Di padang bolasepak, mereka mendapat pingat perak, tetapi di hati seluruh rakyat Malaysia, Harimau Malaya sebenarnya mendapat kalungan “pingat emas”.
Pada tahun 2001, pembantu jurulatih dari Barcelona membimbing skuad “favourite” untuk memenangi emas Sukan Sea, namun akhinya tumpas pada minit ke 86 bila Kamarulzaman Hasaan menahan bola sepakan Sarawut menggunakan kaki dan masuk ke gol sendiri.
Kamarulzaman adalah penjaga gol terbaik pada waktu itu kerana pada pusingan kelayakan, hanya melepaskan satu gol sahaja. Namun ketika beraksi di pertandingan akhir, nasib tidak menyebelahinya.
16 tahun selepas itu, di stadium yang sama, Haziq Nadzli tertumbuk bola ke gawang gol sendiri pada minit ke 38 seterusnya memberikan gol kemenangan ke pasukan Thailand. Pasukan bolasepak semalam, dibimbing oleh anak tempatan, Dato Ong Kim Swee.
Biarpun ketinggalan 0-1, penyokong Ultras Malaya seluruh rakyat Malaysia tetap terus menyokong pasukan Harimau Muda untuk bangkit kembali melawan pasukan Thailand. Rezeki tidak memihak kepada pasukan negara.
31 Ogos 1989, itulah detik yang mahu diulangi oleh pasukan bolasepak negara semalam. Malaysia memenangi pingat emas Sukan Sea pada waktu itu setelah mengatasi Singapura dengan keputusan 3-1 di Stadium Merdeka. Pasukan Malaysia ketika itu dibimbing oleh Trevor Hartley dari England.
Semasa kejayaan emas bolasepak 1989 inilah, Dato Seri Najib Razak yang menjadi Menteri Belia dan Sukan pada waktu itu melancarkan Program Tunas Cemerlang. Program ini merupakan sebuah program pembangunan bakat sukan bola sepak di kalangan pelajar berumur 13 sehingga 15 tahun yang dikelolakan oleh MSN dengan kerjasama Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM).
Program ini bertujuan untuk melahirkan atlet-atlet berpotensi dan mengembangkan kemahiran mereka di sekolah atau pusat latihan, dengan kemudahan asas seperti asrama, padang/gelanggang latihan dan jurulatih yang bertauliah dalam kalangan guru untuk melatih atlet sepanjang tahun. Program ini merangkumi 42 pusat latihan melibatkan 1,295 murid dan 93 jurulatih.
Ong Kim Swee pada ketika Malaysia memenangi emas 1989 baru berusia 19 tahun. Belum lagi mewakili pasukan kebangsaan pada ketika itu, setahun selepas itu barulah Kim Swee dipilih menyertai pasukan Olimpik Malaysia. Bakat Kim Swee terhasil daripada program pembangunan sukan yang dirangka ketika Dato Seri Najib menjadi Menteri Belia dan Sukan pada tahun 1986.
Dasar Sukan Negara terbentuk ketika Datuk Seri Najib menjadi KBS. Datuk Seri Najib juga menjadi penggerak dalam mengkaji semula fungsi Majlis Sukan Negara untuk melahirkan atlet bermutu dan berkualiti.
Beberapa insentif dan skim diperkenalkan termasuklah untuk jurulatih, atlet dan staf sebagaimana menyediakan biasiswa sukan dalam dan luar negara. Ini tidak ketinggalan program di peringkat sekolah seperti program Kem Bakat dan Tunas Cemerlang untuk mengenal pasti kebolehan bersukan dari peringkat awal lagi.
Dasar Sukan Negara yang inilah yang menjadi asas pembentukan atlet cemerlang yang memenangi emas pada 2001 dan seterusnya melahirkan generasi kedua yang mengharumkan nama negara pada temasya Sukan Sea 2017 ini dengan pungutan lebih 140 pingat emas. Insentif yang diperkenal pada era Dato Seri Najib menerajui KBS diteruskan sehingga kini kepada seluruh atlet negara.
Ong Kim Swee adalah generasi awal dan pasukan Harimau Muda 2017 yang dibentuknya pada hari ini adalah generasi kedua. Biarpun semalam, emas yang yang ke 141 tidak hadir menerusi bolasepak, namun pasukan Harimau Muda tetap menjadi pasukan paling disayangi oleh seluruh rakyat Malaysia.
Ada yang sanggup beratur seawal jam 1 pagi untuk menyaksikan pasukan Harimau Malaya. Ada yang datang jauh dari Utara dan Pantai Timur ke Shah Alam semata mata kerana mahu tengok aksi Thanabalan dan Safawi Rashid. Biarpun kalah semalam, namun topik mengenai pasukan Harimau Malaya menjadi “trending” di media sosial, kalah semua cerita lain.
Pasukan Harimau Malaya ini adalah yang paling popular sekali semasa Sukan Sea ini. Biarpun ada Prince Mateen di gelanggang polo, Leong Mun Yee di kolam renang dan Farah Ann Abd Hadi di pentas gimnastik, namun yang tetap menjadi pujaan hati semua penyokong Sukan Sea adalah pasukan Harimau Muda.
Jaringan gol sendiri hasil sepakan penjuru pemain Thailand, Sasalak Haiprakhon semalam yang memisahkan warna pingat untuk pasukan Harimau Malaya. Namun di hati penonton dan seluruh rakyat Malaysia, pasukan Harimau Malaya adalah pemenang pingat emas sebenar di hati mereka.
Harimau Malaya akan beraksi lagi pada 5 September ini menentang Hong Kong dalam kelayakan Piala Asia. Kepada yang tidak dapat tiket semalam, boleh datang semula untuk beri sokongan kepada pasukan bolasepak negara. Mungkin beberapa pemain Harimau Muda mampu diserapkan ke dalam skuad Nelo Vingada untuk memperkemaskan lagi pasukan senior negara.
Manakala cabaran sebenar Harimau Muda adalah pada tahun hadapan dalam aksi Piala Asia B-23 AFC 2018.
Dendam kekalahan terhadap pasukan Thailand boleh ditebus dalam Aksi Piala AFF Suzuki pada tahun hadapan. Jika beginilah semangat rakyat Malaysia maka sudah pasti Harimau Malaya akan bangkit semula menjadi jaguh bolasepak yang digeruni di rantau ini.
Apa pun tahniah kepada pasukan Harimau Muda, anda semua adalah hero sebenar di hati rakyat Malaysia.
Tulisan:
Beruang Biru
BB560, Rabu
30 Ogos 2017
0 komentar:
Catat Ulasan