Hasrat dua sahabat tidak kesampaian untuk meraikan sambutan perayaan Hari Gawai Dayak yang bakal di sambut minggu depan apabila maut selepas kereta mereka bertembung dengan sebuah lagi kereta jenis Hyundai Tucson dari arah yang bertentangan di jalan Sungai Kubut, Kuala Lurah di Limbang, semalam.
Mereka yang maut ialah pemandu Gen2 terbabit, Senin Gember,40, dan penumpang Angkin Luat, 42, masing-masing berasal dari Mukah.
Manakala pemandu Hyundai Tucson, Allabou berusia 30-an, warganegara Maghribi yang bekerja di Brunei patah kaki kiri dan mengalami kecederaan di bahagian dada, dirawat di Hospital Limbang.
Difaham Gen2 dalam perjalanan dari arah Brunei ke Limbang manakala Tucson dari arah Limbang hendak pulang ke Brunei bertembung dengan Gen2 terbabit.
Kemalangan itu menyebabkan pemandu dan penumpang Gen2 tersepit di dalam kenderaan yang remuk dan meninggal serta-merta di tempat kejadian.
Anggota bomba bertungkuslumus mengeluarkan mangsa tersepit manakala pemandu Hyundai terbabit berjaya dikeluarkan oleh orang ramai yang datang membantu di lokasi kejadian.
Ketua Balai Bomba Limbang Kurong Beki berkata hasil siasatan awal mendapati Gen2 terbabit memotong kenderaan lain di bahagian selekoh sebelum bertembung dengan Tucson itu.
Beliau berkata seramai lapan anggota diketuai Zakaria Matnor dengan dua kenderaan bergegas ke tempat kejadian yang jauhnya 42 kilometer sebaik menerima panggilan sekitar jam 8 pagi.
“Kami bertungkus-lumus mengeluar pemandu dan penumpang Gen2 yang tersepit di tempat duduk pemandu dan penumpang,” katanya sambil menambah jentera tiba di lokasi 37 minit kemudian.
Katanya pemandu dan penumpang Gen2 disahkan maut di tempat kejadian manakala pemandu Hyundai dihantar ke hospital untuk mendapatkan rawatan menggunakan ambulans hospital,” tambahnya.
0 komentar:
Catat Ulasan