Mata Pena Lebih tajam Dari Pedang

Menyampaikan sesuatu isu hendaklah berlandaskan kebenaran. Kalau isu tidak benar maka itu adalah fitnah yang nyata.

Membaca Buku adalah Jambatan Ilmu

Beruntunglah sesiapa yang suka membaca dan mengamalkan ilmu2 yang ada di dalam buku yang dibaca."Tidak membaca buku bermakna tidak bertambahlah ilmu dan pengetahuan" .

Perdana Menteri Malaysia

Mungkin wujud republik Malaysia, Kerajaan Islamiyah Malaysia Perdana Menteri TEORI RAHMAN pusingan ...

Majalah Berita Bujang Senang Bukan Bola Sepak

Kami ingin menghiburkan anda dengan info terkini yang boleh merangsangkan minda anda. Kalau anda terasa sabar sajalah

Perkongsian minda yang baik

Percambahan minda yang baik akan merangsang pemikiran supaya lebih kreatif maka fikir-fikirkan lah apa yang kami sampaikan

Bujang Senang

Bujang Senang

17 Jun 2018

Najib telah menyelamatkan nyawa politik Dr. Mahathir


PADA malam 23 April 1987, kira-kira 30 tahun lalu. Satu perhimpunan telah diadakan di Hotel Hilton Kuala Lumpur. Hotel di Jalan Sultan Ismail ini antara hotel antarabangsa terawal di ibu kota, sekarang sudah hilang dari pandangan setelah ‘direbankan’ (flattened) untuk dibuat bangunan baharu, yang kini dikatakan terbengkalai.

Cukup genting pada masa itu perebutan kuasa antara dua tokoh - Dr. Mahathir Mohamad dan Tengku Razaleigh Hamzah (Ku Li).

Hilton menjadi markas jentera Mahathir, manakala Hotel Regent di Jalan Imbi menjadi markas Ku Li.Perhimpunan Agung UMNO dan pemilihan akan diadakan di PWTC keesokan harinya pada 24 April.
Perhimpunan di Hilton itu diadakan oleh Dr. Mahathir bagi mengumpul sokongan. Suasana amat terdesak. Dr. Mahathir selaku Presiden UMNO dan Perdana Menteri terasa amat terancam. Dia cukup tertekan. Dia menghadapi tentangan maha hebat untuk mempertahankan jawatan Presiden. Ku Li bukan calang-calang orang dan Dr. Mahathir merasakan dia boleh dikalahkan.

Berlaku perpecahan yang amat dahsyat dalam sejarah politik Melayu ketika itu. Satu peperangan politik umpama kisah Clash of the Titans dan David and Goliath.
Akibatnya terbentuk dua team. Team A dan Team B. Team A Mahathir bersama Tun Ghafar dan Anwar Ibrahim serta Team B Ku Li bersama Musa Hitam, Pak Lah, Datuk Manan Osman, Rais Yatim, Datuk Zainal Abidin Zain. Najib selaku Ketua Pemuda UMNO juga dikatakan menyatakan sokongan kepada Team B.

Dr. Mahathir yang terdesak membuat perancangan. Dipanggil semua penasihatnya, termasuk ADC atau Ketua Pengawal Peribadinya, Mohamad Ali (Pak Ali). Beliau perlu memikirkan dengan cepat. Masa tidak lama sebelum pengundian pagi keesokan harinya.
Hanya 11 jam sahaja yang tinggal.
“Ali pergi cari Najib cepat!” kata Dr. Mahathir kepada Pak Ali.
Pada waktu itu, di Bukit Tunku; Najib dan isterinya Rosmah sedang mengemas kediaman yang baru mereka sewa serta menyambut tetamu. Najib tidak mahu memikirkan soal UMNO atau apa yang berlaku di Hotel Hilton pada malam itu.
Sebaliknya, Dr. Mahathir amat memerlukan sokongan Najib. Masa ketika itu cukup genting.

Di kediaman ibu Najib, Tun Rahah di Jalan Eaton pada malam yang sama, kelihatan masuk deretan radio car (kereta peronda polis) dan sebuah kereta besar semacam kereta Perdana Menteri.
“Saya yang tinggal depan rumah Tun Rahah nampak kereta itu masuk. Saya pun keluar menemui Tun Rahah.
“Kelihatan body guard Dr. Mahathir tiba bersama radio car itu.”
Dr. Mahathir mengarahkan pengawal peribadinya itu mencari Najib. Najib perlu dibawa dengan kereta besar Perdana Menteri ke Hotel Hilton pada malam itu juga. Najib perlu ditunjukkan kepada perwakilan. Sokongan Najib kepada Dr. Mahathir adalah penentu.

“Saya bertanya kepada Tun Rahah apa yang perlu dilakukan. Beliau berkata, mintalah Najib pergi sebagaimana Tun Razak taat kepada Tunku dahulu.”
Itu kata-kata Datuk Idris Shaari Mat Aris yang saya andaikan sebagai bapa angkat atau guidance angel kepada anak-anak Tun Abdul Razak.
Idrislah yang mula mengasuh Najib bermula beliau pulang dari England sehingga menjadi Menteri Besar Pahang pada usia yang muda dan pengalaman yang cetek. Idris ialah Pengawal Peribadi kepada Tun Razak dan apabila Tun Razak meninggal beliau menjadi Setiausaha Sulit kepada Tun Rahah.

Saya menemui Idris kelmarin dalam satu mesyuarat di Kuala Lumpur. Sebagai seorang yang sudah berusia 70an fikiran Tok Deris, panggilan kami kepadanya, masih tajam. Cuma fizikalnya agak lemah dan memerlukan tongkat dan pembantu untuk berjalan.
Mendengarkan kata-kata Tun Rahah itu maka Idris meminta body guard Dr. Mahathir mengikutinya ke kediaman baharu Najib di Bukit Tunku.

Semasa kami tiba dengan petrol car dan kereta besar Perdana Menteri itu, Najib sedang menemui tiga orang perwakilan dari Pahang.
“Saya masuk ke dalam bilik dan berjumpa Najib. Saya kata Dr. Mahathir minta Datuk (Najib) pergi juga malam ini ke Hilton.
“Mummy (Tun Rahah) pun cakap pergilah Tok.”
Najib menjawab: Takpalah, Deris pergilah dulu.
Saya masih merasa was-was dan bertanya sekali lagi dengan Najib, adakah beliau akan pergi?
“Setelah mendapat jaminannya maka saya pun pergi. Saya bagi tahu Ali bahawa Najib akan pergi ke Hilton. Saya juga pergi ke Hilton dan saya diminta Ali berada di tepi pentas.
“Semasa saya tiba Tok Mat (Datuk Mohamed Rahmat) sedang berucap menghentam Najib,” kata Idris sambil ketawa.

Dr. Mahathir mengarahkan supaya satu kerusi di meja utama dikosongkan bagi memberi tempat kepada Najib.
“Kemudian Ali memberitahu saya Najib sudah sampai.” Kata Idris, beliau nampak Najib tiba dengan kawan lama sekolahnya di St. John’s Institution, bernama Dr. Tiagi.

Apabila Najib masuk semua hadirin bangun bertepuk tangan. Nada ucapan tiba-tiba bertukar. Dr. Mahathir amat gembira dengan kemunculan Najib itu.
Akhir sekali keesokan harinya Dr. Mahathir menang mengalahkan Ku Li dengan margin yang tipis. Dr Mahathir menang sebanyak 43 undi ke atas Ku Li, iaitu 761 berbanding 718 undi untuk jawatan Presiden UMNO.

Dr. Mahathir hampir tersungkur. Tak perlulah saya bagi details apa yang berlaku semasa pengundian itu sedang dijalankan. Mengapa tiba-tiba bunyi bising dengan lagu-lagu dan lampu tiba-tiba padam.
Akibat kemenangan Dr. Mahathir itu Team B dianggotai oleh 11 ahli UMNO (dikenali sebagai UMNO 11) membawa ke mahkamah kerana dikatakan pemilihan itu tidak sah.
Kes itu telah dibicarakan di hadapan Hakim Harun Hashim di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 4 Februari 1988.

Setelah beberapa siri perbicaraan yang mengambil masa selama tujuh bulan, Harun telah memutuskan bahawa di bawah undang-undang, beliau tiada pilihan melainkan mengisytiharkan UMNO sebagai pertubuhan yang tidak sah kerana wujudnya beberapa cawangan yang tidak didaftarkan dan dianggap tidak sah di bawah Akta Pertubuhan.

Cuma moral kisah daripada cerita Datuk Idris tadi ialah: Najib ketika itu telah memberi pengorbanan yang paling besar atas nama kesetiaan kepada Dr. Mahathir sehingga dapat beliau mentadbir negara selama 22 tahun seterusnya.

“Apakah Dr. Mahathir mengetahui mengenai kisah itu? Mahathir tidak tahu...” kata Idris.
Najib telah menyelamatkan nyawa politik Dr. Mahathir

12 Jun 2018

BN Sarawak Bentuk Pakatan Baru GPS

BN Sarawak hari ini secara rasmi terbubar selepas semua parti komponennya mengumumkan keluar dari gabungan terbabit dan membentuk pakatan baru dikenali sebagai "Gabungan Parti Sarawak" (GPS).

Semasa mengumumkan langkah itu Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Openg berkata keputusan tersebut dibuat sebulat suara oleh parti terbabit.

"Parti-parti komponen iaiitu PBB, SUPP, PRS, PDP mengadakan pertemuan dan membuat keputusan sebulat suara untuk meningalkan BN dan membentuk gaungan baru dengan parti tempatan, dikenali sebagai Parti Gabungan Sarawak," katanya.

Empat parti utama yang terlibat itu ialah Parti Pesaka Bumiputera Bersatu Sarawak (PBB), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Demokratik Progresi (PDP).

Abang Johari berkata keputusan tersebut diambil selepas semua parti membuat pertimbangan teliti serta mengambil kira keadaan semasa politik selepas berlangsungnya pililhan raya umum (PRU) ke-14 lalu.

"GPS akan bekerjasama dengan kerajaan pusat untuk kepentingan negara serta Sarawak berdasarkan kepada perlembagaan persekutuan dan persekutuan Malaysia.

"Kami percaya ini adalah masa paling sesuai untuk Sarawak memulakan platform baru politik bagi menghadapi cabaran sesuai dengan perubahan, aspirasi, keperluan dan tuntutan rakyat Sarawak," katanya semasa mengadakan sidang media itu di Kuching sebentar tadi.

Menurut Abang Johari, keputusan berkenaan berkuat kuasa serta-merta.

Sarawak mempunyai 29 kerusi parlimen. Pada PRU ke-14 lalu PBB memenangi 13 kerusi, diikuti PRS tiga kerusi dan satu SUPP. Di pihak Pakatan Harapan (HARAPAN) pula, DAP menguasai enam kerusi menakala PKR empat. Dua kerusi lagi dimenangi calon bebas.

Sarawak tidak mengadakan pilihan raya umum negeri kerana ia sudah diadakan pada 7 Mei tahun lalu. Untuk rekod Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak mempunyai 82 kerusi.

Kata Abang Johari dengan langkah menubuhkan GPS itu kerajaan negeri yakin mereka dapat memberikan lebih perhatian kepada isu-isu berkaitan kepentingan serta hak Sarawak berdasarkan Perjanjian Malaysia 1963.

Menurutnya penubuhan GPS itu tidak bermakna mereka akan menyertai HARAPAN sebaliknya kekal dengan pakatan sendiri dan pada masa sama menjalin kerjasama dengan Putrajaya.

"Kami adalah blok tersendiri," katanya.

7 Jun 2018

Aidilfitri Tahun Ini Paling Suram Sekali


Keadaan di Putrajaya bagaikan dilanggar garuda. Semua orang nampak monyok dan tiada berdaya. Buffet di hotel hotel tiada sambutan. Di Bazar sepi, di Alamanda sepi, di mana mana pun macam tidak berseri lagi. Apa sudah jadi?
Hari Raya Aidilfitri tahun ini, pekerja kakitangan kerajaan adalah yang paling terasa suram menyambut ketibaan 1 Syawal kerana banyak berita buruk yang diterima mereka pada tahun ini selepas kemenangan Pakatan Harapan (PH) pada PRU14 yang lepas.
Hari ini genap 27 hari pentadbiran kerajaan PH, masih ada lagi 73 hari lagi untuk janji 100 hari. Nampaknya awal awal lagi PH sudah angkat bendera putih dan mengaku tidak mahu tunai janji. PH gagal menandingi BN yang berjaya laksanakan 99.6% janji dalam penggal yang lepas.
Selepas sembilan tahun, ini kali pertama penjawat awam tidak menerima bayaran bantuan khas kewangan dari kerajaan sebanyak RM500 seperti kebiasaan tetapi hanya diberi RM400 oleh kerajaan PH. CUEPECS sudah mula pertikaikan, kenapa dipotong RM100, sedangkan jumlah RM500 itu sudah diluluskan dalam parlimen.
Untuk penjawat awam yang dalam gred atas dari 41, mereka tidak dapat apa-apa bayaran bantuan khas kewangan pada tahun ini, kecuali RM1,000 yang sudah dibayar oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) di bawah bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Lebih malang kakitangan kontrak, PSH dan imam imam tidak mendapat langsung nikmat bonus hari raya tahun ini. Ketua ketua kampung lagi lah, tiada lagi gaji untuk mereka menyambut Syawal ini.
Persiapan menyambut Hari Raya oleh mereka yang mendapat bonus kurang pasti berbeza daripada tahun sebelumnya kerana keputusan mengejutkan kerajaan pakatan PH.
BR1M yang diganti dengan BASAH, Bantuan Sara Hidup juga mungkin tidak akan dapat lagi. Semalam PH sudah umumkan BASAH akan dikaji semula. Apa boleh buat, tidak merasa lah lagi duit BR1M menjelang Hari Raya ini.
Kalau undi BN, sudah tentu sudah masuk BR1M sejumlah RM800 sepertimana yang dijanjikan dalam manifesto BN.
Banyak boleh dibuat dengan RM800 dan RM100 yang dipotong dalam bonus. Dengan jumlah RM900 dan tol percuma selama 5 hari, macam macam benda yang boleh dinikmati oleh 7 juta penerima BR1M.
Duit raya boleh dimasuk lebih dalam sampul, baju raya anak boleh dibeli, ketupat rendang mak dikampung boleh dibeli dan macam macam juadah boleh dibeli. Tetapi kali ini rakyat Malaysia kena betul betul ikat perut, hilang nikmat RM900 itu begitu sahaja. Lesap dengan alasan hutang negara yang kononnya banyak.
Suasana suram juga turut terasa dalam kalangan peneroka FELDA yang tidak mendapat sebarang durian runtuh duit raya dari kerajaan. Ia adalah sesuatu yang amat berbeza daripada sebelum ini apabila Najib sentiasa mengumumkan duit raya untuk semua keluarga peneroka.
Hari Raya tahun lepas, Najib mengumumkan FELDA mengumumkan pembayaran insentif Hari Raya sebanyak RM47.28 juta dengan kadar RM500 bagi setiap keluarga peneroka.
Sekarang ini tidak ada lagi duit raya. Pada 3 Jun lepas, 100,000 orang peneroka menuntut dari kerajaan PH supaya meneruskan pemberian duit raya kepada peneroka untuk meringankan beban mereka untuk membuat persiapan menyambut Hari Raya. Kerajaan PH diam sahaja.
Bukan sahaja FELDA, mereka yang bernaung di bawah FELCRA dan RISDA juga tidak ada mendapat apa-apa yang istimewa untuk Hari Raya pada tahun ini.
Selepas raya, penjawat awam kena ikat perut lagi selama 48 hari kerana gaji seterusnya akan masuk pada 25 Julai 2018. Kalau lah ada RM900 itu banyaklah juga membantu. BASAH yang gantikan BR1M pun dah tiada lagi.
Pada tahun ini, perkarangan Kompleks Seri Perdana di Putrajaya kini juga suram apabila tidak ada lagi majlis berbuka puasa bersama anak-anak yatim dan pelajar pusat tahfiz diadakan seperti kebiasaan ketika Najib menjadi Perdana Menteri.
Tiada lagi bungkusan kurma diagih, tiada lagi sampul raya untuk anak anak yatim. Kerajaan PH lebih sibuk kutip derma kononnya untuk selamatkan negara. Sibuk main persepsi tiap hari, rakyat depan mata yang perlu dibantu dialpakan.
Politik kerajaan PH penuh dendam dan kebencian. Kenapa rakyat yang perlu jadi mangsanya? Sudahlah balas dendam pada rakyat, institusi raja pun hendak dicabar mereka. Apa sebenarnya yang kerajaan PH hendak sebenarnya?
Tulisan :
Pekerja Kontrak Yang Kena Buang

6 Jun 2018

Anwar Lagi Berkuasa Dari Mahathir?


Nampak macam itu sekarang, biar pun tiada dalam kabinet tetapi kuasa Anwar itu nampak. Anwar nampak bawa watak baik, runding dan jumpa orang berbanding Mahathir yang kini bawa watak dendam dan antagonis.

Isu pelantikan Peguam Negara telah selesai. Tommy Thomas telah dipersetujui untuk dilantik ke jawatan berkenaan bagi menggantikan Tan Sri Apandi Ali. Itu pun setuju lantik selepas Anwar yang pujuk, bukannya Mahathir.

Namun terdapat banyak persoalan yang tercetus apatah lagi selepas ketua umum PKR, Anwar Ibrahim dilaporkan menghadap Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad berkenaan isu pelantikan Peguam Negara.

Ramai yang mempersoalkan kenapa Anwar yang tidak mempunyai apa apa jawatan dalam kerajaan bertemu Yang di-Pertuan Agong, bukannya Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad? Masih ada kesipuan lagikah?

Boleh dikatakan sana sini orang membincangkan perkara ini, bukan setakat di kedai kopi malah turut dibahaskan dalam media sosial hinggakan timbul pertanyaan adakah Anwar yang lebih berkuasa dari Mahathir?

Walaupun ada penyokong Pakatan Harapan yang tidak mempertikaikan kredibiliti Anwar, namun pada masa yang sama mereka tertanya-tanya apakah yang berlaku ketika ini?

Tidak kurang pula yang menganggap ia sebagai sesuatu yang `suspense’.

Isu pemilihan Peguam Negara bagi menggantikan Apandi ini telah menjadi kontroversi sebelum ini apabila beberapa pihak dilaporkan menolak Tommy daripada diangkat ke jawatan terbabit.

Ini kerana pemilihan Tommy sebagai calon Peguam Negara sebelum ini dikatakan boleh menimbulkan konflik kepentingan kerana beliau pernah menjadi peguam kerajaan negeri Pulau Pinang di bawah pentadbiran Lim Guan Eng selain mewakili Menteri Kewangan itu dalam kes skandal banglo.

Itu antara sebab kenapa ramai yang menolak Tommy. Bagaimanapun episod pelantikan Peguam Negara ini dilihat menyerlahkan lagi pengaruh Anwar Ibrahim berbanding Mahathir.

Barangkali dengan kebimbangan Hasmah mengenai kesihatan suaminya, Mahathir mungkin tidak lama, Anwar akan ambil alih dalam masa terdekat? Segalanya boleh jadi.

Lihat sahajalah kabinet PH sekarang, masih tidak lengkap. Malah bila sebenarnya semua ahli ahli parlimen hendak masuk angkat sumpah di Dewan Rakyat?

Semasa PRU12, tarikh pilihanraya 8 Mac dan kemudian angkat sumpah Dewan Rakyat pada 29 April 2008, ambil masa 51 hari. Semasa PRU13, tarikh pilihanraya adalah pada 5 Mei 2013 dan angkat sumpah di parlimen pada 24 Jun 2013, dalam masa 50 hari.

Jika ikut tempoh ini, 50 hari akan jatuh pada 27 Jun 2018, namun belum ada dengar berita apa apa lagi mengenai aturan mesyuarat di Dewan Rakyat. Apakah hendak tunggu Anwar Ibrahim angkat sumpah sekali baru hendak masuk Dewan Rakyat? Boleh jadi juga.

Tulisan :
Rakyat Yang Memerhati

Selepas 26 hari Apa Yang Sudah Selamat?


Bermacam-macam janji manis yang diberikan pakatan harapan pada PRU14 yang lepas kononnya untuk menyelamatkan rakyat malaysia.

Kini sudah 26 hari berlalu, apa yang sudah selamat sebenarnya? Yang jelas kini Anwar Ibrahim selamat, Rafizi selamat dan Lim Guan Eng juga selamat. Bagaimana pula dengan nasib rakyat Malaysia?

Dalam manifesto PRU14 PH menjanjikan 10 perkara kononnya meringankan beban rakyat dalam masa 100 hari pertama pentadbiran mereka.

Ia terangkum dalam 5 teras utama Buku Harapan yang dilancarkan Mahathir di Pusat Konvesyen Ideal, Shah Alam di hadapan pimpinan PPBM, DAP, PKR dan Amanah dan lebih 1,000 yang hadir.

Dalam 100 hari itu juga PH kononnya mahu mewujudkan suruhanjaya dan jawatankuasa untuk menyiasat dan menangani isu-isu yang menimbulkan kontroversi, termasuk 1MDB dan Perjanjian Malaysia 1963.

1. Menghapuskan GST dan mengurang kos sara hidup dengan pelbagai inisiatif peduli rakyat.
2. Menstabilkan harga minyak dan memperkenalkan semula subsidi petrol secara bersasar.
3. Menyamaratakan gaji minimum seluruh negara dan seterusnya memulakan proses meningkatkan gaji minimum.

PH juga kononnya akan melaksanakan 4 perkara lain menyasarkan hutang yang ditanggung peneroka dan lepasan universiti dan perlindungan untuk suri rumah dan isi rumah berpendapatan 40% terendah (B40):

1. Menghapuskan hutang-hutang tidak wajar yang dipaksa ke atas peneroka Felda.

2. Memperkenalkan skim caruman KWSP untuk suri rumah.

3. Menangguhkan pembayaran balik pinjaman PTPTN kepada semua peminjam bergaji kurang dari RM4,000 sebulan dan memansuhkan dasar senarai hitam ke atas peminjam.

4. Memperkenalkan Skim Peduli Sihat dengan memberi RM500 pembiayaan untuk rawatan asas di klinik swasta berdaftar untuk golongan B40.

Dalam 100 hari itu juga, PH kononnya akan mewujudkan suruhanjaya dan jawatankuasa untuk mengkaji dan menangani isu-isu kontroversi:

1. Menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja 1MDB, Felda, Mara dan Tabung Haji, dan merombak semula struktur kepimpinan mereka.

2. Menubuhkan Jawatankuasa Khas Kabinet untuk segera menyemak dan melaksanakan Perjanjian Malaysia 1963.

3. Melancarkan kajian terperinci mengenai projek-projek mega yang dianugerahkan kepada negara asing.

Menerusi buku bertajuk “membina negara memenuhi harapan” ini, gabungan pembangkang itu turut menggariskan 60 janji untuk dilaksanakan dalam tempoh 5 tahun dan 5 iltizam.

Kini apa yang terjadi? Tidak ada satu pun janji di atas berjaya dipenuhi. Malah rakyat Malaysia makin menderita. Orang Melayu makin ditindas.

Peguam negara diberikan kepada individu yang pernah menjadi peguam kepada ketua Komunis Malaya Chin Peng. GST tidak dihapuskan. Ianya hanya berkadar 0%. Harga barang naik secara mendadak dan tidak masuk akal. Hindraf 2.0 mendesak diberi tempat dalam UiTM. Institusi agama Islam dicabar. Jakim mahu dimansuhkan.

Harga minyak tidak turun seperti yang dijanjikan. Bonus kakitangan kerajaan semakin berkurangan. Janji hapuskan tol juga tidak ditunaikan. Malah tol hanya diberi diskaun 50% menjelang Hari Raya sedangkan Datuk Seri Najib menjanji tol percuma ketika Hari Raya jika BN menang PRU14. "Bijak sungguh" orang Malaysia memilih.

Tulisan :
Rakyat Yang Kecewa

- mypru.info

“Kerajaan harus berhenti membuat tuduhan politik yang akan merosakkan hubungan antarabangsa kita”


1. Menteri Kewangan, Lim Guan Eng sepatutnya memberi lebih banyak maklumat untuk membuktikan dakwaan beliau hari ini bahawa kedua-dua projek saluran paip itu adalah satu skandal.

2. Dalam kenyataannya, beliau telah membuat tuduhan yang sangat spesifik bahawa bayaran dibuat lebih awal, tidak berdasarkan perkembangan kerja pembinaan kepada China Petroleum Pipeline Bureau (CPPB), bukan kepada syarikat lain. Tidak ada tuduhan bahawa pembayaran tersebut telah dialihkan atau tersalah bayar kepada syarikat lain.

3. Pemeriksaan kami menunjukkan bahawa CPPB adalah salah satu pembina saluran paip utama di dunia dan telah menyiapkan lebih daripada 10,000km saluran paip. CPPB juga adakah anak syarikat penuh milik kerajaan China, China National Petroleum Corporation (CNPC), yang disenaraikan sebagai syarikat nombor empat terbaik pada 2017 di kalangan 500 Syarikat Terbaik Dunia (Fortune 500) dengan pendapatan sebanyak AS $ 263 bilion tahun lepas.

Berdasarkan kekuatan dan prestasi syarikat tersebut, adakah Guan Eng mendakwa bahawa CPPB atau CNPC tidak boleh menyelesaikan dua projek tersebut tepat pada masanya selepas menerima bayaran?

4. Ia bukan sesuatu yang luar biasa bagi projek pembinaan “turn-key”
untuk mempunyai jadual pembayaran yang berbeza daripada perkembangan kerja pembinaan. Ini mungkin disebabkan oleh rundingan antara kerajaan dengan kerajaan yang berkaitan dengan pinjaman mudah yang diberikan oleh kerajaan China. Mungkin MOF boleh mendedahkan keseluruhan perjanjian kepada orang ramai bagi membolehkan mereka memeriksa mengapa bayaran kepada syarikat pembinaan tersebut distruktur sedemikian rupa.

5. Guan Eng juga membuat rujukan kepada dua kontrak rundingan dan kontrak penyelenggaraan lain. Bolehkah Guan Eng juga mendedahkan syarikat-syarikat siapakah ini? sama ada mereka adalah syarikat swasta atau mereka mempunyai kaitan dengan syarikat CPPB dan CNPC milik negara China?

6. Guan Eng juga menuduh bahawa syarikat 100% milik MOF yang digunakan untuk tujuan khusus menyiapkan projek ini iaitu Suria Strategic Energy Resources (SSER) mempunyai kaitan dengan SRC dan 1MDB kerana dua sebab.

7. Sebab yang pertama ialah SSER mempunyai nama yang sama dengan Strategic Resources Corporation Bhd (SRC) disebabkan ia mempunyai perkataan "Strategic" dan "Resources" di dalamnya. Walau bagaimanapun, pemeriksaan dengan SSM menunjukkan bahawa SSER bukan anak syarikat SRC Bhd tetapi 100% dimiliki oleh Menteri Kewangan Diperbadankan dengan pemilikan penuh kesemua 30,000,001 saham yang diterbitkan.

8. Sebab kedua yang diberikan oleh beliau ialah Ketua Pegawai Eksekutif SSER, Dato Mohammed Azhar Bin Osman Khairuddin sebelum ini pernah menjadi Pengarah Bebas Bukan Eksekutif di Putrajaya Perdana Berhad.

9. Walaupun benar bahawa Jho Low dilaporkan telah membeli Putrajaya Perdana Berhad dan satu lagi syarikat tersenarai Loh and Loh Berhad pada 2007 dengan sokongan pihak Timur Tengah sebelum 1MDB wujud, Dato 'Azhar adalah seorang veteran Petronas dan telah berkhidmat dalam pelbagai kapasiti sejak 1979 termasuk sebagai pengarah di Petronas Gas dan Petronas Bhd. Oleh itu, beliau mempunyai pengalaman dan kepakaran yang diperlukan untuk menjalankan tugas di SSER.

10. Tuduhan Guan Eng hari ini amat berat kerana MOF pada dasarnya menuduh bahawa kerajaan China telah bersekongkol dengan kerajaan kita dalam melakukan perbuatan rasuah. Ini memberi kesan negatif kepada hubungan diplomatik dan perdagangan kita dengan China.

11. Jika berlaku salah laku, serahkan kepada pihak berkuasa yang berkaitan untuk menyiasat terlebih dahulu. Kerajaan Pakatan Harapan harus berhenti membuat tuduhan politik melalui sidang akhbar yang berniat untuk terus memburukkan kerajaan BN sebelum ini.

KENYATAAN MEDIA OLEH
DATO’ LOKMAN NOOR BIN ADAM
BEKAS PENGARAH KOMUNIKASI,
KEMENTERIAN KEWANGAN MALAYSIA
5hb Jun, 2018

P/S : Bantu kami sebarkan bahan-bahan bagi menyemarakkan kebangkitan rakyat ini. Sebarkan mesej ini dan minta teman-teman yang kain mengikuti Telegram Channel kami dan sebarkanlah seluas mungkim : https://telegram.me/lokmanadam


5 Jun 2018

HATI HATI DENGAN YANG NAMANYA ''PEJUANG RAKYAT''..PADAHAL MEREKALAH GUNTING DALAM LIPATAN.

Adakah kami di tanah Melayu telah lupa???? Adakah kita telah lupa? Pada tanggal 1946, lima sultan di lima negeri Melayu di Sumatera Timur telah dibunuh dengan kejam. Beribu-ribu orang kerabat raja turut dibunuh kejam.

Jam 12 malam 3 Mac 1946 merupakan detik hitam bagi orang Melayu dan kini menjadi penyesalan yang tak sudah bagi sebahagian besar warga Melayu di Sumatera Timur. Ia juga merupakan penyebab orang Melayu Semenanjung menolak untuk menyertai gagasan Indonesia.

Dalam satu malam sahaja, beberapa orang Sultan di beberapa negeri telah dibunuh dengan kejam oleh puak pro-komunis yang dibantu oleh kuli-kuli ladang dari keturunan pendatang luar.

Peristiwa bermula menjelang tahun 1946 di mana keadaan suhu politik di Sumatera Timur menjadi panas apabila kumpulan pro-komunis mula menguasai partai politik dan juga membentuk askar bersenjata di antaranya Laskar Buruh atau Parti Komunis Indonesia.

Istana Darul Aman, Tanjung Pura, milik Kesultanan Langkat, di tahun 1930an. Kini ia musnah hancur akibat fitnah puak yang melaungkan 'Ketuanan Rakyat' yang semata-mata mahukan kuasa bersama-sama berbelas-belas istana kesultanan lain di Sumatera Timur. Rakyat Sumatera Timur kini menyedari kesilapan yang telah dilakukan oleh datuk nenek mereka terdahulu.

Akibat jarak dan kegagalan Sukarno berhubungan dengan sultan-sultan Melayu di Sumatera bagi mendapatkan kepastian mereka dalam pernyataan sokongan kemerdekaan dari Belanda, Timbalan Gabenor Sumatera yang dilantik, Amir Syarifuddin (salah seorang pro-komunis) tiba di Serdang dalam negeri Asahan dari pulau Jawa dan menghasut para penyokong komunis supaya menghapuskan kuasa Sultan dan bangsawan di istana mereka di Serdang. Dia merupakan seorang penulis yang merupakan redaksi majalah Pemoeda Soematra.

Secara diam-diam, pihak komunis mempersiapkan rancangan untuk menghapuskan monarki kerajaan Melayu dan ingin mengambil alih pemerintahan kerajaan. Mereka kemudian membuat propaganda di akhbar, radio dan risalah serta isu-isu fitnah palsu untuk menghasut rakyat dengan laungan ‘Daulat Rakyat’ bagi melawan laungan ‘Daulat Tuanku’. Selain itu, isu bahawa Raja-Raja Melayu ini mempunyai hubungan baik dengan dengan Belanda dimainkan selain kononnya pihak istana memeras dan menindas rakyat.

Muslihat ini dilakukan setelah Gabenor Sumatera yang dilantik, Tengku Muhammad Hassan beserta rombongan yang 7 buah kereta , bertolak dari Medan pada 6 Februari 1946 melalui Brastagi dan Sumatera Tengah menuju ke Sumatera Selatan, dan mengikut rancangan, akan kembali ke Medan pada 22 Mac 1946.

3 Mac 1946, tepat jam 12 malam secara serentak, orang ramai yang kebanyakan rakyat pendatang, telah dipimpin oleh orang-orang komunis kiri PKI dan mengajak bersama-sama mereka PNI dan Pesindo, menyerbu istana dan pejabat kerajaan Melayu dan mengumumkan bahawa kerajaan Melayu telah dihapuskan oleh rakyat Indonesia.

Pembunuhan terhadap kerabat-kerabat raja dilakukan secara besar-besaran dengan ada yang dibenamkan di laut, dipotong kepala mereka, ditanam hidup-hidup dan berbagai pembunuhan sadis yang lain, di lakukan oleh orang ramai yang pro-komunis yang dipimpin Parti Komunis Indonesia.

Penyerbuan itu merupakan tragedi buat Sultan Bidar Alam Syah IV di negeri Bilah, Sultan Mahmud Aman Gagar Alam Syah di negeri Panai dan Tengku Mustafa gelar Yang Dipertuan Besar Makmur Perkasa Alam Syah di negeri Kota Pinang, kesultanan Serdang Asahan di Tanjung Balai, Kesultanan Deli di Medan, kerajaan Melayu Yang Dipertuan Tengku Al Haji Muhammad Syah di Labuhan Batu.

Kesemua sultan ini mangkat dibunuh oleh rakyat pendatang yang bekerja di ladang-ladang Sultan yang terpengaruh dengan dakyah komunis.

Hampir separuh penduduk negeri-negeri ini terdiri dari kaum pendatang yang didatangkan sebagai kuli di ladang-ladang.

Di tempat lain, istana Sultan Langkat di Tanjung Pura dan di kota Binjai diserbu dan dirompak, di mana kerabat raja-raja Melayu Langkat ditangkap dan sebahagian besar dibunuh dengan kejam termasuk sasterawan Indonesia yang terkenal, Tengku Amir Hamzah. Lebih kejam, puteri-puteri Sultan Langkat diperkosa dan yang lebih memilukan lagi pemerkosaan dilakukan di depan mata baginda Sultan Langkat, dan putera mahkota yang masih muda hilang entah ke mana.

Kekejaman ini dilakukan oleh seorang pemimpin PKI bernama Marwan dan pengikut-pengikutnya.

Kesultanan Langkat adalah kesultanan paling kaya dan mewah di Sumatera kerana mempunyai hasil petroleum dan jika istana Sultan Langkat yang hangus dibakar itu masih berdiri, ia merupakan khazanah yang tinggi nilainya untuk orang Melayu sedunia.

Kerabat-kerabat lelaki di negeri Asahan dibunuh kesemuanya termasuk isteri Tengku Musa dan anaknya. Dalam masa beberapa hari, 140 orang yang dikenalpasti sebagai kerabat raja yang memakai nama Tengku, Wan dan Raja mati dibunuh dengan kejam di Asahan sahaja.

Mereka kemudian menangkap semua kerabat-kerabat diraja Melayu di beberapa daerah terdiri dari perempuan dan anak-anak dan dibawa ke kem tahanan di Simalungun dan Tanah Karo, disiksa, dihina dan dibunuh.
Indonesia pada waktu ini seolah-olah menyokong kekejaman ini sehinggakan dua generasi orang Melayu hampir kehilangan identiti mereka.

Mereka takut mengaku Melayu, takut memakai baju Melayu dan menambah gelaran Batak di depan nama mereka supaya boleh bersekolah atau diterima di pejabat kerajaan. Mereka menghilangkan gelaran Tengku atau Wan karena takut dicaci sebagai kerabat raja.

Akhirnya, selepas 19 tahun, pada 30 September 1965, terjadilah rampasan kuasa oleh Angkatan Bersenjata Republik Indonesia pimpinan Jenderal Suharto yang bertindak memusnahkan Parti Komunis Indonesia. Puak pro-komunis Indonesia menerima nasib yang dianggap sebagai balasan kepada apa yang telah mereka lakukan ke atas Sultan-sultan Melayu di Sumatera.

Hampir 2 juta puak pro-komunis Indonesia telah dibunuh oleh tentera Indonesia dan sebahagian besar pemimpin Parti Komunis Indonesia di Sumatera Timur terbabit mencetus ‘Revolusi Sosial 1946’ di Sumatera Timur dengan membunuh parak Sultan dan kerabat diraja serta merompak istana-istana ditangkap dan dibunuh oleh tentera dan juga rakyat.

Sinar bagi orang Melayu di Sumatera Timur kembali pada tahun 1971 apabila pemimpin masyarakat Melayu Sumatera Timur yang dilindungi oleh Panglima Komando Wilayah Sumatera, Leftenan Jenderal Ahmad Tahir, telah mengumpul dan menyatukan sebanyak 17 organisasi masyarakat Melayu dan membentuk payung organisasi bernama MAJLIS ADAT BUDAYA MELAYU INDONESIA (MABMI) .

Sehingga kini, adat budaya Melayu masih banyak yang hilang akibat terputusnya dua generasi pada masa mula revolusi sosial dan sepanjang zaman pemerintahan Sukarno. Walaupun kini telah ada yang berusaha menggali khazanah budaya Melayu Sumatera Timur tetapi itu belum cukup tanpa bantuan dari orang orang Melayu di seluruh penjuru dunia.

Para pecinta sejarah Indonesia kini menyesali keterlanjuran masyarakat yang mudah ditipu oleh pihak komunis yang kononnya pro-rakyat yang meniup fitnah demi merampas kuasa pemerintahan dengan jalan mudah.

Tengku Amir Hamzah,Pahlawan ulung wafat setelah dipenggal kepala di Kuala Kegumit . beliau tak lari saat nak dibunuh , beliau berkata " lari dari binjai patik pantang,Patik ialah keturunan Panglima , kalah di gelanggang sudah biasa".

Di Malaya,besyukurlah kita diatas kegagalan Gagasan Indonesia Raya melalui Penubuhan UMNO disaat2 amat terdesak dan kritikal.

Jika tidak,belum tentu apa nasib Islam,Melayu dan Raja2.

HATI HATI DENGAN YANG NAMANYA ''PEJUANG RAKYAT''..PADAHAL MEREKALAH GUNTING DALAM LIPATAN.

http://postmetro.online/index.php/113-pandangan/19858-kisah-kesultanan-bangsa-melayu-di-indonesia-yang-musnah