Bujang Senang

Bujang Senang

11 Jul 2017

KEKALKAN SEMANGAT PERJUANGAN DEMI KEMAJUAN BERSAMA

Semua ahli Parti Bumiputera Bersatu (PBB) Sarawak diseru agar terus mengukuhkan kerjasama di kalangan ahli parti untuk membantu melonjakkan pembangunan dan kemajuan di negeri ini ke tahap yang lebih tinggi.

Ketua Menteri Sarawak, Datuk Amar Abang Haji Abdul Rahman Zohari Tun Abang Haji Openg merangkap Yang DiPertua PBB Sarawak berkata demikian dalam ucapannya pada Majlis Ramah Mesra Aidilfitri anjuran Gabungan Parti Bumiputera Bersatu 5 Cawangan iaitu Bekenu, Lambir Piasau, Pujut dan Senadin bertempat di sebuah hotel terkemuka di sini, malam tadi.

“Tahniah diucapkan kepada semua ahli PBB di Miri yang sentiasa merapatkan barisan parti dan menjadikan PBB sebuah parti yang begitu kuat di kawasan Utara. Meskipun pucuk pimpinan parti bertukar ganti, semangat juang yang ada dalam diri setiap ahli parti mesti sentiasa kekal kuat dan perjuangan kita seharusnya dilakukan tanpa mengambil kira kepentingan sendiri. Ahli parti juga memerlukan inovasi dalam pendekatan yang digunakan untuk menggerakkan pembangunan negeri Sarawak dengan lebih cepat dan pantas ”, kata beliau.

Menyentuh tentang kemajuan ekonomi digital, Abang Johari menyatakan beliau mempunyai pelan induk berkaitan pembangunan teknologi digital di kawasan bandar dan luar bandar di Miri. Tambah beliau, sejajar dengan gelaran Miri sebagai Bandaraya Peranginan, promosi produk pelancongan di Miri akan lebih tersebar luas ke serata dunia menerusi usaha kerajaan negeri menaik taraf kemudahan aplikasi teknologi digital.

Abang Johari, dalam ucapannya turut mengumumkan pemberian sumbangan kerajaan negeri berjumlah RM3 juta bagi pembinaan Stadium Terbuka di daerah Subis yang akan dilaksanakan secara berperingkat. Beliau juga memaklumkan bahawa kerajaan negeri akan mempertimbang penukaran nama daerah Subis kepada Sibuti di masa akan datang.

Terdahulu Ahli Parlimen Sibuti Ahmad Lai Bujang selaku Pengerusi Pengelola Majlis Ramah Mesra Aidilfitri PBB Miri 2017 memohon agar Abang Johari memberi peruntukan kewangan bagi tujuan penambahbaikan infrastruktur sekolah-sekolah daif di kawasan Utara terutamanya di Miri. Beliau berharap agar segala inisiatif pembangunan yang digerakkan oleh Abang Johari akan terus berjalan lancar dan terus mendapat sokongan rakyat Sarawak.

Turut hadir, isteri Ketua Menteri, Datin Amar Juma’ani Tun Tuanku Haji Bujang; Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah Embas; Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan; Menteri Kerja Raya Malaysia Datuk Seri Haji Fadillah Haji Yusof dan Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Amar Haji Mohd Asfia Awang Nassar. –TAMAT-

0 komentar: