Bujang Senang

Bujang Senang

1 Mei 2016

NAJIB LULUS TIGA PROJEK UNTUK BEKENU DAN LAMBIR


Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak meluluskan tiga projek untuk konstituensi Bekenu dan Lambir selepas mengumumnya di hadapan 1,000 pengunjung majlis  pelancaran Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Sibuti di Bekenu semalam.
Pengumuman itu melibatkan projek pertama bekalan air bersih bernilai RM94.8 juta yang dijangka bermula pertengahan tahun ini.
“Apabila siap nanti, ia akan memanfaatkan penduduk di Kampung Lajong, Kuala Niah, Rumah Mandau dan Rumah Ngayum,” katanya.
Turut hadir Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Ahli Parlimen Sibuti Ahmad Lai Bujang, calon Barisan Nasional (BN) Bekenu Rosey Yunus dan  calon BN Lambir, Ripin Lamat.

Beliau turut mengumumkan Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) berjumlah RM1.5 juta masing-masing di Bekenu dan Lambir.
“Rosey sebelum ini pernah memohon beberapa projek jalan dan kita akan mempertimbangkan permohonan itu berdasarkan kemampuan kita dan ia akan ditentukan selepas 7 Mei,” katanya.
Mengenai RTC Sibuti, Najib berkata ia menzahirkan tanggungjawab BN untuk rakyat di Sibuti.
“Saya kagum dengan kehadiran rakyat semua dalam gelombang biru sekali gus membuktikan sokongan anda terhadap BN,” katanya.
Jelasnya, RTC Sibuti memberi manfaat kepada kira-kira 40,000 orang terutama terlibat dalam pelbagai jenis ekonomi.
Katanya, pemilihan Bekenu adalah disebabkan kawasannya strategik dengan pengumpulan barangan mentah dan basah seperti perikanan dan penternakan.
Sementara itu Najib mengingatkan rakyat agar membuat keputusan bijak semasa 7 Mei dengan memilih BN yang terbukti satu-satunya kerajaan yang dapat membawa pembangunan.

0 komentar: