Lebih 500 veteran tentera seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak hari ini hadir ke bangunan Jabatan Perdana Menteri di Putrajaya.
Kehadiran veteran tentera yang juga anggota Pertubuhan Prihatin Bekas Anggota Keselamatan Malaysia (PAHLAWAN) itu bertujuan menyerahkan memorandum bagi membela kebajikan dan mengiktiraf jasa mereka.
Mereka yang bergerak dari kediaman masing-masing sekitar tengah malam tadi tiba di Kuala Lumpur seawal jam 9.00 pagi dengan menaiki bas serta kenderaan persendirian.
Mereka sebelum ini mengemukakan tuntutan sama dalam memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah, di Istana Negara.
Mereka sebelum ini mengemukakan tuntutan sama dalam memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah, di Istana Negara.
Hadir dari seluruh pelosok negara, mereka membawa bendera negeri masing-masing selain kain rentang yang tertera lima tuntutan.
Malah, ada juga veteran yang kehilangan upaya hadir dan rata-ratanya memakai pakaian hitam tertera nama PAHLAWAN.
Meskipun berkerusi roda dan bertongkat mereka kelihatan begitu bersemangat memperjuangkan nasib mereka.
Mereka juga turut berarak dari Masjid Putra, Putrajaya ke pintu masuk Jabatan Perdana Menteri sambil melaungkan "Hidup Pahlawan".
Setibanya kumpulan veteran tentera itu di bangunan Jabatan Perdana Menteri yang difahamkan seorang pegawai Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak telah bersedia untuk bertemu dengan wakil PAHLAWAN.
Lima tuntutan
Usai bertemu dengan pegawai perdana menteri kira-kira lebih sejam itu presidennya, Asri Buang bertemu dengan media bagi menjelaskan pertemuan tersebut.
Asri berkata pada pertemuan itu beliau mengemukakan lima tuntutan.
Kata Asri, tuntutan utama PAHLAWAN itu adalah peningkatan kadar bayaran pencen kepada bekas anggota tentera selaras dengan kenaikan gaji anggota tentera semasa.
Menurut Asri, pihaknya juga menuntut beberapa faedah daripada kerajaan supaya kehidupan pesara anggota tentera akan lebih terjamin memandangkan kos sara hidup yang semakin meningkat pada masa kini.
“PAHLAWAN turut menuntut kerajaan memberi imbuhan RM6,000 setiap tahun kepada anggota tentera tidak berpencen.
“Kita juga cadangkan hak mewariskan pencen pesara kepada waris terdekat selepas kematian pesara terutama kepada isteri haruslah diberi untuk sepanjang hayat,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyerahkan memorandum lima tuntutan tersebut kepada wakil pihak perdana menteri di Jabatan Perdana Menteri, Putrajaya hari ini.
Asri berkata, lima tuntutan itu adalah susulan pengumuman Kementerian Pertahanan pada 15 Februari lalu berhubung pelarasan gaji baharu anggota tentera yang sedang berkhidmat dengan kenaikan gaji baharu berkuat kuasa Julai lalu.
'Tak hadir sebagai pemberontak'
Katanya, sekretariat itu juga akan menuntut penyeragaman pencen anggota tentera berstatus pencen hilang upaya (PHU) dan ex-gratia kepada semua veteran orang kurang upaya (OKU).
“Kami juga menuntut kerajaan menyediakan sebidang tanah atau rumah mampu milik kepada bekas tentera bagi mengenang jasa perajurit yang selama ini berkorban nyawa mempertahankan kedaulatan negara hingga kita dapat menikmati kemakmuran seperti hari ini,” katanya.
Kata Asri, sejumlah 103,000 pesara tentera khususnya yang bersara selama ini telah meninggalkan wang sebanyak 11 peratus dan juga dividen di dalam Kumpulan Wang Persaraan (KWAP).
Yang mana jumlah potongan dan dividen itu dipertanggungjawabkan kepada Lembaga Angkatan Tentera selama mana mereka berkhidmat.
Namun, Asri berkata sehingga hari ini tidak ada kenaikan pencen yang dibuat secara khusus oleh KWAP.
"Sekarang ini veteran yang bersara meninggalkan 15 peratus dividen lebih banyak dari sebelum ini di mana seorang anggota yang berpangkat sarjan akan meninggalkan wang sejumlah RM80,000.
"Jumlah itu cukup banyak tetapi jelas sekarang kami adalah jutawan tetapi hidup tentera ini seolah-olah merempat di negara sendiri. itu yang menyedihkan kita," kata Asri dengan nada sebak.
Bagaimanapun, Asri berkata beliau optimis dengan hasil pertemuan bersama wakil perdana menteri hari ini di mana Najib akan mempertimbangkan tuntutan mereka itu.
"Saya optimis PM akan melayan tuntutan kita dan kami hadir ke sini bukan sebagai pemberontak tetapi kami hadir kerana ingin menuntut hak kami, sebab kita ada tinggalkan wang kita sebanyak 11 peratus dan dividen dalam KWAP," tambah Asri.
0 komentar:
Catat Ulasan