Bujang Senang

Bujang Senang

20 Mei 2015

NIK ABDUH ORANG PERTAMA TIDAK SETUJU HUDUD

Sekiranya kerajaan mahu melaksanakan hudud di Malaysia dalam masa terdekat, Nik Abduh Nik Aziz menjadi orang pertama tidak bersetuju.

Ahli Parlimen Pasir Mas itu memberitahu, sekiranya secara tiba-tiba Perdana Menteri mahu berbuat demikian, ia bukan masa sesuai.

"Jika di Parlimen, YAB Pekan kata mahu laksanakan hudud di Malaysia pada tahun 2016, saya orang pertama bangun menentang," ujarnya pada Forum Israk Mikraj Menyingkap Keadilan Perundangan Islam di Masjid Al Azim, Pandan Indah malam tadi.

Menurut anak Allahyarham Datuk Nik Aziz Nik Mat itu, PM tidak wajar melaksanakan hudud kerana masih banyak soal maqasid syariah, masalah sosial dan ekonomi umat Islam yang perlu diselesaikan.

"Bagaimanapun, kalau nak laksanakan hudud di Kelantan, iya saya setuju kerana sudah 25 tahun bersedia ke arah perlaksanaan hukum hudud. Sepanjang pentadbiran Tok Guru (Nik Aziz) Kelantan sudah buat banyak persediaan dan beri Kelantan peluang melaksanakannya kerana ia amanah daripada rakyat kepada Kelantan walaupun ketika demokrasi cacat sekali pun," ujarnya.

Menurutnya, Kelantan sudah banyak kali mencuba membentangkan enakmen syariah tetapi gagal tetapi kali ini Dewan Undangan Negeri meluluskannya.

Jadi, katanya, beri peluang kepada Kelantan melaksanakannya.

"Ini tidak, kecoh macam Malaysia hendak melaksanakan hudud. Hudud ni di Kelantan sahaja kerana kami sudah bersedia," katanya sambil menekankan selain kefahaman tentang agama perlaksanaan hukum Allah juga memerlukan kuasa pemerintahan untuk berbuat demikian.

Menurut Nik Abduh, sekiranya alasan Kelantan negeri miskin, masalah kemiskinan tidak akan selesai sepenuhnya hanya kerana mahu melaksanakan hudud. Sepanjang pentadbiran Kelantan, negeri itu telah banyak membuat perubahan bersesuaian dengan Islam seperti menggunakan bank Islam bagi urusan kewangan negeri dan ia akhirnya ditiru oleh Putrajaya.

"Kelantan laksana cuti dua hari seminggu, dulu kata orang Kelantan malas sekarang tiru malah Malaysia sekarang paling banyak cuti," ujarnya lagi.

0 komentar: