Sejak penganjuran kali pertama himpunan BERSIH di Kuala Lumpur pada 10 Oktober 2007, antara yang dituntut oleh NGO ini adalah memperkasakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di mana mereka menuntut sebuah kerajaan yang bersih daripada unsur rasuah.
Sejak dari itu, siri penganjuran demo haram BERSIH ini sentiasa memperjuangkan perkara yang sama selain daripada menuntut pilihan raya yang bersih dan adil dari sebarang unsur rasuah dan penyelewengan.
Untuk rekod, BERSIH dilancarkan secara rasmi pada 23 November 2006 di lobi bangunan Parlimen Malaysia. Ia dihadiri oleh Datin Seri Wan Azizah, R Sivarasa, Lim Guan Eng, Teresa Kok, Nasharudin Mat Isa, Salahuddin Ayub dan beberapa pemimpin NGO pro pembangkang yang lain.
Bersih ialah gabungan beberapa NGO seperti Suara Rakyat Malaysia (Suaram), Women’s Development Collective (WDC) dan Writers Alliance for Media Independence (WAMI) dengan kerjasama semua parti politik pembangkang serta dibantu secara guamannya oleh Majlis Peguam.
Setelah beberapa siri demo haram BERSIH berlangsung termasuk tahun ini, agenda yang sama sentiasa diperjuangkan namun hakikatnya, keadaan dalaman parti-parti politik yang menyokong perjuangan BERSIH ini sendiri dalam keadaan cukup kotor dan dipenuhi isu rasuah.
Bayangkan, Lim Guan Eng yang secara terang-terangan sudah dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan penyalahgunaan kuasa serta rasuah, masih kekal menjadi Ketua Menteri Pulau Pinang dan BERSIH seolah-olah enggan memperbesarkan isu berkenaan.
Mungkin bagi BERSIH, ianya adalah isu terpencil melibatkan kerajaan negeri berbanding dakwaan mereka yang mengatakan kerajaan pusat hari ini mengamalkan rasuah.
Menariknya, sehingga hari ini, tiada seorang pun pemimpin BERSIH dapat mengemukakan apa-apa bukti terhadap dakwaan berkenaan.
Berbanding Guan Eng, kesnya sudah secara terang disiasat serta didakwa di mahkamah, namun tiada sebarang tuntutan dari BERSIH untuk mendesak Guan Eng meletakkan jawatan.
Hal yang sama turut memaliti kepimpinan PKR di Selangor di mana Datuk Seri Azmin Ali hari ini diasak dari dalam dan luar parti dengan pelbagai dakwaan rasuah termasuk yang terbaharu, dakwaan rasuah yang dilemparkan oleh Rafizi Ramli dan Chegu Bard berkaitan Paya Wetland dan DEIG.
Ini juga gagal di terjemahkan oleh BERSIH seolah-olah apa sahaja yang dilakukan oleh pemimpin pembangkang yang menyokong BERSIH adalah suci.
Nyata sekali, BERSIH bukanlah sebersih yang disangka. Sebaliknya, perjuangan mereka yang mahu kerajaan bersih dari rasuah hanyalah sekadar retorik politik dan paling utama, BERSIH bukanlah anti rasuah seperti yang mereka perjuangkan.
Yang perlu dibersihkan adalah mereka yang menganjurkan himpunan haram itu. Mereka sebenarnya bukanlah bersih tetapi penuh kekotoran.
Tulisan :
Beruang Biru
BB69, Selasa
4 Oktober 2016
0 komentar:
Catat Ulasan