Bujang Senang

Bujang Senang

5 Jul 2012

Pilih pemulihan, bukannya reformasi Akhbar Australia, The Age (9 September) menyiarkan apa yang Datuk Seri Anwar Ibrahim katakan padanya: Anwar berkata, hubungan beliau dengan Dr. Mahathir semakin buruk sejak berlaku perkara buruk di Indonesia. "Selepas Suharto tumbang. Saya rasa dia amat takut selepas kejadian itu. Secara objektif, saya menyatakan, situasi rasuah di Indonesia adalah lebih buruk berbanding di Malaysia, tetapi kita mempunyai penyakit yang sama.'' Maka jelaslah Anwar percaya kepada apa yang berlaku di Indonesia akan berlaku juga di Malaysia. Ia juga menggambarkan akan mengambil langkah yang sama. Kepercayaan bahawa masalah di Indonesia adalah serupa dengan masalah di Malaysia adalah suatu penyakit intelektual yang sering merundung sesetengah pejuang politik Melayu sejak sebelum zaman kemerdekaan lagi. Inilah juga penyakit yang ditanggung oleh nasionalis kiri Melayu dalam Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) seperti Dr. Burhanuddin Al-Hilmi, Pak Sako dan Ahmad Boestamam. Mereka menyangka Tanah Melayu perlu mengikut jejak Indonesia. Dengan kekaguman terhadap Sukarno mereka mahu melancarkan revolusi kemerdekaan di Tanah Melayu dan melaksanakan program politik (republikan anti-Barat) dan ekonomi (sosialis) cara Sukarno. Malah mereka mahu menggabungkan Tanah Melayu ke dalam Indonesia. Perjuangan kiri tidak diterima dan tidak sesuai dengan orang-orang Melayu. Lebih membahayakan apabila ia terdedah dengan penaklukan oleh China komunis ke atas rantau ini. UMNO dan Datuk Onn adalah pihak yang berjaya menyelamatkan Tanah Melayu daripada terjerumus ke dalam kesengsaraan. Datuk Onn, Tunku Abdul Rahman dan Tun Razak faham bahawa Tanah Melayu berbeza daripada Indonesia. Orang-orang Melayu tidak seperti Indonesia. Kita mahu mengekalkan sistem beraja dan sistem ekonomi pasaran bebas. Ternyata cara ini telah mendatangkan kemakmuran kepada Tanah Melayu dan kemudiannya Malaysia. Anwar dan ABIM terpukau dengan cara Indonesia Kini dalam zaman yang lain, ada golongan Melayu yang masih terpukau dengan cara-cara di Indonesia. Mereka seolah-olah menyamakan masalah Indonesia dengan masalah di Malaysia. Mereka tidak nampak perbezaan ketara antara kedua-dua negara ini. Kalau dulu, intelektual kiri Melayu terpengaruh dengan Revolusi Indonesia dan retorik Sukarno, kini Anwar, ABIM dan konco-konconya terpengaruh dengan perjuangan Reformasi Indonesia dan kagum dengan kejayaan tokoh Reformasi, Amien Rais. Akan tetapi yang pasti, Amien tidak menghadapi masalah peribadi. Memang diketahui tokoh-tokoh ABIM seperti Siddiq Fadil dan Sidek Baba mempunyai kecenderungan terhadap cara Indonesia. Malah mereka berucap menggunakan bahasa seperti Indonesia. Reformasi mungkin sesuai di Indonesia, tetapi tidak di negara ini. Reformasi di sana mempunyai idealisme tersendiri bagi menyelesaikan masalah masyarakat di sana. Mungkin Amien Rais sesuai dengan Indonesia. Tetapi caranya, dengan menggunakan mahasiswa tidak sesuai di Malaysia. Malaysia tidak mempunyai masalah penglibatan tentera dalam politik. Korupsi, kolusi dan nepotisme yang menjerat rejim Suharto tidak ada di Malaysia. Malaysia ada Dasar Ekonomi Baru yang begitu dikagumi hingga ada saranan di kalangan intelektual Indonesia dan penganalisis Barat supaya Indonesia menirunya. Akan tetapi masalah Indonesia tetap berbeza. Amien Rais adalah tokoh yang baik dan mungkin beliau sesuai untuk memimpin Indonesia pada satu hari kelak. Akan tetapi Anwar tidak sama dengan Amien. Amien, ketua Muhammadiyah dan kini menjadi ketua Partai Amanat Nasional (PAN) muncul dari perjuangan mahasiswa dan rakyat yang menuntut reformasi di Indonesia. Akan tetapi Abim bukan Muhammadiyah. Anwar walaupun pada tahun-tahun 70-an telah muncul dari gerakan mahasiswa tetapi telah dinaikkan dan diserapkan ke dalam kerajaan oleh Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad. Anwar, selama 16 tahun adalah sebahagian daripada kerajaan Malaysia. ABIM pula, walaupun ada idealisme Islamnya sendiri tetapi telah menyokong UMNO dan kerajaan, kerana adanya Anwar selama 16 tahun juga. Anwar dan ABIM tidak layak melancarkan reformasi. Malah sekiranya mereka teruskan juga, mereka akan mencemarkan idealisme reformasi itu sendiri. Bagi Malaysia, sehingga ini, cara yang sesuai untuk menyelesaikan masalah ialah rancangan pemulihan yang telah digariskan oleh Perdana Menteri. Malaysia berpeluang untuk berjaya Sokongan terhadap cara Perdana Menteri menangani kegawatan ekonomi kian bertambah dari kalangan pemerhati antarabangsa. International Herald Tribune (9 September) menyiarkan rencana oleh Marshall Auerback, jururunding strategik global Veneroso Associates. Katanya: "Dunia tidak begitu menghiraukan Mahathir bin Mohamad pada Disember lalu ketika beliau mengadakan sidang kemuncak pemimpin-pemimpin Asia di Kuala Lumpur. Kebanyakan penganalisis Barat menggambarkan Mahathir sebagai xenofob (antiasing) dan menganggap kata-kata anti-Baratnya sebagai hanya penyedap sidang. "Mungkin itu adalah antara sebabnya, tetapi perhatian yang lebih seharusnya diberikan kepada sidang kemuncak Kuala Lumpur itu. Orang-orang Asia Tenggara sejak itu hanya mengangguk setuju pada pihak Barat tetapi tidak ada niat serius untuk melaksanakan penyelesaian IMF yang boleh memusnahkan masyarakat. "Beberapa bank akan tutup dan beberapa badan korporat akan bergabung; pekerjaan akan hilang dan pinjaman akan diatur semula dan dijual. Akan tetapi dari Tokyo ke Jakarta, niat yang jelas adalah untuk menggalakkan suasana supaya rantau itu keluar dari kemelesetan tetapi mengelak perubahan struktur yang dianggap oleh IMF sebagai perlu." "Saya adalah pendukung Keynes yang ketinggalan zaman,'' kata Kiichi Miyazawa pada hari dia dilantik sebagai Menteri Kewangan Jepun pada Julai lalu. Beliau kemudian menegaskan bahawa dia menyokong "pemulihan ekonomi, dan bukan reformasi.'' "Ini adalah lebih daripada pernyataan dasar; ia lebih mencerminkan strategi di samping taktik. Isunya bukan saja hasil ekonomi bagi suku tahun berikutnya tetapi pemeliharaan satu model ekonomi yang telah memajukan rantau ini pada kadar dan pada tempoh yang tidak ada bandingannya dalam sejarah. "Dalam konteks inilah yang perlu diperhatikan betapa Malaysia mengenakan kawalan modal. Wall Street dan Jabatan Negara Amerika Syarikat dilaporkan terkejut bahawa Mahathir mengambil langkah demikian. Mereka memang patut terkejut. Kini kita mempunyai satu kes kajian terhadap model yang berbeza daripada model ekonomi Inggeris-Amerika. Model Inggeris-Amerika meletakkan ciri-ciri utamanya sebagai pengaliran modal yang tidak terganggu. "Dasar baru Malaysia ini telah mendorong bantahan yang tidak bersebab dari pusat-pusat kewangan Barat. Kawalan mata wang dikatakan akan menghapuskan keyakinan yang penting dan modal Barat yang berada di Malaysia akan lari. "Apakah yang berlaku terhadap sejarah? Dengan beberapa pengecualian kecil, kawalan modal telah dilakukan di rantau ini semasa Perang Dingin - era keajaiban ekonomi Asia - tidak pernah menghalang pelaburan. China, Korea Selatan dan Taiwan masih mengekalkan kawalan. Mengenai larinya modal, angka-angka dalam pasaran Kuala Lumpur menunjukkan bahawa syarikat-syarikat yang seharusnya setia dan memiliki pelaburan jangka panjang telah lama meninggalkan negara ini. "Difahami betul-betul, kawalan modal bertujuan untuk mengehadkan aliran masuk, dan bukannya aliran keluar. Mahathir telah membuat kesimpulan bahawa modal jangka pendek yang banyak daripada luar adalah suatu yang merosakkan pada sistemnya yang berasaskan pada kadar simpanan tinggi dan pinjaman korporat yang tinggi. "Dikecam di Barat, tindakan Malaysia tidak dibantah di Asia Timur. Jika Malaysia berjaya mencetuskan pertumbuhan, sememangnya peluang untuk berjaya ada, ia menjadi satu petanda bagi kapitalisme Inggeris-Amerika menjadi hanya salah satu model di kalangan yang lain. Kita akhirnya akan mendapati dunia terbahagi kepada beberapa blok ekonomi sebagai hasil berpanjangan globalisasi,'' kata Auerbeck. Malaysia munculkan model baru ekonomi Maksud Auerbeck dalam tulisannya itu ialah jika Mahathir berjaya mengatasi kegawatan ekonomi Malaysia dengan cara kawalan modal itu, ia akan memunculkan satu model ekonomi kapitalis ala Malaysia, berbeza daripada model Inggeris-Amerika. Jika kemudian negara-negara lain, khususnya di Asia mengambil contoh, maka ia menjadi model Asia Timur yang harus diterima oleh Barat sebagai sesuatu yang boleh berfungsi. Auerbeck juga menulis: "Ramai di Barat yang memandang Asia dan rantau-rantau lain hanya sebagai pasaran yang bertindak menurut logik pasaran dan bukan sebagai suatu masyarakat yang kompleks. Pemimpin-pemimpin Asia dalam kedudukan yang sesuai untuk memperbaiki keadaan ini. Mereka mungkin tidak dapat menjadi pelaksana demokrasi yang berprinsip, tetapi kejayaan ekonomi mereka berkait rapat dengan kekuatan masyarakat nasional yang dicabar oleh globalisasi. ""Memang difahami di seluruh Pasifik bahawa globalisasi yang menyebabkan krisis Asia dan tidak secara logiknya sebagai penawar. Ada kalangan di Barat yang yakin bahawa globalisasi adalah suatu yang tidak dapat dielakkan. Sebenarnya tidak. Dunia tidak bersedia untuk menjadi satu.'' Pengganti Perdana Menteri bukan menjadi masalah International Herald Tribune menyiarkan berita bertajuk "Malaysia bimbang terhadap penggantian Mahathir'' (7 September). Media asing memang menjadikan isu ketiadaan pengganti Perdana Menteri sebagai suatu masalah dan akan menghalang keyakinan pelaburan. Sedangkan perkara itu bukan suatu masalah besar. Perdana Menteri sendiri berkata, kalau apa-apa yang berlaku pada dirinya, UMNO akan bertindak dengan cepat untuk memilih antara dua Naib Presiden yang ada iaitu Datuk Abdullah Ahmad Badawi dan Datuk Seri Najib Abdul Razak. Prosedur sudah ada, dan itu tidak menjadi isu. Akan tetapi media asing memang cuba memperbesarkan suatu masalah yang bukan masalah utama. Dahulu, ketika Suharto memerintah Indonesia, isu itu juga ditimbulkan. Mereka menggambarkan bahawa Indonesia akan menjadi masalah kerana Suharto tidak menyediakan penggantinya. Sedangkan menurut perlembagaan Indonesia, perkara itu sudah jelas. Naib Presiden sudah ada iaitu B.J. Habibie. Ternyata apabila Suharto mengundurkan diri, Habibie dengan mudah diterima sebagai Presiden Indonesia. Walaupun ada bantahan dan gerakan reformasi, tetapi kekacauan bukan kerana soal penggantian Habibie. Sebenarnya yang menjadi persoalan bagi mereka bukanlah sama ada pengganti atau tidak, tetapi soalnya sama ada pengganti mereka itu orang mereka atau tidak. Jadi andai kata mereka tidak berpuas hati dengan Habibie, media asing akan mengacaunya lagi dan menyeru supaya digantikan dengan orang lain, mungkin atas nama reformasi. Begitulah hasrat mereka. Selain yang mereka mahu adalah orang mereka, mereka juga mahu dasar-dasar kewangan yang menguntungkan mereka diterapkan di negara ini. Dasar-dasar yang menguntungkan mereka dan tidak mestinya menguntungkan rakyat negara ini. Jadi dalam dasar kewangan Mahathir, mereka akan mengecamnya, dan malah mungkin cuba menggagalkannya kerana ia tidak menepati kepentingan spekulator Barat. Kebebasan media bagi mereka adalah apa yang berkhidmat untuk kepentingan kewangan Barat.


1 komentar:

Tanpa Nama berkata...

fakta yang amat menyelweng dan bercanggah dengan perjuangan dr burhanuddin al hilmi serta yang lain lainnya.