Seorang lelaki maut apabila motosikal jenis BMW model F800R miliknya bertembung dengan sebuah kenderaan lain di laluan bertentangan ketika dalam perjalanan berkonvoi bersama ahli motosikal berkuasa tinggi di Kilometer 82, Jalan Betong-Sarikei di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah (KPD) Betong DSP Fahdil Antum Abdullah memberitahu, kejadian berlaku lebih kurang jam 11.30 pagi itu dipercayai akibat cubaan mangsa, Illias Hassan, 51, memotong sebuah lori di depannya sebelum bertembung dengan kenderaan lain.
“Mangsa dipercayai bergesel dengan sebuah lori ketika cuba memotong kenderaan tersebut menyebabkan dia hilang kawalan ke atas motosikalnya lalu merempuh kereta jenis Proton dari arah bertentangan.
“Akibat pertembungan tersebut, mangsa dipercayai maut di tempat kejadian. Manakala pemandu lori dan kereta tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya.
Semasa kejadian mangsa dikatakan menyertai konvoi bersama ahli motosikal berkuasa tinggi dalam perjalanan dari Kuching ke Kota Kinabalu.
Mayat mangsa dibawa ke Hospital Betong untuk tujuan bedah siasat.
Dalam pada itu kes masih lagi dalam siasatan di bawah seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
0 komentar:
Catat Ulasan