SEPANG, 6 Jan (Bernama) -- Keluarga dan pemimpin negara merupakan pencetus semangat bagi penjelajah negara, Muhammad Muqharabbin Mokhtarrudin atau Qobin cekal meneruskan misi penjelajahan ke Titik 90 Darjah Kutub Selatan walaupun berdepan pelbagai cabaran, termasuk kemungkinan mengalami reput fros.
Selain menarik beban seberat 50 kilogram, Qobin, 36, terpaksa mengharungi cuaca sejuk melampau sehingga negatif 26 darjah Celsius dan kemungkinan mengalami reput fros pada dua jari tangan kirinya dalam misi penjelajahan sejauh 111 kilometer (km) itu.
Beliau mengakui misi kali ini amat sukar apabila melihat sendiri beberapa penjelajah daripada kumpulan lain yang terpaksa diselamatkan dan menamatkan penjelajahan berski mereka.
“Keluarga dan pemimpin negara adalah pencetus semangat saya untuk meneruskan misi penjelajahan kali ini. Saya hanya hamba Allah dan rakyat Malaysia yang kecil. Bagi saya, saya mahu menyumbang kepada negara.
“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak kerana sentiasa memberi sokongan kepada saya dan juga anak-anak muda lain untuk terus melakar kejayaan menjadi ikon belia,” katanya kepada pemberita selepas tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini hari ini.
Sebelum itu, Qobin yang tiba di KLIA menerima sambutan pahlawan dan dipakaikan tanjak dan busana Melayu oleh lebih 100 penyokong Kelab Eksplorasi 7 Benua (KE7B).
Qobin menempa nama sebagai penjelajah Grand Slam pertama Malaysia selepas menamatkan misi ke Titik 90 Darjah Kutub Selatan pada 4.05 petang waktu tempatan (11.05 pagi waktu Malaysia) pada 28 Dis lepas, bersama-sama enam penjelajah pelbagai negara serta seorang jurupandu.
Beliau mencipta sejarah rakyat Malaysia pertama dan umat Islam ketiga serta termuda di dunia selain 70 manusia dan penjelajah terawal yang mendapat pengiktirafan itu.
Qobin mengambil masa 13 tahun untuk mendapat pengiktirafan sebagai Penjelajah Grand Slam apabila seseorang itu menamatkan siri pendakian di tujuh puncak tertinggi di tujuh benua di dunia, selain penjelajahan ke Kutub Utara dan Kutub Selatan.
“Saya akan terus aktif dalam aktiviti sukan lasak melalui KE7B untuk terus melahirkan ikon sukan lasak baharu,” katanya.
Qobin berkata kecederaan pada jarinya dijangka sembuh sepenuhnya dalam masa sebulan setengah.
Sementara itu, Penasihat KE7B Datuk Akmar Hisham Mohd Yusof berkata KE7B akan menganjurkan pameran memaparkan kejayaan anak-anak muda Malaysia kelab berkenaan.
“Saya sudah mengadakan perbincangan dengan Muzium Negara dan pameran itu dijangka diadakan pada Ogos tahun ini. Saya berharap pameran itu memberi motivasi kepada anak-anak muda untuk terus melakar kejayaan,” katanya.
-- BERNAMA
0 komentar:
Catat Ulasan