Bujang Senang

Bujang Senang

13 Mei 2016

AZIZ SEBELUM CAKAP PANDANG KIRI KANAN

Pelantikan Datuk Dr Sim Kui Hian sebagai menteri penuh Kabinet Sarawak pada petang ini dilihat sebagai memenuhi janji Ketua Menteri, Tan Sri Adenan Satem kepada masyarakat Cina di negeri ini.
Adenan jelas mahu masyarakat Cina di negeri ini diwakili, setelah SUPP sendiri kurang diberi sengat pada penggal Dun yang lalu, selepas diasak tsunami Dap. Turut kecundang Presidennya yang juga Timbalan Ketua Menteri, Tan Sri George Chan Hong Nam.
Wakil tunggal SUPP sebagai menteri penuh ketika itu hanyalah Datuk Sri Wong Soon Koh namun beliau dipecat rentetan krisis berpanjangan yang melanda parti politik tertua Sarawak ketika itu.
Pelantikan Kui Hian sebagai menteri penuh sebenarnya cukup adil bagi parti itu. Sebabnya, parti itu hanya menang tujuh daripada 13 kerusi yang diamanahkan kepadanya, dengan tahap pencapaian dianggarkan 54 peratus.
Manakala Parti Rakyat Sarawak (PRS) menang 100 peratus daripada keseluruhan 11 kerusi yang ditandingi.
Sehubungan itu, tidak wajar untuk menafikan hak Timbalan Ketua Menteri untuk diberikan kepada Presiden PRS, Tan Sri James Jemut Masing. Dan juga memberikan dua lagi jawatan berkenaan kepada PBB yang secara teknikal kini menguasai 46 kerusi.
Sebenarnya, dalam konteks pemberian jawatan Timbalan Ketua Menteri kepada komuniti Cina, ia bukan janji Adenan.
Pada kempen di Kuching City Mall, Adenan hanya menjanjikan jawatan menteri penuh kepada Kui Hian — seperti juga mendiang bapanya yang pernah memegang kabinet negeri.
Posisi Timbalan Ketua Menteri sebenarnya dibayangkan di Miri oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi kepada Kui Hian untuk dibisikkan kepada Adenan apabila membentuk kerajaan — itu pun jika komunti Cina memberikan lebih kemenangan kepada BN dan calon SUPP.
Dengan kejayaan tersebut, langkah memberikan jawatan menteri penuh kepada Supp dilihat wajar dan tepat. Tiada janji lebih dan tidak ada tawaran yang lebih daripada itu. Malah tiada pembohongan yang berlaku.
Dengan satu menteri penuh dan sekurang-kurangnya tiga menteri muda, Supp kini lebih bernyawa dan bertenaga berbanding penggal lalu. Ia perlu banyak bersabar dan tidak mengulangi kesilapan Milton Foo, yang melihat kepentingan diri melebihi daripada kepentingan semua seperti menjelang pilihan raya lalu.

0 komentar: