Bujang Senang

Bujang Senang

26 Mei 2016

#KABINETSARAWAK :TIGA ADUN TANPA PARTI MOHON SERTAI PBB

Tiga wakil rakyat tanpa parti iaitu Datuk Dr Jerip Susil, Ranum Mina dan Dr Johnical Rayong Ngipa memohon untuk menyertai PBB bagi memperkukuhkan landasan politik mereka, kata Setiausaha Eksekutif PBB Awang Bujang Awang Antek.
Beliau berkata, ketiga-tiga yang masing-masing Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mambong, Opar dan Engkilili itu telah pergi ke ibu pejabat PBB pagi semalam dan telah mengisi borang permohonan.
“Ya, saya telah menerima borang-borang permohonan mereka. Mereka menyatakan alasan utama untuk menyertai (PBB) adalah bagi mengukuhkan lagi perjuangan politik agar dapat berkhidmat untuk rakyat dengan lebih efektif,” katanya kepada The Borneo Post di sini, semalam.
Beliau berkata, keputusan berhubung permohonan mereka ke dalam parti hanya dapat diketahui dalam mesyuarat majlis tertinggi parti seterusnya yang dijadualkan pada 5 Jun.
“PBB sentiasa membuka pintu kepada siapa sahaja yang ingin menyertai perjuangan parti dan pada masa sama, kita tidak boleh menutup pintu kepada sesiapa yang memerlukan landasan untuk berkhidmat kepada rakyat,” kata Awang Bujang.
Tiga bekas pemimpin UPP itu telah keluar daripada parti sebelum Pilihan Raya Negeri lepas untuk bertanding sebagai calon langsung BN.
Setakat berita ini ditulis, tiga ADUN tersebut tidak dapat dihubungi untuk mengulas mengenai perkara tersebut.
Sebelum ini, enam wakil rakyat BN tanpa parti lain diketuai ADUN Pakan Tan Sri William Mawan dan lima  yang lain turut memohon menyertai PBB.
Lima yang lain ialah ADUN Mulu Datuk Gerawat Gala, ADUN Bekenu Rosey Yunus, ADUN Batu Danau Paulus Palu Gumbang, ADUN Serembu Miro Simuh dan ADUN Bukit Semuja John Ilus.
Mawan, Rosey dan Paulus merupakan bekas pemimpin TERAS manakala Gerawat, Miro dan Ilus bekas ahli PBB yang semua meletak jawatan daripada parti untuk bertanding sebagai calon langsung BN.
Dengan prospek mempunyai sembilan wakil rakyat tambahan, PBB akan mempunyai 49 ADUN selain mempunyai 15 Ahli Parlimen dan dua senator.
Perkembangan politik terbaharu itu mungkin dapat mengubah persefahaman politik sekarang di kalangan parti-parti komponen BN Sarawak di mana PBB diperuntukkan dengan 40 daripada 82 kerusi DUN, diikuti PRS 11, SUPP (tujuh) dan SPDP (tiga).

0 komentar: