dan prestasi ekonomi yang baik.

Rizab antarabangsa Bank Negara berjumlah USD$102.2 bilion (setakat 15 Disember 2017). Kadar kemiskinan di Malaysia adalah yang paling rendah di Asia Tenggara (3.8 peratus). Ini tanda dan bukti negara diurus dengan baik oleh Datuk Seri Najib Tun Razak dan Barisan Nasional. Sehinggakan model ekonomi Malaysia ini mahu dicontohi oleh negara negara luar seperti India, Arab Saudi dan negara negara Arab lain.

Projek MRT1 Sungai Buloh-Kajang sudah siap. Projek MRT2 Sungai Buloh-Serdang-Putrajaya sedang diibina. Datang pula projek MRT3 sepanjang 40km (30 km di bawah tanah) merentasi 26 stesen sekitar Kuala Lumpur akan dibina dan siap pada Disember 2025. Semua ini diusahakan oleh kerajaan Barisan Nasional yang dipimpin oleh Perdana Menterinya yang bernama Datuk Seri Najib.

Projek untuk rakyat siap awal dan jimat lagi kos berbillion ringgit. BR1M terus dinikmati rakyat. Subsidi jemaah haji ditambah berjuta ringgit biarpun Arab Saudi kenakan VAT. Barisan Nasional lebih fokus bantu rakyat, bukan berebut jawatan macam pembangkang.

Sebagai rakyat yang rasional, Barisan Nasional adalah pilihan terbaik di kertas undi untuk negara Malaysia yang lebih baik lagi. Anwar atau Mahathir bukanlah pilihan terbaik untuk rakyat Malaysia. Mereka berdua sudah pernah menjadi orang nombor satu dan nombor dua, masa mereka sudah berlalu.

Malaysia tidak boleh dikembalikan semula ke masa silam. Malaysia harus bergerak ke masa depan dan untuk generasi akan datang. Bukan untuk generasi lepas, kroni dan anak sendiri pemimpin yang terdahulu. Oleh itu, berebutlah macam mana pun, akhirnya tidak ada sesiapa pun dari pembangkang yang akan jadi Perdana Menteri. Cita cita peribadi Anwar atau Mahathir tidak akan berjaya.

Tulisan :
Beruang Biru
BB727, Jumaat
5 Januari 2018

#KE7B Kutub Selatan, Pemimpin Negara Pencetus Semangat Qabin

SEPANG, 6 Jan (Bernama) -- Keluarga dan pemimpin negara merupakan pencetus semangat bagi penjelajah negara, Muhammad Muqharabbin Mokhtarrudin atau Qobin cekal meneruskan misi penjelajahan ke Titik 90 Darjah Kutub Selatan walaupun berdepan pelbagai cabaran, termasuk kemungkinan mengalami reput fros.

Selain menarik beban seberat 50 kilogram, Qobin, 36, terpaksa mengharungi cuaca sejuk melampau sehingga negatif 26 darjah Celsius dan kemungkinan mengalami reput fros pada dua jari tangan kirinya dalam misi penjelajahan sejauh 111 kilometer (km) itu.

Beliau mengakui  misi kali ini amat sukar apabila melihat sendiri beberapa penjelajah daripada kumpulan lain yang terpaksa diselamatkan dan menamatkan penjelajahan berski mereka.

“Keluarga dan pemimpin negara adalah pencetus semangat saya untuk meneruskan misi penjelajahan kali ini. Saya hanya hamba Allah dan rakyat Malaysia yang kecil. Bagi saya, saya mahu menyumbang kepada negara.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak kerana sentiasa memberi  sokongan kepada saya dan juga anak-anak muda lain untuk terus melakar kejayaan menjadi ikon belia,” katanya kepada pemberita selepas tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini hari ini.

Sebelum itu,  Qobin yang tiba di KLIA menerima sambutan pahlawan dan dipakaikan  tanjak dan busana Melayu oleh lebih 100 penyokong Kelab Eksplorasi 7 Benua (KE7B).

Qobin menempa nama sebagai penjelajah Grand Slam pertama Malaysia selepas menamatkan misi ke Titik 90 Darjah Kutub Selatan pada 4.05 petang waktu tempatan (11.05 pagi waktu Malaysia) pada 28 Dis lepas, bersama-sama enam penjelajah pelbagai negara serta seorang jurupandu.

Beliau mencipta sejarah rakyat Malaysia pertama dan umat Islam ketiga serta termuda di dunia selain 70 manusia dan penjelajah terawal yang mendapat pengiktirafan itu.

Qobin mengambil masa 13 tahun untuk mendapat pengiktirafan sebagai Penjelajah Grand Slam apabila seseorang itu menamatkan siri pendakian di tujuh puncak tertinggi di tujuh benua di dunia, selain penjelajahan ke Kutub Utara dan Kutub Selatan.

“Saya akan terus aktif dalam aktiviti sukan lasak melalui KE7B untuk terus melahirkan ikon sukan lasak baharu,” katanya.

Qobin  berkata kecederaan pada jarinya dijangka sembuh sepenuhnya dalam masa sebulan setengah. 

Sementara itu, Penasihat KE7B Datuk Akmar Hisham Mohd Yusof berkata KE7B akan menganjurkan pameran memaparkan kejayaan anak-anak muda Malaysia kelab berkenaan.

“Saya sudah mengadakan perbincangan dengan Muzium Negara dan pameran itu dijangka diadakan pada Ogos tahun ini. Saya berharap pameran itu memberi motivasi kepada anak-anak muda untuk terus melakar kejayaan,” katanya.

-- BERNAMA

5 Jan 2018

VAT Arab Saudi : Kos Haji Kekal, Kerajaan Terus Tambah Subsidi Buat Jemaah Haji

Mulai 1 Januari 2018, kerajaan Arab Saudi telah memperkenalkan cukai Cukai Nilai Tambah (VAT) dan mengikut logiknya ia akan meningkatkan kos bagi mereka yang akan mengerjakan haji di tanah suci pada tahun ini.

Namun mujurlah kerajaan memahami kesukaran yang akan dialami oleh rakyat Malaysia, maka langkah yang diambil adalah dengan menambahkan bantuan subsidi kepada jemaah haji, supaya kesan pelaksanaan VAT tidak akan dirasai mereka.

Malah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak memberi jaminan bahawa kerajaan akan sentiasa menjaga kebajikan dan urusan bakal tetamu Allah.

Mungkin rakyat di negara ini memandang ringan mengenai kos haji ini namun tahukah mereka, kos bayaran haji bagi jemaah muassasah kali pertama sebenarnya adalah RM22,450 namun selepas kerajaan memberikan subsidi, kosnya hanyalah RM9,980.

Manakala subsidi keseluruhan yang akan ditanggung oleh kerajaan selepas pelaksanaan VAT oleh Arab Saudi akan meningkat kepada RM400 juta untuk tahun ini, iaitu peningkatan kira-kira RM140 juta daripada tahun-tahun sebelum ini.

Sementara itu, subsidi keseluruhan yang kerajaan tanggung sejak 2009 bagi jemaah haji adalah RM1 bilion.

Melihat kepada jumlah tersebut, siapa sangka selama ini kerajaan menanggung kos subsidi yang begitu besar untuk jemaah haji.

Namun kerajaan tidak berhasrat untuk membuang subsidi berkenaan kerana prihatin dengan rakyat Malaysia. Bayangkan jika subsidi itu dibuang, rakyat Malaysia perlu membayar lebih RM20,000 untuk ke tanah suci dan pastinya ramai yang tiada peluang untuk ke sana.

Bagaimanapun di sebalik kebaikan yang dilakukan, masih ramai yang menutup mata dan enggan mengakuinya sebaliknya terus mencari silap Tabung Haji. Macam-macam perkara dilakukan untuk memburukkan Tabung Haji termasuk fitnah daripada Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli.

Tetapi Tabung Haji tidak berdiam diri sebaliknya membalas balik dengan mengambil tindakan undang-undang ke atas Rafizi kerana menyiarkan tohmahan. Kes itu kini sedang dibicarakan.

Begitu juga ketika pelaksanaan Sistem Pemantauan Manasik Bersepadu (Imams) bagi menangani unsur penipuan dalam tawaran pakej umrah. Sistem itu menjadi kontroversi disebabkan bayaran RM90. Namun selepas 24 jam dilaksanakan, kerajaan memutuskan untuk membatalkannya.

Malangnya selepas Imams dibatalkan, masih ada suara sumbang yang memburukkan kerajaan. Macam-macam tuduhan liar dibuat tetapi apabila kerajaan memutuskan untuk mengekalkan subsidi jemaah haji tahun ini, meskipun dihimpit dengan kenaikan kos akibat pelaksanaan VAT, pembangkang membisu.

Yang kes RM90 bising, yang kerajaan tanggung bagi subsidi sampai RM1000 juta ini tidak pula hendak bising dan terima kasih?

Ini kerana mereka tahu dan akui (dalam diam-diam) bahawa kerajaan tidak memandang ringan dan akan mencari jalan terbaik bagi memudahkan umat Islam menunaikannya.

Ibadah adalah isu sensitif justeru sudah tentu kerajaan tidak akan membiarkan umat Islam di negara ini terbeban.

Tetapi jika rakyat Malaysia masih terpedaya lagi dengan pembohongan pembangkang meskipun bukti sudah terbentang luas, maka terpulanglah kepada mereka. Jangan ingat apa yang dinikmati sekarang akan terus kekal jika Pakatan Harapan memerintah.

Penjawat awam akan kena buang sampai sejuta orang, duit MARA, duit PNB, duit KWSP dan duit Tabung Haji entah lesap ke mana kalau DAP yang memerintah.

Sekarang pun Pakatan Harapan sudah kelam kabut, bagaimana mereka ini boleh dipertanggungjawabkan untuk memerintah negara. Nak pilih calon Perdana Menteri pun sudah berapa kali mesyuarat diadakan, itu pun masih belum bertemu jawapan.

Jadi senang cerita, lebih baik tolak Pakatan Harapan daripada mereka terus memusnahkan negara. Demi anak cucu dan masa depan, kena terus mengundi Barisan Nasional.

Tulisan :
Beruang Biru
BB728, Jumaat
5 Januari 2018