Bujang Senang

Bujang Senang

17 Mei 2021

Pembubaran Dun Sarawak: Abang Johari akan menghadap Agong



Kuching: Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg akan menghadap Yang di-Pertuan Agong berhubung pembubaran Dewan Undangan Negeri (Dun) Sarawak, kata Setiausaha Agung Gabungan Parti Sarawak (GPS) Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.

Menurutnya, Abang Johari yang juga Pengerusi GPS sudah menghadap Yang di-Pertua Negeri Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud memaklumkan di bawah Perlembagaan Sarawak, tempoh Dun tamat pada 6 Jun 2021, lima tahun dari 7 Jun 2016, tarikh mesyuarat pertama Dun selepas Pilihan Raya Sarawak 2016.

"Oleh sebab darurat kesihatan pandemik Covid-19 diisytiharkan sehingga 1 Ogos 2021, pembubaran Dun akan ditetapkan pada satu tarikh yang difikirkan sesuai oleh Yang di-Pertuan Agong selepas berunding dengan Yang di-Pertua Negeri Sarawak.

"Ketua Menteri akan menghadap Yang di-Pertuan Agong mengenai perkara ini.

"Kita yakin di atas kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong dan Yang di-Pertua Negeri Sarawak dalam perkara ini," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Tempoh Dun Sarawak akan berakhir pada 6 Jun 2021.

Dalam norma biasa, Dun sepatutnya dibubar untuk mengembalikan mandat serta hak demokrasi rakyat untuk memilih kerajaan melalui pilihan raya.

Bagaimanapun, Pilihan Raya Negeri Ke-12 tidak dapat diadakan ketika ini kerana negara di bawah darurat kesihatan pandemik Covid-19 sehingga 1 Ogos 2021.

0 komentar: