Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Razak berkata, kemenangan besar hanya boleh diperoleh jika memiliki jentera pilihan raya kuat dan semua pihak melakukan tugas dengan baik.
Pengurusan jentera pilihan raya sangat penting bagi memastikan semua pengundi dapat keluar menunaikan tanggung jawab mereka.
“Memang satu daripada faktor dalam menentukan kemenangan dalam pilihan raya adalah kekuatan jentera dimiliki oleh parti yang bertanding.
“Kalau nak dikira penat, memanglah penat. Macam saya, hari ini berada di dua negeri iaitu di Kepala Batas (Pulau Pinang) dan Sungai Siput (Perak) sebelum ke sini, tapi, apabila saya lihat semangat tuan-puan, rasa penat pun sudah hilang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap selepas meninjau dan melawat Pusat Daerah Mengundi (PDM) Peramu Jaya, Pekan malam tadi.
Yang turut hadir isteri beliau, Datin Seri Rosmah Mansor dan calon bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Peramu Jaya, Datuk Seri Sh Mohmed Puzi Sh Ali.
Pada kunjungan itu, Najib turut menyampaikan sumbangan kepada 92 ibu tunggal dalam kawasan PDM berkenaan.
Sementara itu, Najib berkata, beliau tidak terlalu mengambil peduli sangat mengenai berita palsu yang semakin banyak disebarkan pihak pembangkang melalui media sosial.
Sebaliknya, katanya, beliau lebih menumpukan kepada tugasnya untuk memastikan rakyat dapat hidup dengan lebih baik dan selesa.
“Saya tidak terlalu mempedulikan benda (berita palsu) disebarkan melalui media sosial ini, ia (berita palsu) disebarkan untuk memberikan persepsi buruk terhadap kerajaan.
“Fokus kita adalah untuk memastikan kemenangan lebih besar dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) kerana ia adalah perkara yang lebih penting,” katanya.
0 komentar:
Catat Ulasan