Bujang Senang

Bujang Senang

11 Nov 2015

Luahan Bapa: “Saya Jadi Hamba Whatsapp”



Nama saya Ali Abu (bukan nama sebenar). Berumur 45 tahun dan bekerja sebagai seorang eksekutif dalam bidang minyak dan gas. Apa yang saya ingin ceritakan lebih kepada luahan perasaan saja tentang aplikasi mesej yang bernama Whatsapp.

Tujuan saya menyatakan umur saya di atas sudah pasti ingin menunjukkan saya bukanlah muda, bukan generasi Y dan tidaklah terlalu hebat dalam penggunaan teknologi masa kini.

Saya mempunyai tiga cahaya mata yang berumur 5 hingga 16 tahun.

Selama hampir 20 tahun saya bekerja, waktu bekerja yang biasa adalah sekitar 8 pagi hingga 6 petang. Kadang kala apabila ada kerja lebih terpaksa dilakukan, ia dianjak hingga ke pukul 9 malam.

Cara kami berkomunikasi sesama rakan sekerja dan pihak pengurusan lebih atas selalunya melalui mesyuarat atau berjumpa secara berdepan. Tiada satu pun urusan kerja dilakukan selepas waktu bekerja.

Tahun lepas, terdapat perubahan baru secara tidak rasmi dalam syarikat apabila Whatsapp digunakan untuk berkomunikasi. Group dicipta dan hampir 25 pekerja ada dalam group tersebut. Secara teknologinya, ia memang membantu pekerja untuk berhubung tetapi timbuk pula masalah baru, kini pekerja terpaksa bekerja 24 jam. Semua kerja diarahkan bos dalam Whatsapp.

Tiada lagi 8 pagi hingga 6 petang waktu bekerja. Walaupun sudah balik dan jam terang-terang menunjukkan pukul 12 tengah malam pun masih ada mesej arahan dari bos yang masuk. Bukannya kerja tersebut tidak boleh ditangguhkan hingga keesokan harinya.

Kalau dulu, walaupun kerja tidak dapat disiapkan, masih ada esok pagi untuk disambung. Sekarang, pagi-pagi buta pun boleh menerima arahan baru yang perlu dimasukkan dalam laporan dan sebagainya.

Itu tidak lagi dengan bual-bual kosong atau mesej-mesej bodek bos dalam Whatsapp Group.

Secara tidak sedar, dalam tempoh setahun setengah, saya mengabaikan keluarga apabila lebih kerap memandang telefon berbanding mengadap secara berdepan muka kesayangan saya.

Saya cuba buat-buat tidak tahu dengan mesej yang masuk dalam Whatsapp walaupun arahan tersebut jelas ditujukan kepada saya. Akibatnya, esok saya menjadi mangsa amarah kerana tidak membalas mesej walaupun dengan ayat seringkas “OK”.

Bukan saya tidak mahu membalasnya, saya hanya mahu mengelak kerja masuk waktu di rumah. Saya cuba menumpukan kepada keluarga. Kalau dulu, kita tak perlu pun membalas SMS tetapi sekarang, kalau satu Whatsapp tidak dibalas, punah kena marah.

Perkara sama saya perhatikan kepada bapa-bapa moden sekarang. Tangan tidak lekang dengan telefon. Walaupun ketika makan malam di restoran, bapa-bapa masih memegang telefon membalas mesej. Mungkin ada yang seperti saya terpaksa menerima beban kerja selepas ‘office hour’.

Saya pernah dimarah juga kerana tidak membalas walaupun dalam group tersebut menunjukkan saya membaca mesej tersebut. Ya memang saya sengaja tidak membalas kerana masa dengan keluarga walau satu saat penting buat saya.

Hanya kerana saya baru sedar perkara ini selepas setahun, bos seakan berkata prestasi saya merudum. Kerja biasa tetap saya habiskan dengan cepat, mungkin kerana KPI baru adalah “Kau tak balas Whatsapp, kau tak efisien”.

Takut juga saya menjadi hamba Whatsapp dan telefon pintar pada masa sekarang!

P/S: Artikel ini adalah luahan hati seorang bapa yang dihantar kepada kami

0 komentar: