Tiba-tiba Muhyiddin Yassin menjadi seorang yang serba tahu. Katanya "saya tahu lebih dari yang anda tahu" dan kononnya dia mendapat 'briefing' dari SPRM, Bank Negara dan Peguam Negara yang lalu.
Pelik sebab sebelum ini Muhyiddin adalah Timbalan Perdana Menteri yang serba TIDAK TAHU. Dalam kes 1MDB misalnya, walaupun telah dijelaskan berulang kali di dalam kabinet, Muhyiddin mengaku tidak faham apa-apa, dan hanya faham selepas membaca The Edge.
Persoalannya siapa dari SPRM yang memberikan maklumat kepada Muhyiddin tentang sumbangan dana politik RM2.6 bilion? Muhyiddin wajar mendedahkan siapa dalam SPRM yang kononnya memberikannya maklumat mengenai dana ini kerana pada 3hb dan 5hb Ogos 2015, SPRM sendiri yang membuat kenyataan bahawa wang ini datang daripada penderma berdasarkan 4 dokumen yang mereka terima dari bank dan mereka sendiri mengesahkan bahawa mereka telah berhubung dengan penderma berkaitan perkara ini. Jadi siapa yang memberi brif kepada Muhyiddin? Eloklah SPRM juga tampil mendedahkan siapa di kalangan anggota mereka yang memberi brif kepada Muhyiddin agar kebenaran dapat diketahui.
Kedua, elok juga Bank Negara tampil ke hadapan dan mendedahkan siapa di kalangan pegawainya yang memberikan brif kepada Muhyiddin. Agak pelik apabila SPRM mengesahkan terdapat empat dokumen berkaitan sumber dana RM2.6 bilion ini tetapi Bank Negara pula tidak menyedarinya. Siapakah pegawai Bank Negara yang membuat brif yang bercanggah dengan dapatan SPRM?
Agak pelik apabila secara tiba-tiba Muhyiddin membuat pengakuan bahawa dia menerima brif dari Peguam Negara, Bank Negara dan SPRM, sedangkan sebelum ini alasan yang diberi adalah sebagai Timbalan Presiden, dia tidak mempunyai akses terhadap banyak perkara kerana perkara-perkara ini adalah di bawah bidang kuasa Perdana Menteri.
Oleh sebab Muhyiddin secara jelas telah menamakan Peguam Negara, Bank Negara dan SPRM yang memberikan brif kepadanya, maka sudah sewajarnya pihak yang disebut oleh Muhyiddin ini tampil dan disoal siasat supaya mereka dapat menjelaskan apakah yang telah mereka bentangkan kepada Muhyiddin dan kenapa ia bercanggah dengan kenyataan SPRM pada 3 & 5 Ogos 2015.
0 komentar:
Catat Ulasan