Bujang Senang

Bujang Senang

11 Mei 2016

SAYA MAHU RAKYAT SARAWAK DILAYAN DENGAN PENUH TERHORMAT - Adenan Satem

“Saya perlu bercakap sesuatu yang mungkin akan menentang UMNO. Jangan datang ke negeri ini tapi tak boleh la kita nak bercakap secara terbuka kan (ketawa). Saya tegaskan, kita tak mahu UMNO masuk dan bertapak di sini (Sarawak), begitu juga DAP, PKR atau PAS. Kita tidak mahu menjadi mangsa amalan (yang tidak sihat) parti politik yang berasal dari Malaysia Barat.

Jika PBB dibubarkan, dan menjadi (sebahagian dari) UMNO, saya mungkin menjadi Naib Presiden UMNO, Ahli Majlis Kerja Tertinggi atau apa sahaja. Dan satu hari, MKT UMNO akan menarik balik autonomi untuk Sarawak. Sudah tentu saya tidak akan setuju tetapi nanti saya pula akan ditentang oleh majoriti. Jadi saya akan kelihatan bodoh di Sarawak apabila saya bercakap mengenai kebebasan Sarawak.

Sarawak bukan negeri di dalam Malaysia, ianya satu dari entiti yang membentuk Malaysia. Semangat Perjanjian Pembentukan Malaysia semakin terhakis di dalam beberapa aspek di dalam tempoh 50 tahun ini. Dan saya mahukan kuasa itu kembali, iaitu apa yang dibenarkan oleh perlembagaan yang sememangnya milik kami.

Maka, apabila bercakap mengenai pemisahan (Sarawak keluar Malaysia), ianya sangat tidak masuk akal. Pembiayaan persekutuan untuk pertahanan, keselamatan, perkhidmatan kesihatan, pendidikan bernilai berbilion ringgit. Anda fikir kami mampu membiayainya? Apa yang kami mahu adalah autonomi dan kuasa kembali ke Sarawak tetapi kami akan kekal di dalam persekutuan Malaysia, tak kira apa yang akan berlaku sekali pun.

Tetapi saya mahu rakyat Sarawak dilayan dengan penuh terhormat. Saya tidak begitu gembira dengan beberapa borang agensi kerajaan persekutuan yang hanya meletakkan kolum Cina, India, Melayu dan Lain Lain. Bagaimana anda boleh menganggap orang Iban, Bidayuh, Orang Ulu sebagai Lain-Lain? Mereka manusia, bukan Lain Lain. Maka, saya mahu kerajaan persekutuan untuk menghentikan pengeluaran borang seperti ini.

Saya sentiasa mengingatkan rakyat Sarawak, orang Cina bukan pendatang.Jika anda pergi ke Sarawak, anda akan lihat begitu banyak tanah perkuburan Cina, di mana-mana sahaja, beribu jumlahnya. Mereka bukannya mati semalam, mereka mati dah lama, malah 100, 200 tahun lepas. Jadi, mereka telah beberapa generasi berada di sini. Mereka dilahirkan di sini, membesar di sini, bersekolah di sini, ada kekasih di ini, berkahwin di sini, beranak pinak di sini, sakit di sini dan meninggal di sini. Kesemuanya di sini. Jadi bagaimana anda boleh memanggil mereka orang asing, yang sama dengan warga Bangladesh, Myanmar atau apa sahaja. Mereka memanggil Sarawak sebagai tanah air dan Tanah Besar China bukan lagi tanah air mereka. Jadi layan mereka sama rata, sama seperti orang lain.

Kemudian, kebebasan beragama. Janganlah ganggu mereka. Saya tidak mahu bertindak seperti tuhan dan memberitahu mereka bagaimana untuk beragama. Biar mereka amalkan agama mereka seperti yang biasa mereka amalkan, terutamanya jika anda ingin menggunakan perkataan “Allah” bila-bila masa anda mahu. Saya tak kisah. Anda boleh gunakannya, bila-bila masa. Tidak seperti, anda tahulah kan, pelampau dari Malaysia Barat cuba melakukan itu ini dan orang yang sebegini, saya akan haramkan (memasuki Sarawak). Jika isu keselamatan negara ini tercipta hasil dari isu perkauman dan keagamaan dalam kalangan rakyat, anda tdak boleh memberi muka kepada orang sebegini.

Tak, 1MDB tiada kena mengena dengan Sarawak. Saya sendiri pun tidak tahu mengenainya sehinggalah saya baca di dalam akhbar. Apa ini 1MDB? Saya sentiasa mempercayai yang seseorang itu tidak bersalah sehinggalah dibuktikan sebaliknya. Jika seseorang bersalah sebaik sahaja dituduh, ianya mesti dibuktikan dan sudah tentu ahli politik akan mengambil kesempatan ke atas isu ini."

0 komentar: