Reunion adalah penyatuan semula. Kita guna perkataan reunion apabila kita mengadakan majlis perjumpaan semula kawan kawan sekelas di sekolah atau kawan sekursus di universiti. Maka menjadi satu kebetulan bahawa kapal terbang yang hilang lebih setahun dapat ditemui semula, sekurang kurang cebisan cebisannya di pulau yang bernama Reunion.
Mengapakah pulau itu bernama Reunion? Ia juga mempunyai kisah sejarahnya tersendiri. Kapal terbang itu hilang di Lautan Hindi yang amat luas tetapi cebisan kapal terbang itu dijumpai di sebuah pulau amat kecil iaitu Reunion. Dalam pencarian kapal terbang itu, pakar profesional digunakan, daripada pakar mengesan isyarat di Britain hinggalah pakar tentera laut Australia. Hinggakan bomoh mengarut Malaysia juga turut serta tetapi akhirnya yang menemui cebisan kapal terbang itu adalah orang biasa yang sedang bersiar siar di pantai Reunion.
Lautan Hindi tidak banyak pulau. Reunion berhampiran dengan pulau Madagascar. Madagascar adalah pulau terbesar di Lautan Hindi dan merupakan sebahagian daripada benua Afrika. Kedua-dua pulau itu adalah bekas tanah jajahan Perancis. Kini Madagascar adalah negara merdeka. Reunion pula adalah wilayah Perancis. Bangsa Madagascar bernama Malagasy. Ia adalah keturunan rumpun Melayu. Raut wajah dan warna kulitnya adalah Melayu. Bahasanya adalah juga rumpun Melayu. Ibu kotanya adalah Antananarivo yang bermaksud Tanah Seribu. Mereka memanggil kelapa sebagai nyio. Rumah tradisinya dengan tiang tinggi dan tingkap panjang ke bawah adalah sama dengan rumah Melayu di Malaya dan Sumatera. Ke utara pula terletak pulau Seychelles. Sebuah negara merdeka tetapi pernah menjadi tanah jajahan Perancis. Di sinilah seorang Sultan Perak telah dibuang negeri oleh penjajah British ekoran pembunuhan residennya Birch oleh Maharajalela. Dulu di Kuala Lumpur, sebuah jalan berhampiran Stadium Merdeka bernama Birch Road. Setelah Malaysia diwujudkan, ia ditukar namanya kepada Jalan Maharajalela. Sultan yang dibuang ke Seychelles menderita kerinduan terhadap tanah airnya. Di pulau inilah baginda terdengar sebuah lagu Perancis yang sebenarnya asalnya sebuah lagu rakyat didendangkan di pantai pantai di Lautan Hindi hinggalah ke Asia Tenggara. Lagu ini selalunya dinyanyikan orang di pantai ketika bulan terang. Ia dinyanyikan dalam banyak versi, Perancis, inggeris dan Melayu. Dalam bahasa Inggeris, ia dikenali sebagai Mamoola Moon, dalam bahasa Melayu ia dinamakan Terang Bulan. Lagu Terang Bulan ini kemudian dijadikan lagu rasmi negeri Perak. Pada 31 Ogos 1957, ia diisytiharkan sebagai lagu kebangsaan Malaya dengan nama Negaraku. Pada 16 September 1963, ia diisytiharkan sebagai lagu kebangsaan Malaysia. Agak jauh ke timur Seychelles terletak pulau Mauritius. Ia adalah sebuah negara merdeka dan bekas tanah jajahan Perancis. Di pulau ini turut ditanam buah nenas. Benih nenas ini pernah dibawa ke Johor. Orang Johor memanggilnya sebagai nenas Moris. Jauh ke timur Mauritius terletak pulau Maldives. Sebuah negara merdeka dan bekas tanah jajahan British. Majoriti penduduk pulau ini beragama Islam. Masjid utama negaranya terletak di ibu kotanya, Male dan mempunyai reka bentuk serupa dengan Masjid Bangsar. Arkiteknya adalah sama. Maldives dijangka ditelan laut apabila paras air naik ekoran pemanasan global. Jauh ke sebelah selatan terletak pulau Diego Garcia. Ia adalah bekas tanah jajahan British tetapi kini berada di bawah pentadbiran Amerika Syarikat. Ia menempatkan pangkalan tentera Amerika. Penduduk asli pulau itu kesemuanya telah dipaksa pindah ke India. Perpindahan itu adalah penuh dengan air mata. Di utara Lautan Hindi terletak Laut Arab. Di sinilah tempat laluan kapal terbang yang membawa jemaah haji dan umrah berulang alik dari Madinah, Jeddah atau Dubai ke Kuala Lumpur, Singapura dan Jakarta. Semasa MH370 baru hilang ada seorang ahli jemaah umrah Malaysia ternampak sebuah kapal terbang besar di bawah paras laut ketika beliau melihat dari tingkap kapal dalam perjalanan pulang ke Malaysia. Kisahnya disiarkan di muka depan akhbar The Star. Tetapi ia tidak diambil perhatian berat oleh pihak berkuasa.
0 komentar:
Catat Ulasan