Bujang Senang

Bujang Senang

24 Jul 2012

Pembangkang Meroyan Slogan Hari Kemerdekaan Ke 55 Tahun


Kenapa Pembangkang Meroyan Dengan Tema Hari Kemerdekaan?Slogannya mudah, “Janji DiTepati” tetapi cukup untuk membuatkan Pakatan Rakyat meroyan. Kebanyakan blog dan laman-laman sosial pembangkang telah tanpa segan silunya, meluahkan rasa resah gelisah dengan slogan ini. Marah benar mereka dengannya.Tidak semena-mena, slogan yang jujur dan ikhlas ini dikatakan mereka berunsur politik.

Tidak dapat difahami, di manakah politiknya dalam menepati janji? Sedangkan, yang politiknya ialah apabila kita menabur janji bulan, bintang dan matahari yang mustahil untuk ditepati.Malang bagi pembangkang apabila slogan ‘Janji DiTepati’ yang digunakan sebagai iklan bagi mempromosi bantuan-bantuan yang diberikan kerajaan kini dipilih sebagai Tema Hari Kebangsaan pula.Maka, dua kali meroyanlah pembangkang.Sakit benar pembangkang apabila ditampar oleh slogan ini. 

Maklumlah, mereka belum mampu menepati satu pun janji-janji mereka. Lihat saja Kampung Buah Pala, Pulau Pinang di mana PR berjanji akan menyelesaikan masalah mereka dalam masa 2 minggu sahaja tetapi akhirnya, kampung itu yang lenyap begitu saja.Dan siapa yang boleh lupa akan Janji 16 September? Atau janji hudud di Terengganu sebaik ayam berkokok jika PAS memerintah pada PRU1999?.Ada juga janji ‘syurga akhirat’ tetapi hasilnya ialah ‘syurga dunia’ iaitu rumah-rumah urut, pusat karaoke, pusat judi dan hiburan malam yang tumbuh bagai cendawan di semua negeri yang diperintah mereka.

Sungguhpun begitu, pembangkang tidak serik untuk berjanji. Sehingga hari ini, pembangkang terus-terusan menabur janji, pendidikan percumalah, harga minyak turunlah, penghapusan tol dan berbagai-bagai lagi janji yang tak masuk akal.Sedangkan, setelah 3 tahun memerintah di beberapa negeri, pembangkang masih gagal memenuhi manifesto mereka termasuk yang mudah-mudah. Malah dalam beberapa janji ‘bulan-bintang’ yang dibuat, hasilnya ialah ‘racun-tuba’. 

Contohnya, tariff air di Kedah dan bekalan air di Selangor.Walaupun dibentangkan logik matematik untuk menangkis janji tidak masuk akal mereka, pembangkang tetap tegar mengulangi janji yang sama. Kerana apa? Kerana itu saja yang mereka mampu lakukan iaitu ‘berjanji’ dan bukan ‘menepati janji’.Dengan mengambil sikap meroyan sebegini, jelaslah bahawa pembangkang cukup sedar akan ketidakmampuan mereka memenuhi janji. Kerana itu, pembangkang benar-benar fobia dengan ayat ‘janji ditepati’ ini.Hakikatnya, ‘janji ditepati’ adalah slogan kerajaan, bukan UMNO dan bukan BN. 

Ia merupakan satu kenyataan terhadap komitmen kerajaan untuk berkhidmat kepada rakyat. Dan komitmen ini telah membuahkan hasil di mana rakyat dapat menikmatinya. Seharusnya semua rakyat meraikan tema ini dan bukannya fobia dengannya.Tidak wajar kita mengaitkan segala-galanya dengan politik sepertimana yang cuba diterapkan oleh pembangkang. Jika kita melihat dunia secara jujur, kita pasti memahami bahawa tiada salahnya dengan slogan yang membawa kebenaran. Lainlah jika slogannya bertulis ‘janji ditepati’ tetapi yang berlaku adalah sebaliknya.

Tetapi, hari ini, kita menerima segala-galanya yang dijanjikan oleh kerajaan, maka kenapakah kita perlu mempertikaikan tema yang benar tersebut?Pembangkang boleh menuduh tema yang jujur itu sebagai politik, tetapi apa yang penting di sini adalah kejujuran itu sendiri yang mana pembangkang tidak memilikinya. Kerana itulah mereka meroyan dan menggelupur bagai cacing kepanasan dengan tema Hari Kebangsaan tahun ini.

0 komentar: