Bujang Senang

Bujang Senang

21 Nov 2016

BERSIH 5, 'POT CALLING THE KETTLE BLACK' - ABDULLAH SAIDOL


Sambutan hambar perhimpunan BERSIH 5 yang berlangsung Sabtu lalu di sini mungkin kerana rakyat hilang kepercayaan terhadap motif sebenar perhimpunan tersebut.
Pengerusi Kelab Penyokong Barisan Nasional (BNBBC) Sarawak Abdullah Saidol berkata pada mulanya ramai percaya pergerakan BERSIH adil  atau tidak berpihak kepada mana-mana parti politik dan benar-benar memperjuangkan keadilan dan kesaksamaan sosial.
Bagaimanapun ujarnya, kehadiran pemimpin-pemimpin utama pembangkang dalam perhimpunan itu merupakan bukti tidak dapat disangkal bahawa perhimpunan itu bermotifkan politik.
“Sumber dana penganjur BERSIH juga boleh dipersoalkan apabila pemimpin-pemimpin mereka mengakui ada menerima dana daripada pertubuhan asing yang sering dikaitkan dengan insiden huru-hara di negara lain,” katanya.
Abdullah yang juga Ketua Setiausaha Politik Ketua Menteri  berkata pada dasarnya objektif BERSIH ialah menggulingkan kerajaan yang dipilih secara demokratik.
“Secara asasnya mereka mengatakan majoriti rakyat negara ini salah membuat pilihan untuk membentuk kerajaan hari ini.
“Oleh sebab itu mereka mempromosikan aktiviti perhimpunan BERSIH di negeri-negeri dikuasai pembangkang,” katanya.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semop itu menambah, majoriti rakyat tidak bersetuju dengan keadaan huru-hara dan permusuhan yang menimbulkan rasa kurang senang dalam kalangan peniaga.
“Pergerakan BERSIH boleh dengan mudah dijelaskan seperti kes ‘Pot Calling the Kettle Black’,” ujarnya.
Sabtu lepas perhimpunan BERSIH 5 di Panggung Udara di sini mendapat sambutan hambar mungkin disebabkan hujan lebat.
Keadaan cuaca yang tidak mengizinkan itu menyebabkan perhimpunan itu terbubar sendiri.
Naib Pengerusi BERSIH Sarawak Anne Teo yang berucap ketika perhimpunan itu berkata pergerakan itu akan terus memperjuangkan suara rakyat yang mahukan keadilan daripada kerajaan.
Ujarnya tanpa kerajaan yang baik, impian itu pasti sukar dicapai.
“Semua visi ini hanya akan dicapai sekiranya kita mempunyai kerajaan yang bersih daripada segala masalah termasuk rasuah,” ujarnya.

0 komentar: