Bujang Senang

Bujang Senang

30 Apr 2016

#PRNSARAWAK :PERDANA MENTERI DI SAMBUT MERIAH WALAUPUN LEWAT

MIRI - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak meminta pengundi di Lambir menyokong penyandang wakil rakyat Barisan Nasional (BN), Ripin Lamat pada pilihan raya negeri Sarawak ke-11 (PRN-11), 7 Mei ini.

Beliau berkata jika pengundi Lambir mahu masalah mereka diatasi maka mereka perlu memilih kerajaan sedia ada seperti 53 inisiatif mesra rakyat yang dilaksanakan oleh Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Adenan Satem.

"Sokonglah Ripin, dia masih muda dan telah memberi perkhidmatan yang baik kepada penduduk. Tempat seperti Lambir masih memerlukan pembangunan dan kalau kita pilih pembangkang, mereka tidak mampu menolong kita," katanya.

Beliau berkata demikian kepada penghuni semasa melawat Tuai Nunong Iban, sebuah rumah panjang 23-pintu di Nanga Jella, kira-kira 15km, dari sini hari ini.

Hadir sama, Anggota Parlimen Sibuti, Ahmad Lai Bujang.

Pada PRN-11, Ripin menghadapi pertandingan tiga penjuru dengan menentang calon PKR, Mohdak Ismail ddan wakil PAS, Mohammad Arifiazul Paijo.

Pada majlis pemimpin bersama rakyat itu, Najib mengumumkan peruntukan RM1.9 juta untuk projek bekalan air luar bandar bagi penduduk rumah panjang Kampung Opak dan Langgi di Lambir.

Najib turut memohon maaf kepada penduduk Nanga Jella kerana tiba lewat ke majlis itu dengan menaiki helikopter kerana cuaca buruk.

Sementara itu, Ripin memberi jaminan bahawa penduduk Lambir akan memberi sokongan padu kepada Adenan bagi memastikan kerusi itu kekal di bawah kerajaan pimpinan BN.

DUN Lambir mempunyai 17,533 pengundi berdaftar iaitu 34 peratus kaum Melayu/Melanau, 32 peratus Iban, 20 peratus pengundi kaum Cina dan 14 peratus lain-lain. -- BERNAMA

0 komentar: