Bujang Senang

Bujang Senang

2 Jan 2016

KENALI KP BTN 2016-DATUK IBRAHIM SAAD.


Tahun baharu 2016 bermula dengan perlantikan Ketua Pengarah, Biro Tatanegara (BTN) yang baharu iaitu Datuk Ibrahim Saad. Walaupun saya berada nun jauh di USA, saya memberi ucapan tahniah kerana perlantikan beliau merupakan satu sejarah yang sangat besar ertinya kepada masyarakat pendidik, kakitangan kerajaan dan parti-parti politik yang cintakan keamanan, keharmonian dan perpaduan.

Saya mula mengenali Datuk Ibrahim Saad pada tahun 2001 di Kota Kinabalu High School. Apabila saya berhijrah ke Labuan pada tahun 2002, beliau telah dilantik sebagai Pengarah BTN Sabah sehinggalah tahun 2015. Ianya rekod iaitu 13 tahun.

Maka, perlantikan beliau sebagai KP BTN yang baharu oleh YAB Perdana Menteri dan YB Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, DS Azalina Othman Said sangat-sangat tepat.

Dari segi keluarga, beliau berkahwin dengan orang Sabah yang mempunyai susurgalur yang menarik kerana mempunyai keluarga dari sebelah Kadazan, Dusun, Arab, Cina dan Melayu. Satu perkara yang amat membanggakan, anak-anak beliau semuanya berjaya dalam pendidikan. Tiga orang daripadanya di dalam bidang perubatan di mana yang tua sudah pun menjadi doktor di salah sebuah hospital di Kota Kinabalu. Seorang pula dalam bidang kejuruteraan. Kesemua anak-anak beliau melanjutkan pelajaran di luar negara iaitu di England, India, Mesir dan German.

Secara peribadi, amat membanggakan kerana walaupun beliau sangat sibuk siang dan malam memenuhi jemputan sebagai penceramah patriotik di seluruh Sabah malahan di Semenanjung Malaysia, tetapi beliau masih berkesempatan mengatur pendidikan anaknya. Beberapa tahun dahulu saya pernah bertanya, apa rahsia Datuk? Katanya, "kita mesti menggunakan masa dengan berkualiti walaupun sekejap ketika bersama keluarga". 

Ketika saya di Kuala Lumpur, saya berkesempatan membantunya melawat anak-anaknya yang belajar di beberapa institusi pendidikan. Beliau berusaha menjenguk anaknya walaupun dalam 10 minit. Kadangkala sudah malam hari. 

Terdapat beberapa insiden yang menyedihkan sepanjang saya bersama Datuk Ibrahim.  Oleh kerana anak pertama beliau tidak mendapat pinjaman pelajaran ketika hendak memulakan pelajaran perubatannya di England, beliau terpaksa membuat pinjaman bank dengan mencagarkan rumah beliau sendiri. Inilah nasib pegawai kerajaan yang tidak diketahui oleh orang di luar sana,  janganlah berfikiran bahawa semua pegawai kerajaan mudah mendapat apa yang diingini.

Terdapat kes jua di mana beliau baharu mendarat di KLIA dan mendapat jemputan ceramah ke satu majlis. Oleh kerana beliau tidak membawa kelengkapan baju, saya berkata jika Datuk sudi, saya boleh pinjamkan baju saya. Ternyata Datuk Ibrahim Saad bukan seorang yang memilih. Walaupun baju saya agak besar, itu tidak penting kepadanya, yang utama kepadanya adalah beliau boleh menjalankan tugas untuk negara.

Datuk Ibrahim Saad bukan seorang yang suka duduk di pejabat berkerusikan empuk pun. Pada tahun 2008 jika saya tidak silap, BTN melakukan aktiviti berakit di sepanjang sungai perak yang sangat panjang dan deras itu. Namun, Datuk Ibrahim Saad merendahkan dirinya dengan turut sama mendayung rakit, berpanas dan mengikuti aktiviti spiritual seperti solat berjemaah, memberi kuliah Subuh dan menjadi imam. 

Datuk Ibrahim Saad telah melalui lebih 30 tahun perkhidmatan dengan kerajaan khususnya di Sabah. Beliau telah bercampur dengan lebih 30 suku kaum di Sabah. Maka, jika anda bertanya adakah Datuk Ibrahim akan membawa BTN ke arah yang sempit, anda perlu mengubah tanggapan itu. Beliau telah menjadi Pengarah BTN Sabah kepada 3 orang Perdana Menteri, 4 Ketua Menteri Sabah dan 4 Ketua Pengarah BTN. 

Datuk Ibrahim Saad adalah satu-satunya ketua jabatan kerajaan di Sabah yang telah memulakan Jelajah Kemerdekaan merentasi Borneo (Sabah-Sarawak) menggunakan jalan darat. Tujuannya satu sahaja, untuk meniupkan semangat cintakan negara dan patriotisme kepada rakyat di sepanjang perjalanan. Saya mengetahuinya dan mencatatnya ketika saya menjadi ketua editor majalah Gemilang dahulu. Banyak pengisian dalam program tersebut seperti ceramah kenegaraan, aktiviti mengibar Jalur Gemilang dan sebagainya. Inilah yang sepatutnya diberi keutamaan oleh BTN dan inilah yang telah dilakukannya sejak sekian lama.

Pengalaman-pengalaman di atas cukup untuk membawa wadah baharu kepada rakyat Malaysia dalam konteks national identity, Patriotisme dan usaha nation building di Malaysia. Oleh yang demikian, saya menyarankan NGO dan parti-parti politik supaya bersama-sama dengan KP BTN yang baharu dalam membentuk rakyat Malaysia yang bersatupadu dan patriotik.

Salam dari perantauan,

University City,

Philadelphia, PA, USA.

1 Januari 2016.

0 komentar: